Tuesday, December 25, 2007

JAMUAN AIDIL ADHA PAS JELEBU

Jamuan Hari Raya Aidil Adha PAS Jelebu akan diadakan pada :

Tarikh : 30/12/2007 (AHAD)

Masa : 7.00 malam

Tempat : Rumah Tuan Hj Hassan Bin Abdul Rahman
No 200, Jln Petaling, Kuala Klawang.

Aturcara :-
  1. Solat Maghrib berjemaah
  2. Solat Hajat
  3. Tazkirah oleh Ustaz Ramli Abu Bakar Al-Hafiz
  4. Solat Isya' berjemaah
  5. 9.00 malam Jamuan Makan Malam
  6. 10.00 malam Ceramah oleh :-
  • Saudara Zulkefly Mohamad Omar (Pesuruhjaya PAS NS)
  • Ustaz Ramli Abu Bakar Al-Hafiz (YDP PAS Jempol)
  • Tuan HJ Kateran Bin Marman (Pemangku YDP PAS Jelebu)
  • Ustaz Nordin Sahlan (Ketua Pemuda PAS Jelebu)
"SEMUA DIJEMPUT HADIR"
"PAS UNTUK SEMUA"

Tuesday, December 18, 2007

PENGURUSAN TOL PLUS TIADA BUDI BAHASA

Sepatutnya pagi ini (17/12) aku pergi ke Kedah untuk urusan perniagaan. Pagi-pagi lagi aku dah keluar rumah dengan ditemani oleh anak aku dengan tujuan hanya satu untuk ke Pendang di Kedah. Tapi sebelum pergi aku kena singgah di pejabat aku di Bandar Pinggiran Subang dahulu untuk mengambil barang-barang yang perlu dibawa ke sana.
Tepat jam 8.15 pagi aku tiba di tol Shah Alam. Selepas membayar duit tol sebanyak RM 10.50 (perjalanan dari Senawang ke Shah Alam) aku membelokkan kereta ke pejabat tol Shah Alam tersebut kerana perut aku tiba-tiba sakit. Terpaksa lah aku menyelesaikan urusan perut aku ni.
Setelah selesai dan bila nak menyarungkan semula seluar aku, tiba-tiba aku dapati dompet aku yang di dalam poket belakang seluar aku telah tiada. Dalam tandas itu seluar aku disangkut kan dibahagian belakang kerana dibahagian depan(pintu) tiada penyangkut.
Aku panik dan bertanya pada anak aku samada dia orang ada nampak dompet aku. Jawapannya tiada.Maka kami anak beranak mencari lah dulu dalam kawasan tersebut, manalah tahu kot-kot terjatuh pulak. Tapi tidak berhasil. Ada 2/3 orang pemandu yang berhenti ditandas tersebut turut sama mencari tapi tidak juga berjumpa. Akhirnya aku ambil keputusan dompet aku sudah kena kebas, bila anak aku beritahu ada satu mat motor kelam kabut keluar dari tandas itu, stat motor dan dengan lajunye terus cabut. Dia tak tahan budak itu kerana pada mulanya anak aku tidak mengesyaki apa-apa.
TETAPI yang paling mengecewakan aku adalah tindakan pengurusan pihak PLUS Plaza Tol Shah Alam yang langsung tidak memberikan apa-apa respon tentang perkara tersebut. Aku bukannya nak suruh dia orang ganti duit aku ataupun ganti dompet aku yang hilang. Aku cuma nak buat lapuran pada mereka sahaja sebab kejadian itu berlaku ditempat mereka. Mungkin lepas ini mereka boleh mengambil tindakan dengan memasang jaring di atas bilik tandas tersebut atau sebagainya. Bila aku nak masuk pejabat TOL itu aku tekan la butang peti suara kat pintu tersebut. Terdengar suara perempuan bertanyakan "Ya, Encik Nak Apa?". Aku pun beritahulah nak buat lapuran tentang kecurian dompet aku di tandas tol tersebut. Apa jawapan beliau "OH ENCIK TAK PAYAH ENCIK, ENCIK PERGI TERUS BUAT LAPURAN DI BALAI POLIS SAHAJA. TAK PERLU LAPOR DENGAN KAMI"
Pedih dan rasa menyesal aku kerana bersusah payah nak beritahu mereka, tapi mereka semua tak nak ambil tahu dan tak nak layan aku. Habis aku ini baru sahaja membayar RM10.50 kerana melalui jalan tersebut. Bukan kah aku ini pelanggan mereka. Dan sekarang ini aku satu sen duit pun tak ada sebab habis semua sudah kena curi.Tapi mereka langsung tak nak endahkan apa yang aku nak beritahu atau apa yang berlaku kepada aku. Aku bukan nak minta dia orang ganti duit aku, aku cuma nak beritahu mereka aje tentang kejadian tersebut. Bukankah aku ini seorang pengguna dan pelanggan mereka. Dalam hati aku berkata SOMBONG BETUL orang2 yang bekerja kat tol ni. Tahun depan kadar tol kat Malaysia ni akan naik lagi. Rakyat Malaysia terpaksa membayar kadar tol perjalanan yang tinggi disebabkan oleh perjanjian konsesi yang bodoh dan bahalul antara Kerajaan Malaysia dan Syarikat Pengendali Jalan TOL. Selepas itu rakyat terpaksa menerima layan yang buruk, sombong dan tiada perasaan belas kasihan dari pekerja-pekerja Plaza Tol tersebut. Inikah bentuk perkhidmatan yang rakyat mesti terima untuk bayaran paksaan yang dikenakan kepada rakyat kerana melalui jalan tol tersebut. Sampai bila Rakyat Malaysia ini harus ditindas dan dizalimi begini? Terdapat golongan rakyat yang sedar tentang perkara ini TETAPI ramai lagi rakyat masih tak sedar diri dan bersikap sombong bodoh seperti pegawai tol tadi. Apakah harga yang perlu dibayar oleh rakyat untuk membuat perubahan? Apakah rakyat khususnya MELAYU nak mengikut kata bidalan orang tua-tua "DAH TERHANTUK, BARU NAK TERNGADAH". BERUBAH lah rakyat semua. Undi lah BARISAN ALTERNATIF pada pilihanraya yang akan datang ini. Kita hapuskan sahaja bayaran tol di Malaysia ini atau hapuskan perjanjian konsesi yang mengarut dan membebankan rakyat. Contohnya terhapusnya bayaran tol di jambatan yang menghubungkan Kuala Trengganu dan Seberang Takir semasa Kerajaan PAS memerintah Terengganu. Bukankah itu satu kebaikan dan keuntungan untuk rakyat.

"HIDUP PAS, HIDUP RAKYAT"
"PAS UNTUK SEMUA"

Thursday, December 13, 2007

CERAMAH GEMPUR PEMUDA

Assalamualaikum Wr. Wbt.
Jabatan Pilihanraya PAS Kawasan Jelebu akan mengadakan ceramah "GEMPUR PEMUDA JELEBU" pada ketetapan yang berikut :-

TARIKH : 18/12/2007 (SELASA)

MASA : 8.30 MALAM

TEMPAT : FELDA PASOH 2
Rumah Haji Suparman Kasman


PENCERAMAH :

1) YB SALAHUDDIN AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat /
Ahli Parlimen Kubang Kerian

2) TUAN HJ TAUFEK GHANI
Ketua Dewan Pemuda PAS NS

3) USTAZ NORDIN SAHLAN
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Jelebu

Seiringan dengan program ceramah tersebut UNIT AMAL NEGERI SEMBILAN dibawah pimpinan Saudara Sufian dan Saudara Zulkarnain akan membuka kaunter pendaftaran ahli baru Unit Amal Negeri Sembilan.

SEMUA DIJEMPUT HADIR

"PAS UNTUK SEMUA"

Yang benar
SAIFUL BAHRI
SETIAUSAHA
JABATAN PILIHANRAYA PAS KAWASAN JELEBU

Friday, December 7, 2007

AKU TETAP UNDI PEMBANGKANG

Semalam aku minum pagi di sebuah restoran di Seremban. Pemilik restoran tersebut seorang bekas pegawai tentera yang sudah lama aku kenal. Dia pun menyapa aku dan kawan2 aku. Oleh kerana kerana keramahan beliau tanpa dijemput dia pun duduk disebelah aku sambil memulakan bicara.

Cerita dia tak lain dan tak bukan tentang kenaikan harga barang. Dia mengeluh kerana kenaikan harga barang yang mendadak. Susu 1 peti naik RM 4.00 dan MILO satu peti naik RM 9.00. Aku yang tak berapa arif tentang harga barang ni, jadi aku hanya mendengar sahaja. Bulan depan Horlicks pula naik RM 3.00 kata beliau, towkay kedai tempat dia selalu beli barang tu dah sound dia awal2 katanya.

Akibat dari kenaikan tu sekarang dia jual Milo Ais dengan harga RM 2.00 segelas. Baru-baru in Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna datang ke Restoran beliau kerana dapat aduan mengatakan Restoran beliau menaikkan harga minuman sewenang-wenangnya. Habis abang ni kata Starbuck jual kopi RM 8.00 secawan dan MC Donald jual teh atau kopi dengan harga RM 3.50 secawan tak ada pulak kena saman. Kenapa dia seorang sahaja Kementerian nak saman. Adakah Starbuck dan McD sahaja yang terkesan oleh sebab kenaikan harga barang dan dia sebagai peniaga Restoran biasa tak terkesan? Betul jugak cakap abang ni kata aku.

Lepas tu dia sambung lagi kau nampak tak abang punya meja kat luar tu, itu pun MPS nak saman kata beliau lagi. MPS kata mengganggu jalan.Tapi kedai abang ni kat hujung sekali jalan ni tak ada sesiapa pun nak lalu jalan kaki kat sini kecuali kalau nak datang makan. Aku mengangguk tanda setuju dengan dia, sebab memang kedai dia kat hujung sekali. Kedai Mamak yang letak meja tengah jalan dan sampai ada yang letak seberang jalan tak ada pulak yang kena saman dengan MPS kata beliau.

Habis sekarang ni kau fikir lah POL (singkatan nama aku) ORANG MELAYU yang kena tindas dan diskriminasi ke atau bangsa asing yang kena tindas? Orang Melayu berniaga tanpa lesen warongnye dan barang-barang niaga kena rampas. Restoran atau warong Orang Melayu di Senawang banyak yang kena roboh dan yang nak kena roboh. Habis sekarang siapa yang kena tindas dan diskriminasi sekarang. Di Malaysia yang pemerintah nya Melayu tapi yang kena tindas adalah orang Melayu, kata abang itu. Betul jugak cakap abang askar ni kata aku, sebab aku tengok kat mana2 di Seremban ni kedai orang Melayu lah yang nak selalu dan banyak kena roboh.

Selesai berborak dan minum pagi aku pergi kedai hardware yang biasa aku pergi untuk beli barang2 kerja aku. Masuk je kedai tu towkay tu beritahu aku bulan depan harga batu putih dan batu merah naik 2 sen.Banyak … tu sebab nak buat satu rumah bukan pakai satu batu tapi puluhan ribu batu bata. Kalau satu batu naik 2 sen puluhan ribu batu berapa ribu ringgit pula nak kena tambah. Wah ..banyak tu. Towkay tu kata barang2 paip, paku dan besi pun naik lagi bulan depan. Habis la semua naik lagi aku mengeluh. Macam ni harga untuk ubahsuai atau bina rumah kena naik lagi la nampaknya mula bulan depan. Kalau tidak tak boleh nak biayai kos.

Pagi ni aku pergi Rembau nak tengok kerja. Seperti biasa aku mesti singgah di sebuah Restoran Mamak di Pekan Pedas untuk pekena roti canai dan teh tarik yang memang ‘kaw’ kat situ. Sementara menunggu makanan yang aku pesan sampai, maka aku terdengar lah perbualan 2 orang lelaki lingkungan sebaya aku kat meja belakang sedang rancak bersembang tentang kenaikan harga barang. Harga barang semua naik, tapi duit gaji kita tak naik2 pun, kata seorang antara mereka. Ini yang buat aku ‘tension’ ni kata member dia. Mana nak cukup kalau macam ni tiap2 bulan kata yang sorang lagi. Lepas tu aku dah tak dengar lagi sebab roti canai dan teh tarik aku dah sampai, aku pun dah naik malas nak pasang telinga, tak habis2 hal kenaikan harga barang lagi.

Tapi itulah hakikat yang sebenar-benarnya berlaku di Malaysia sekarang ini. Semua orang sibuk bercerita tentang kenaikan harga barang tetapi di Malaysia macam biasa lah hanya sekadar cerita kisah sedih dan duka. Tak mampu lah, duit tak ada lah, kerajaan tak patut lah naikkan harga barang tapi yang pelik dan ajaibnya rakyat Malaysia ni tak nak jugak berubah untuk menukar kerajaan yang ada. Bila kerajaan naik harga barang rakyat komplen tapi tangan2 rakyat itu juga lah yang mengundi kerajaan yang sedia ada ini. Dah tentu lah kerajaan BN (Barang Naik) tapi dia orang tetap undi jugak yang itu. Habis nak salahkan siapa lagi? Tahun depan harga petrol dan gas akan naik, harga atau bayaran tol naik lagi. Maka dah tentu harga barang dan harga perkhidmatan akan naik lagi selaras dengan kenaikan harga petrol dan lain-lain kenaikan. Tapi rakyat Malaysia tak sedar diri jugak. Tetap juga undi kerajaan yang lama tu. Kalau awak sendiri dah mengundi kerajaan BN tak payah lah nak komplen2 lagi terima aje lah segala kenaikan2 yang dikenakan.

Tak payah nak cerita2 atau nak cakap lagi terima aje dan cari lah duit lagi untuk tambahan pendapatan untuk diberikan kepada kerajaan BN yang sedia ada.

Teringat aku masa baru-baru kenaikan harga petrol sebanyak 30 sen dahulu. Ada 3 orang pakcik ni di Pekan Kuala Pilah kat satu warong teh tarik sedang panas dan hangat bersembang hal harga minyak naik. Macam2 maki hamun dan sumpah seranah keluar dari mulut pakcik2 ni sampai aku naik bengang dan boring. Akhirnya aku bangun dan pergi beritahu kat pakcik2 ni nak buat apa bising2 sebab setahu aku kat Kuala Pilah ni semuanya tak kira tua atau muda semuanya mengundi BN dalam pilihanraya 2004 yang lalu kata aku. Tak ada pun yang nak menyokong atau mengundi PAS atau lain2 dalam pilihanraya tu. Jadi apa hal nak bising2 lagi kata aku. Macam aku lain lah kata aku, kat lori aku tu terang2 ada lambang BULAN (PAS) dan aku pula sejak pilihanraya 1999 aku tak pernah mengundi BN kata aku lagi. Jadi aku boleh komplen kata aku. Senyap terus pakcik tu, nasib baik dia senyap kalau tidak aku basuh dia cukup2. UNDI…LAH..BN lagi baru PADAN MUKA KORANG SEMUA... SEMUA BARANG NAIK. AKU tetap akan undi pembangkang pilihanraya nanti. Kalau tak ada PAS atau KeAdilan bertanding biar aku undi DAP asalkan aku undi PEMBANGKANG. SIAPA NAK IKUT AKU ???

Thursday, November 22, 2007

Siapa Lebih Anjing Dari Anjing?

Sekonyong-konyongnya berita perdana TV3 malam ini menyiarkan kejadian polis memanggil wartawan media sebagai 'ANJING' di Baling, Kedah. Terperanjat juga aku dengan berita tersebut. Tetapi sebagai anggota parti pembangkang aku tidak merasa hairan malah ketawa sendiri dengan perbuatan polis dan wartawan tersebut.
Apa tidaknya pada hari 10 November 2007 semasa perhimpunan aman rakyat anjuran "bersih" yang lalu bagi aku kedua-duanya sama sahaja. Baik polis mahu pun wartawan kedua-duanya sama sahaja menjadi anjing kerajaan BN. Polis menurut apa yang kerajaan suruh buat tanpa mengira dari segi undang-undang hak rakyat untuk berhimpun dengan aman. Polis menembak rakyat yang sedang duduk2 dengan aman di jalan masjid jamek dengan gas pemedih mata dan air racun untuk menyuraikan mereka. Padahal rakyat yang berhimpun itu langsung tidak membuat sebarang provokasi malah ada sedang rehat sambil menghisap rokok, ada yang sedang membaca suratkhabar, ada yang sedang bersembang-sembang sambil menunggu arahan dari pemimpin untuk memulakan perarakan aman ke Istana Negara bagi menghantar memorandum.
Apakah salah rakyat yang berhimpun dengan aman itu sehingga ditembak dengan gas pemedih mata dan dipancut dengan water canon yang menembak air racun. Ada pula hamba rakyat yang dikejar, dipijak dan dipukul oleh polis dalam usaha mereka untuk mematuhi arahan kerajaan yang zalim.
Wartawan media arus perdana pula pada hari tersebut tidak kurang ramainya yang hadir. Kononnya hendak membuat liputan tentang himpunan aman "bersih" tersebut. Tetapi apa berita yang keluar. Satu berita atau satu gambar pun tidak ada yang keluar baik dalam suratkhabar utama mahupun televisyen. Jadi apa gunanya mereka hadir pada perhimpunan tersebut. Berita yang keluar adalah berita palsu dan bohong dengan menyatakan hanya 4000 orang yang hadir untuk berhimpun. Keluar lagi berita menyatakan perhimpunan "bersih" telah gagal. Ada juga berita yang menyatakan peserta himpunan "bersih" telah bertindak ganas dan mengganggu gugat ketenteraman awam. Bukan kah berita-berita ini semuanya palsu dan bohong! Semuanya kerana gara-gara wartawan dan media telah hilang kredibiliti mereka kerana mahu mengikut arahan dan mengampu kerajaan BN yang zalim.
Tiba-tiba hari ini tup tap keluar berita di Kedah polis memanggil wartawan sebagai anjing. Padahal Baling Kedah itu jauh dari Kuala Lumpur tempat berlakunya himpunan aman "bersih" pada 10 November baru-baru ini. Persoalannya siapakah yang lebih anjing dalam tingkah laku dan lapuran mereka? Polis atau wartawan media? Tepuk dada tanya la diri sendiri....

USRAH

Usrah MTD klawang akan diadakan pada ketetapan yang berikut :-

Tarikh : 1 Disember 2007 (SABTU)

Masa : 7.00 malam (MAGHRIB)

Tempat : Rumah Tn Hj Hassan Bin Abdul Rahman (Pengarah MTD)
200 Jln Teriang, Petaling, 71600 Kuala Klawang

Naqib : Ustaz Suhaimi Bin Kassim
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Seremban

Semua ahli dan AJK MTD Klawang dijemput hadir bersama-sama. Ahli dan AJK PAS Kawasan Jelebu juga dijemput hadir bersama-sama.

Monday, November 19, 2007

CERAMAH USTAZ SHAHRIL LONG

Ceramah akan diada kan pada :-

Tarikh : 25 November 2007 / 15 Zulkaedah 1428 (AHAD)

Masa : 9.00 malam

Tempat : Markas PAS Cawangan Kg. Geylang
Pertang, Jelebu, NS

Penceramah :
1) Ustaz Shahril Long
2) Saudara Zulkefly Mohamad Omar (PJ NS)
3) Ustaz Esa Jaafar (Setiausaha PAS Kawasan Jelebu)

Semua Di jemput Hadir.

KISAH BENAR

Hari Sabtu baru-baru ni aku menyahut seruan pimpinan PAS dan "BERSIH" untuk memakai baju kuning (t-shirt) bersih.Maka kami sekeluarga berjalan-jalan lah di sekitar Seremban dengan memakai baju kuning tersebut.Destinasi pertama adalah Jaya Jusco Seremban sebab anak aku nak beli lap top.Sampai je kat Jusco orang ramai yang ada kat situ memandang kami semacam.Ada yang senyum, ada yang macam hairan dan ada yang buat tak tahu aje.
Yang paling cemas nampaknya SB sebab saya perasan 1 orang SB Seremban yang perasan saya dan nampak pulak saya pakai baju kuning "bersih".Dia pun terus telefon tak tahu lah kemana.Lepas tu dia ikut kita orang masuk Jusco dan jalan-jalan dalam Jusco.Mungkin dia ingat "BERSIH" nak buat demonstrasi aman kat Jusco pulak kot.
Lepas Jusco kita orang pergi ke TESCO di S2 pula.Kat sana kita orang ingat nak jalan-jalan aje dan beli barang dapur sikit.Terjumpa pula satu orang hamba Allah yang turut memakai baju kuning "BERSIH" kat situ.Aku angkat tangan dengan dia dan lepas tu dah tak ada apa-apa nak beli maka kita orang pun balik.
Dalam perjalanan balik kita orang singgah pula di GIANT Senawang.Isteri aku terlupa pula nak beli sesuatu.Maka terpaksa lah aku singgah kat sana walaupun terasa dah letih berjalan.Di Giant terjumpa lah dengan 2/3 orang kawan-kawan di situ.Maka sembang-sembang lah sekejap hal perhimpunan "bersih" pada 10 Nov yang aku turut serta.Dia orang semua tak pergi ada hal masing2 yang tak dapat nak dielak.Ada juga nampak satu orang sahabat yang nampak aku memakai baju kuning "BERSIH", dia terus menyimpang dan tak berani nak menegur aku.Macam dia nampak hantu lah pulak.Apa punya orang macam ni aku pun tak tahu lah.Tak ada perjuangan langsung dan takut tak bertempat.Nak menyatakan hak rakyat yang benar pun tak berani, apa nak jadi aku pun tak tahu lah.
Kadang-kadang aku tengok ada makhluk atau manusia yang sanggup hidup terhimpit dan menggadaikan maruah diri sendiri dan keluarga asalkan mereka dan keluarga mereka selamat dan tak ada sesiapa yang kacau.Kalau zaman Jepun orang-orang macam ini lah yang biasanya jadi pengkianat bangsa dan ugama.Kalau tak percaya tengok lah cerita "EMBON".Siapa yang jadi pengkhianat orang Melayu dan jadi pemberi maklumat untuk Jepun.
Maka lebih kurang dekat pukul 3 petang baru lah kita orang balik rumah.Selesai lah promosi "bersih" untuk hari Sabtu minggu tersebut.Untuk hari Sabtu minggu hadapan tengok lah macammana pula,mungkin lebih ramai orang akan memakai baju kuning "bersih".Gelombang kuning ini mesti diteruskan walau apa pun salakan-salakan dari anjing-anjing yang kita dengar.Peduli kan dengan salakan tersebut.
"HIDUP GELOMBANG KUNING,HIDUP RAKYAT"

Sunday, November 11, 2007

Dari Jelebu ke Istana Negara

Tarikh 10 November 2007 seperti jangkaan ramai program "bersih" tetap berjalan seperti yang telah dirancangkan walaupun dah berhari-hari media pro kerajaan dan juga pimpinan Negara dari UMNO dan BN menyalak-nyalak mengatakan bahawa perhimpunan itu haram, tak ada permit, kerajaan dan pihak berkuasa akan ambil tindakan pada para peserta yang hadir dan berkumpul lah, dan bermacam-macam lagi jenis salakan.Tapi salakan anjing-anjing ini tidak diendahkan oleh manusia2 yang berhati dan berjiwa besar yang sayangkan Negara Malaysia ini yang ingin melihat satu keadilan terlaksana dalam negara ini.Salakan anjing ini tidak dapat meruntuhkan hati dan jiwa ratusan ribu makhluk yang berkumpul pada tarikh keramat 10 November itu.Tahniah dan Syabas aku ucapkan pada seluruh jiwa dan makhluk yang hadir pada hari tersebut.
10 November aku pun turut serta walaupun aku turun kl agak lambat sikit sebab terpaksa menyiapkan dan membersihkan tempat usrah MTD untuk kegunaan malam tersebut.Grup aku dianggotai oleh Wak Kateran(Pemangku YDP Jelebu) & Arifin (orang muda anak aktivis kuat PAS Jelebu). Kami bergerak tepat jam 12 tengahari dari Larong dan sampai KL hampir nak pukul 2.00 petang. Di Kuala Klawang dah ada sekatan polis yang dibuat. SB yang jaga kat sekatan tu pandang aku dan terus suruh aku jalan. Di KL sebaik lepas plaza tol Sg. Besi kami terpaksa melalui satu lagi sekatan polis. Alhamdulillah kami tidak di tahan.
Kami naik LRT dari Bukit Jalil dan turun di Plaza Rakyat. Dari situ kami berjalan kaki dalam hujan renyai-renyai ke Pasar Seni (Central Market) untuk berkumpul dengan kumpulan2 yang lain. Sepanjang perjalanan ke CM kami melalui beratus-ratus polis yang berpakaian seragam,FRU dan SB-SB berkumpul. Kami terus menyusuri jalan dengan perlahan melalui celah-celah kumpulan polis tersebut. Sampai aje di CM kumpulan orang ramai yang berada di sana baru hendak memulakan perarakan ke Istana Negara. Kami ingat sedikit sahaja rupanya berpuluh ribu orang yang keluar dari perut bangunan CM tersebut. Kami terus "join" kumpulan besar tersebut dan berjalan kaki dalam hujan renyai itu untuk ke Istana Negara.
Sambil berjalan tu aku melalui Bus-Stand Klang.Dah berpuluh tahun aku tak sampai bus-stand klang tu walaupun satu ketika dulu dalam tahun 80 an tempat aku melepak dengan member2 semasa masih belajar di ITM Shah Alam. Macam ternampak2 lak muka Are mamak dan Botak tengah menunggu bas nak balik ke ITM lepas pulang dari kampung.
Sampai je di Kg Attap kami bertembung dengan perarakan bersih yang berkumpul di Masjid Negara. Maka terjadi lah satu Tsunami lautan manusia yang berarak menuju ke Istana Negara. Perarakan manusia ini mendapat sokongan dari pengguna jalanraya yang membunyikan hon beratalu-talu juga diiringi oleh helikopter TV3 yang mengambil gambar perarakan tersebut. Hingar bingar sungguh ditambah lagi dengan bunyi siren polis dan FRU.
Sampai je di Istana Negara telah terdapat puluhan ribu manusia yang sudah terlebih dahulu sampai dari kami. 4 water canon dan barisan polis FRU telah siap sedia menunggu kami di depan pintu Istana Negara. Tapi nampak nya hati peserta perhimpunan aman bersih sungguh cekal dan bersatu. Kami berkumpul disitu (depan Istana Negara) sehinggalah mendapat pemgumuman dari pemimpin "bersih" menyatakan memorandum "bersih" telah diserahkan pada Yang Dipertuan Agong oleh Tuan Guru Hj Hadi dan Anwar Ibrahim. Selepas itu pimpinan "bersih" meminta kami bersurai dan pulang kedestinasi masing-masing dengan aman. Aku nampak seluruh jiwa dan makhluk yang berada di depan Istana Negara itu akur dan bersurai serta pulang dengan aman. Kumpulan polis dan FRU di depan Istana itu nampak seperti terpingga-pinga bila melihat seluruh manusia yang ada itu berpusing dan bersurai dengan aman di depan mereka dengan muka tenang seperti tiada kegawatan yang berlaku. Sungguh aman perhimpunan pada hari tersebut dan "BERSIH" telah berjaya mengadakan satu perhimpunan aman rakyat yang terbesar di negara ini. Tahniah dan Syabas kepada "bersih" dan juga kepada seluruh kepimpinan NGO dan parti-parti pembangkang yang hadir pada hari tersebut. Kita berharap SPR dan kerajaan akan akur dengan tuntutan "bersih" untuk membersihkan perjalanan pilihanraya di Malaysia ini.

Thursday, November 8, 2007

Himpunan

Himpunan bersih pada 10 November 2007 ini adalah tarikh keramat yang akan menentukan masa depan dan hala tuju perjalanan pilihanraya di Malaysia. Berjaya kah Gabungan Parti-parti pembangkang beserta NGO-NGO yang bersatu di bawah "bersih" menyampaikan memorandum keramat tersebut kepada Yang Dipertuan Agong Malaysia Sultan Mizan sama-sama lah seluruh rakyat Malaysia saksikan.
Apakah tindakan dan halangan yang akan di adakan oleh parti pemerintah yang korup ini untuk menggagalkan himpunan dan niat murni rakyat untuk berhimpun dan menyerahkan memorandum kepada Raja yang disayangi oleh seluruh rakyat jelata. Sama-samalah kita saksi dan lihat. Semenjak 2/3 hari ini Dato' Johari Baharum Timbalan Menteri Dalam Negeri sibuk menjajakan di dalam berita arus perdana menyatakan perhimpunan 10 November tidak mendapat permit dan sesiapa yang menghadiri akan diambil tindakan oleh pihak berkuasa (polis). Nampaknya pihak polis akan digunakan sekali lagi oleh kerajaan yang korup ini untuk menghalang himpunan aman oleh rakyat.
Persoalannya apakah perhimpunan dan demonstrasi aman adalah sesuatu yang amat salah dan haram untuk diadakan? Kenapakah kerajaan Malaysia yang diterajui oleh BN begitu takut dengan demonstrasi aman atau perhimpunan aman rakyat. Sekiranya benar seperti yang dinyatakan oleh Pak Lah bahawa kerajaan BN pimpinan beliau mendapat sokongan dari seluruh rakyat Malaysia sehingga mendapat kemenangan yang begitu besar dalam PRU tahun 2004, jadi kenapa perlu takut dengan hanya beberapa peratus rakyat yang berhimpun. Tidak sampai 1% pun dari seluruh rakyat Malaysia yang akan berhimpun pada 10 November ini.
Kita rakyat Malaysia biasa menyaksikan di dalam berita arus perdana bagaimana rakyat diluar negara dan rakyat di negara maju pun berhimpun untuk menyatakan bantahan mereka secara aman kepada pemerintah. Tidak pernah pula ia menjadi satu kesalahan kepada pemerintah di negara-negara tersebut asalkan tidak berlaku kacau bilau dan sebagainya. Kita biasa menyaksikan bagaimana rakyat dan pelajar di negara jiran Indonesia berdemonstrasi aman menyatakan bantahan mereka kepada pemerintah Indonesia, tidak pula ia menjadi satu kesalahan, tetapi di Malaysia yang dikatakan demokrasi ini perhimpunan aman rakyat adalah satu kesalahan besar dan akan dihalang pula secara besar-besaran oleh pihak pemerintah dengan menggunakan polis dan sebagainya. Bukankah ini satu demokrasi yang pelik dan tidak bermaruah?
Maka kalau benar Malaysia ini satu negara demokrasi maka pemerintah perlu membenarkan himpunan aman rakyat ini berjalan seperti biasa dan seperti yang dirancang oleh "bersih" untuk membuktikan bahawa Malaysia adalah Negara Demokrasi. Jika tidak pemerintah BN telah mencalit arang di muka sendiri dengan mengaku Malaysia sebagai negara demokrasi. Atau pun kalau tidak pemerintah Malaysia istiharkan sahajalah bahawa demokrasi telah berkubur di tanah merdeka ini. Maka dengan itu pemerintah boleh lah membuat apa sahaja dan menjalankan hukuman kuku besi kepada rakyat untuk memudahkan mereka menjalankan pemerintahan. Apakah ini yang Pak Lah, Najib dan Johari Baharum hendak lakukan? Tepuk dada tanya selera atau nafsu anda sendiri. Apakah ini yang kamu hendak lakukan? Kalau ini berlaku dan sekiranya berlaku jua maka tiada erti nya lah kemerdekaan bagi Negara Malaysia yang tercinta ini.
"MERDEKA" satu perkataan keramat yang dilaung-laungkan oleh seluruh rakyat Malaysia. Tapi apa gunanya jika ia hanya satu perkataan sahaja tanpa roh, semangat, akal fikiran, jiwa dan hati dan perasaan yang sebenarnya merdeka. Jika 10 November 2007 ini himpunan aman rakyat anjuran "bersih" di halang dan di gangu oleh polis atas arahan pemerintah maka tiada ertinya lah lagi kemerdekaan 50 tahun Negara Malaysia ini. Apa guna merdeka jika kita tak punya suara untuk bersuara. Apa guna merdeka jika seluruh rakyat telah menjadi bisu dan takut untuk bersuara, takut untuk menyatakan perasaan mereka, takut untuk berhimpun dan takut segala-galanya. Apa gunanya merdeka jika segalanya di kongkong oleh pemerintah yang korup, zalim dan kejam. Tiada ertinya lagi....mer...de...ka....
Maka jika sebenarnya lah kita ni anak merdeka maka kita turunlah beramai-ramai pada 10 November 2007 ini tanpa mengira apa pun fahaman politik, agama mahupun bangsa kita. Kita anak Malaysia yang merdeka sudah semestinya dan seharusnya boleh berhimpun secara aman untuk menyatakan kebenaran atau kepalsuan yang berlaku di dalam negara ini. Sambut lah seruan "bersih" dan pemimpin kita dan nyatakan hak kita secara aman, berhemah dan bersiplin.

Sunday, September 30, 2007

USRAH

Usrah PAS MTD Klawang akan diadakan 2 kali sebulan iaitu pada tiap-tiap minggu pertama dan minggu keempat.
Jadual bulan Oktober :-
1) Minggu pertama, pada 6/10/07 (Sabtu)
Tempat : Rumah YDP (Cikgu Hj Jaaman Abu)
Jam 7.15 malam
Aturcara :
a) Buka Puasa bersama-sama.
b) Maghrib Berjemaah
c) Usrah. Naqib : Ustaz Suhaimi Rembawi
d) Isya' Berjemaah
e) Solat Tarawih

2) Minggu Keempat, pada 27/10/07 (Sabtu)
Tempat : Rumah Pengarah MTD Klawang (Tn Hj Hassan Abdul Rahman)
Jam 7.15 malam
Aturcara :-
a) Maghrib Berjemaah
b) Usrah. Naqib : Ustaz Esa Jaafar
c) Isya' Berjemaah
d) Jamuan Ringan

Semua Ahli PAS Kawasan Jelebu dan MTD Klawang dijemput hadir. Penyertaan juga dibuka kepada ahli PAS dari Kawasan-kawasan yang lain.

Yang benar,
Saiful Bahri
Setiausaha MTD Klawang.

Friday, September 14, 2007

10/08: Lima puluh tahun terang bulan terbarai

Category: General

Posted by: Raja Petra

74 Comments

DARI JELEBU

Hishamuddin Rais


Ha ha ha…. Semuanya sedang terbarai. Retak, pecah akhirnya terbarai. Ketika saya menulis ini muzik latar yang mengiringi ketikan jari saya di lap top ialah putaran muzik Memula Moon versi paling terbaru. Ini versi rap rock parodi counter culture yang cool lagi menggiurkan.Tiga helai bulu ari dan tiga helai janggut untuk anak muda yang merekonstruksi Memula Moon.
Memula Moon a.k.a Terang Bulan a.k.a Negaraku a.k.a Negara Kuku kini menjadi top hit yang hampir mencecah satu juta pendengar dan puluhan ribu memberi komen. Angka-angka ini kelihatan terus melonjak. Ratusan ribu Mak Cik Felda dan Pak Cik Teksi, di seluruh negara – dari Perlis hingga ke Mersing yang tidak ‘connected’ sedang tertanya-tanya – Negara Kuku itu apa? Tiga helai lagi bulu ari untuk Namewee.
Saya telah lupa entah berapa kali saya telah menulis tentang lagu Terang Bulan ini. Semenjak saya di Universiti Malaya dalam tahun 70-an lagi saya telah menulis dan menerangkan apakah dia si Terang Bulan. Saya tidak akan lupa bagaimana Concorong Republik Indonesia Bung Karno telah memainkan lagu Terang Bulan ketika Konfrontasi (1963-64).
Terang Bulan dimainkan di concorong. Concorong? Apakah jadahnya concorong ini? Untuk mereka yang lahir pada zaman Firaun, concorong adalah perkataan Melayu untuk radio. Perkataan ini telah saya pelajari sebelum saya belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris.
Bung Karno memainkan lagu Terang Bulan di Radio Republik Indonesia untuk memperlekehkan Tengku Abdul Rahman seorang budak suruhan Inggeris yang tidak berupaya membuat lagu kebangsaan sendiri. Memang tepat anggapan Bung Karno ini. Bagaimana sebuah negara yang menggelar diri mereka – merdeka – tetapi lagu kebangsaan pun diciplak.
Ha ha ha. Selama 50 tahun penciplakan ini telah disorok di bawah kopek United Malay National Organisations. Betapa besar pun kopek Rafidah dan kopek Shahrizat, penciplakan ini akhirnya diketahui umum. Memula Moon akhirnya tertonjol keluar apabila kopek-kopek United Malay National Organisations yang semakin mengecut.
Pada satu ketika dahulu lagu Terang Bulan opps... Negara-ku ini dimainkan di panggung wayang. Ini pun ketika saya belum belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris. Awalnya Terang Bulan dimainkan sebelum filem bermula. Kami kanak-kanak seperti biasa dibuli agar bangun berdiri – kunoon –sebagai contoh rakyat patriotik. Kemudian, entah apa berlaku Terang Bulan dimainkan apabila filem selesai diputar. Akhirnya hingga ke hari ini satu hampeh pun tidak ada lagi. Warga telah bosan dengan Terang Bulan.
Sebenarnya pada ketika itu dalam panggung wayang tidak sesiapa yang ambil pot apabila Terang Bulan berbunyi dan bendera Star and Stripes opps salah lagi... apabila bendera Tanah Melayu berkibar. Kami anak-anak sekolah sahaja yang berdiri kerana takut (sic) kalau-kalau cikgu ada sama di dalam panggung. Pak Cik, abang dan kakak langsung tidak ambil pot apabila Terang Bulan berbunyi.
Semua ini berlaku ketika beberapa tahun sesudah British meninggalkan Tanah Melayu. Ini di era Firaun belum menjadi Firaun. Ini di zaman surat beranak Mahathir masih ditulis ‘son of Kutty’. Ini sebelum Razak Hussein dapat berkenalan dengan Sarimah. Ini pada zaman ada joget lambak selepas perkahwinan anak wakil rakyat Pas.
Zaman yang saya katakan ini ialah zaman sebelum kita semua boleh menggoogle. Zaman sebelum Mahazalim dan Mahafiraun menjadi santapan bacaan. Zaman sebelum blog wujud dan menyusahkan Utusan Malaysia dan RTM.
Kini kita telah memasuki zaman pasca moden. Semuanya boleh. Naratif induk tentang dunia ini di wujudkan oleh tuhan dalam masa tujuh hari telah dipersoalkan. Meta naratif tentang Adam dan Hawa hanya dilihat sebagai metafora.
Semua naratif boleh dipersoalkan. Semua naratif telah berkecai dan terbarai. Tidak wujud lagi pemusatan hegemoni naratif yang menjadi ikutan umat manusia. Kita semua telah ‘connected’- manusia pasca moden hanya perlu menggoogle untuk mengetahui apa sahaja maklumat dalam dunia ini.
Kerana itu saya dapat mengetahui bahawa Terang Bulan, Negara-ku, Negara Kuku berasal dari lagu Memula Moon. Jika tidak percaya apa yang saya tulis sila google perkataan Memula Moon. Tidak percaya lagi? Sila google perkataan Negara-ku. Masih was-was, sila lawati YouTube. Di sini dapat dilihat bukti-bukti sahih tentang asal-usul Negara Kuku. Bukti ini boleh kita semua dapati tanpa perlu berhubung dengan Gani Patail atau merasuah sesiapa untuk mendengar alunan gesekan biola Memula Moon.
Ha ha ha. Lima puluh tahun Projek Malaysia telah terbukti semakin gagal. Apa yang sedang kita semua lihat dan baca hari ini adalah manifestasi dari kegagalan Projek Malaysia. Projek Malaysia ini tidak bertiang, tidak berpaksi dengan kebenaran. Projek Malaysia tidak berdiri di atas fakta sejarah. Projek Malaysia berdasarkan kong kali kong dan klentong demi klentong. Tutup lubang gali lubang.
BUKTI PERTAMA – Malaysia BUKAN 50 tahun. Hari Malaysia BUKAN 31 Ogos. Projek Malaysia bermula pada 16 September 1963. Sila google untuk kesahihan fakta ini. Jika TIDAK percaya sila pergi tanya Mat Sabah atau Minah Sarawak. Dua wilayah ini memasuki Malaysia pada 16 September 1963 BUKAN 31 Ogos 1957.
BUKTI KEDUA - Tuntutan MERDEKA adalah projek dan tuntutan Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Merdeka BUKAN projek United Malay National Organisations. Projek United Malay Organisations ialah – HIDUP Melayu (macamlah Tanah Melayu tak ada oksigen).
BUKTI KETIGA - Kemerdekaan dicapai tanpa tumpah darah. BOHONG. Penyokong dan anggota Parti Komunis Malaya, PKMM, Angakatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Hisbul Muslimin, Malayan Democratic Union adalah di antara ribuan anak bangsa yang telah mengangkat senjata melawan penjajah British.
BUKTI KEEMPAT – Lagu Negara-ku bukan lagu hasil ciptaan warga Tanah Melayu. Lagu ini adalah ciptaan penyair dan komposer Perancis yang bernama Pierre Jean Berager yang lahir pada kurun ke-19. Beliau yang menulis muzik lagu Memula Moon a.k.a Negara-ku.
BUKTI KELIMA - Warna bendera Malaysia yang wujud hari ini tidak ada sangkut paut dengan budaya dan asas bumi ini. Bendera yang ada pada hari ini adalah ciplakkan dari bendera Amerika Syarikat. Bendera Langkasuka tamadun Melayu di Lembah Bujang ialah Merah Putih. Warna merah putih ini berkibar sebagai bendera negara Indonesia, Singapura dan dipakai oleh United Malay National Organisations sendiri.
Ha ha ha. Semuanya terbarai kerana kita semua boleh menggoogle, membaca, menulis dan menonton laman-laman web tanpa disaring oleh hegemoni daulah. Terima kasih Ronald Reagan yang telah menghadiahkan internet kepada dunia. Tiga helai bulu ari untuk arwah Ronald Reagan.
Justeru jangan hairan kenapa bendera Malaysia hari ini tidak berkibar. Dirotan, dipaksa dan disaman pun orang ramai TIDAK ambil pot. Rakyat telah muak dengan pembohongan demi pembohongan. Projek Malaysia yang penuh dengan klentong telah kelihatan gagal. Naratif Malaysia kini sedang dicabar oleh maklumat-maklumat yang bergantang-gantang keluar dari internet.
United Malay National Organisations yang terus bersikap esklusif dan possesive tentang Merdeka kelihatan terpencil bersendirian. Mereka memukul gendang maka mereka sahajalah yang berongeng. Sikap dan perangai United Malay National Organisations yang eksklusif dan tidak demokratik ini pasti akhirnya akan membosankan rakyat Sabah dan Sarawak.
Tidak menghairankan satu ketika nanti rakyat Sabah dan Sarawak akan menghidupkan kembali cita-cita asal perjuangan mereka untuk menubuhkan negara merdeka Kalimantan Utara – penyatuan Sabah Sarawak dan Brunei. Fakta Kalimantan Utara ini juga telah cuba disorokkan di bawah kopek. Tetapi dengan wujudnya internet semua fakta akan muncul dengan bantuan Pak Cik saya yang bernama Lebai Google bin Mat Yahoo.
Bila rap Terang Bulan terus berputar di lap top saya tersenyum puas. Saman? Tangkap anak muda yang mengkonstruk Memula Moon? Rotan dia? Masukkan dalam penjara? Poorah. Hanya seorang sahaja yang berhak menyaman iaitu manusia yang bernama Pierre Jean Berager. Saman dari kaum keluarga Jean Beranger wajib disampaikan kepada sesiapa sahaja rakyat Malaysia yang masih menganggap lagu Memula Moon ini sebagai lagu Negara-ku.
Apakah saya seorang pengkhianat bangsa kerana menulis perkara-perkara ini? Apakah saya tidak patriotik? Sila google dan baca apa kata Mark Twain tentang patriotik. Pengkhianat bangsa? Dalam negara yang penuh dengan klentong, penipuan dan pembohongan bercakap benar adalah tindakan yang revolusioner.

Cowboy Kampung wrote:

Satu rencana yang menarik dari Sdr Hishamudin Rais.

Saya ingin menambah berberapa fakta/bukti tambahan untuk menyokong penyataan dan hujah yang telah dibuat oleh sdr Hishamudin Rais. Hakikatnya terlalu banyak fakta/bukti yang disorok secara sistematik oleh UMNO dan pemerintah dalam usaha menyusun naratif bingkai-bingkai sejarah mengikut acuan mereka.
BUKTI PERTAMA : Perkataan "Malaysia" bukan idea asli UMNO atau mana-mana nasionalis melayu. Perkataan "Malaysia" dicipta pertama kalinya dan muncul didalam dunia akademik oleh sarjana berbangsa Amerika bernama Rupert Emerson (lahir 1899 - mati 1979) yang telah mengkaji dan menulis sebuah buku tentang dasar dan pemerintahan British di Malaya yang bertajuk "Malaysia: a study of Direct and Indirect Rule" yang diterbitkan pertama kalinya pada tahun 1937.
BUKTI KEDUA: Kemuncak kebangkitan rakyat Malaya terhadap pemerintahan British bukan ketika penentangan/ demonstrasi yang diketuai UMNO dan pertubuhan-pertubuhan Melayu terhadap Malayan Union pada tahun 1946. Kemuncak penentangan rakyat Malaya terhadap pemerintahan British ialah pada 20 OKTOBER 1947 dimana gabungan parti-parti politik dan pertubuhan KIRI (baca:Sosialis)berbilang kaum PUTERA-AMCJA melancarkan HARTAL (mogok besar-besaran) seluruh Malaya. Hampir keseluruhan aktiviti ekonomi Malaya lumpuh pada hari itu yang mengakibatkan British kerugian hampir 4 juta pound Sterling pada hari itu. 20 Oktober 1947 adalah AKSI MASSA terbesar yang pernah dilancarkan oleh rakyat berbilang kaum dalam sejarah kita menuntut kemerdekaan.
(bacaan lanjut >>> http://www.malaysianbar.org... )
BUKTI KETIGA : Tiada suatu pun tokoh terkemuka UMNO yang menulis buku yang boleh dijadikan panduan untuk membangkitkan semangat kemerdekaan dikalangan rakyat sebelum Merdeka. Berbanding dengan tokoh-tokoh nasionalis yang cenderung kiri (baca:sosialis) mereka lebih aktif menulis dan menerbitkan buku-buku sebelum Merdeka.
Contoh :-

i) Ibrahim Yaacob
a) Melihat Tanahair :Jilid Pertama (1941). (sila rujuk : http://www.othermalaysia.or... )
b) Nusa & Bangsa Melayu (1951)
c) Sekitar Malaya Merdeka" (1957) (diterbitkan selepas Merdeka sebagai kenangan-kenangan gerakan Kemerdekaan Tanahair)
ii) Ishak Haji Muhammad @ Pak Sako, seorang tokoh politik kiri dan sasterawan tanahair yang begitu aktif menulis makalah politik, termasuk novel satira sebelum Merdeka. Antaranya adalah :-
a)Putera Gunong Tahan ( 1937)
b)Anak Mat Lela Gila (1941)
c)Bersatulah Sekarang (1946)
Allahyarham Ishak Haji Muhammad @ Pak Sako meninggal dunia pada 7 November 1991. Sumbangan, saham dan jasa Ishak Haji Muhammad cukup besar dalam gerakan kemerdekaan tanahair tetapi malangnya UMNO hanya menilai harga perjuangan Ishak Haji Muhammad sebanyak RM16,874.15. Itulah sumbangan wang yang diberi oleh parti UMNO kepada keluarga dan waris Allahyarham sebagai suatu tanda pengiktirafan terhadap perjuangan Allahyarham yang berjuang sehingga didalam penjara. Bandingkanlah jumlah wang itu dengan jumlah wang yang telah dirompak dan disogok oleh UMNO bagi merebut kekayaan negara!
(Sila rujuk >>> http://en.wikipedia.org/wik... )
iii)Dr. Burhanuddin Al-Helmy - seorang tokoh politik dan intelek tanahair yang amat berjasa kepada negara. Ditahan secara zalim dibawah ISA sehingga mengakibatkan keuzuran yang kronik yang membawa kepada kematiannya tidak lama selepas dibebaskan. Buku-buku yang telah dihasilkan oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy sebelum Merdeka adalah:-
a)Perjuangan Kita (1946)
b)Falsafah Kebangsaan Melayu (1954)
c)Agama & Politik (1954)
d)Sejarah Perjuangan Kita (1955)
iv)Ahmad Boestaman - Testament Politik A.P.I : Merdeka Dengan Darah (1946)

11/08 05:54:53

Cowboy Kampung wrote:

Tunku Abdul Rahman tidak dinafikan seorang penulis yang aktif tetapi kesemua buku-buku dan karya tulisannya hanya ditulis dan terbitkan setelah beliau pencen. Tun Abdul Razak, Saadon Jubir, Khir Johari, Tun Dr. Ismail tidak diketahui ada menulis buku dan menerbitkannya sebelum Merdeka (menulis rencana barangkali).
BUKTI KEEMPAT : Tuntutan Merdeka 100% (diistilahkan sebagai 'non-co (Non-cooperation) oleh nasionalis Kiri pada awal perjuangan menuntut Kemerdekaan yang mendapat sokongan meluas dari rakyat (sehingga British terpaksa 'melumpuhkan' gerakan kiri ini dengan mengisytiharkan darurat pada tahun 1948 dan menangkap borong ramai aktivis kiri dan nasionalis tulen tanahair) tidak tertunai ketika Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj membuat proklamasi atau permahsyuran Kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos 1957. Buktinya segala cabang daulah yang penting masih dikuasai oleh penjajah British selepas 31 Ogos 1957.
Ketua Hakim Malaya Merdeka masih ditangan British. Ketua Hakim Persekutuan Malaya Merdeka yang pertama adalah Tun Sir James Beveridge Thompson yang kemudiannya menjadi Ketua Hakim Malaysia sehingga tahun 1966.
Ketua Polis Negara masih dipegang oleh British sehingga tahun 1966. Tan Sri Sir Claude Fenner menjadi Ketua Polis Negara dari tahun 1957 hingga 1966. (8 tahun)
Selepas 31 Ogos 1957, Ketua Panglima Tentera masih dikuasai oleh British. Mejar Jeneral Dato FH Brooke menjadi panglima tentera dari tahun 1956 hingga october 1959 diikuti dengan Lt Jeneral Sir Rodney Moore yang berkhidmat dari tahun 1959 hingga 1962.
Punca-punca ekonomi negara masih dikuasai oleh British dan pemodal antarabangsa selepas 31 Ogos 1957.Ladang-ladang utama getah masih dikuasai oleh syarikat-syarikat british seperti Guthrie dan Harrison and Crossfield hingga pertengahan 70an.Monopoli timah di Malaysia masih dikuasai oleh British Mining Cooperation.Majoriti hak mengekploitasi minyak negara masih dikuasai oleh transnational company asing iaitu SHELL.
Bank Negara Malaysia, daulah terpenting bagi urusan ekonomi negara hanya ditubuhkan pada 26 Januari 1959, hampir dua tahun selepas 'Merdeka'. Siapakah Gabenor Pertamanya? Gabenor Pertama Bank Negara adalah Tan Sri W H Wilcock, juga seorang British yang menjadi Gabenor Bank Negara Malaysia dari tahun 1959 hingga Julai 1962.
Untuk memahami hal penubuhan Bank Negara dari sudut pandangan aristokrat feudal dan elitis Melayu yang penting ketika itu, sila rujuk buku "The Reluctant Politician : Tun Dr. Ismail & His Time" tulisan Ooi Kee Beng.Tun Dr. Ismail telah bertemu dengan David Rockefeller, Sr. di Amerika untuk memohon bantuan kepakaran bagi merelisasikan projek penubuhan Bank Negara. Siapa David Rockefeller ini? Bagi penyalak-penyalak teori talibarut Yahudi dan Amerika seperti Khairy Jamaluddin dan anak-anak buahnya dalam Pemuda UMNO, mereka wajib membaca buku ini dan kemudiannya mengkaji siapa David Rockefeller ini. Tun Dr. Ismail merakamkan kekagumannya yang tinggi terhadap 'ketokohan' dan 'kesudian' David Rockefeller membantu 'Malaysia'. Buku ini menjawab persoalan kenapa Tun Dr. Ismail begitu memusuhi golongan kiri dan menangkap begitu banyak aktivis kiri atas alasan 'Komunis' ketika menjadi Menteri Dalam Negeri.

(Sila rujuk wikipedia berkaitan David Rockefeller >>> http://en.wikipedia.org/wik... )

Persoalan yang paling besar dan amat penting ialah, adakah benar kita telah Merdeka dalam ertikata sebenarnya pada 31 Ogos 1957?
Pada pendapat saya , fakta inilah ( selain daripada fakta/bukti yang telah dikemukakan oleh saudara Hishamudin Rais) yang cuba disorok oleh UMNO dan elit penguasa bagi meneruskan tahyul dan dongeng betapa hebat, gigih dan bijaknya UMNO, MCA & MIC mencapai kemerdekaan negara sedangkan ternyata mengikuti bukti dan fakta sebenar sejarah, projek '31 Ogos 1957 Merdeka' itu adalah projek yang tidak direncanakan secara rapi yang mana ianya sebenarnya masih meneruskan cengkaman dan penjajahan British keatas pentadbiran dan ekonomi rakyat Malaya jauh selepas 31 Ogos 1957.

11/08 06:42:04

Thursday, September 13, 2007

Tanda pilihanraya semakin hampir

Cerita lama berulang kembali. Setiap kali pilihanraya hampir, penipuan yang sama akan di putarkan. Yang penting, imej Islam Teroris dan Militan perlu dilekatkan kepada parti pembangkang.

Sebagai seorang yang terlibat secara aktif dengan gerakan reformasi, sudah tentu aku tak percaya dengan tuduhan yang penyokong pembangkang bertindak liar dan menggunakan Molotov Cocktail serta membakar bendera Malaysia. Ini semua kerja POLIS. POLIS yang berlakon seperti orang awam. Agen-agen provokasi ini akan menghasut para demonstran untuk bertindak ganas.

Aku menjadi lebih marah lagi apabila Bapa Teroris Malaysia, Najib Tun Razak yang dikatakan terlibat dengan kes pembunuhan Altantuya menggunakan perkataan perusuh apabila ditanya dengan insiden yang berlaku di Kuala Terangganu.

Sila lihat berita dari Malaysiakini dibawah untuk membaca kenyataan Mustafa Ali dari PAS.

PAS tuduh setiausaha politik Pak Lah terlibat
Muda Mohd Noor
Sep 10, 07 5:54pm

PAS mendakwa Setiausaha Politik Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh bersekongkol dengan pihak polis untuk menggagalkan ceramah anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu, malam Sabtu lalu.

Wan Farid (foto) adalah Ketua Umno bahagian Kuala Terengganu dan adik kepada Exco Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Wan Hisham.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali mendakwa, Wan Farid telah mengarahkan polis mengambil tindakan membatalkan ceramah tersebut yang dihadiri oleh beberapa pemimpin politik pembangkang.

Selain Mustafa, pemimpin pembangkang lain ialah Naib Presiden PAS, Mohd Sabu; Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Triang, Leong Ngah Ngah.

“Wan Farid telah mengarahkan pegawai polis mengambil tindakan tersebut setelah usaha polis memujuk tuan rumah supaya membatalkan program ceramah gagal.

“Saya bertanggungjawab dengan kenyataan ini. Polis boleh membuat siasatan menyeluruh untuk mendapatkan kebenaran,” katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Keadaan kelam kabut

Hadir sama Mohd Sabu, Khalid, Exco DAP, Ronnie Liu; Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar dan Ahli Jawatankuasa PAS, Syed Azman Ahmad Nawawi.

Mustafa (foto) berkata, masalah berlaku apabila anggota polis berpakaian biasa yang didakwanya cuba membuat provokasi di tempat ceramah, berjaya dikesan orang ramai.

Berikutan itu, katanya, orang ramai cuba menangkap anggota polis berkenaan menyebabkan keadaan menjadi kelam kabut sebelum beliau melepaskan tembakan.

Dua ahli PAS, Suwandi Abdul Ghani, 37, cedera di bahagian dada dan terpaksa menjalani perbedahan di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian manakala Muhamad Azman Aziz, 21, cedera di leher dan dirawat di Hospital Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Mustafa mendakwa berpuluh orang awam tercedera dan empat daripada mereka parah.

“Ini kali pertama dalam sejarah polis menembak orang awam menggunakan peluru hidup untuk menyuraikan majlis ceramah pembangkang,” katanya.

Wan Farid nafi terlibat

Sehubungan itu, PAS, kata Mustafa meminta kerajaan menjalankan siasatan penuh di atas insiden tersebut.

Mustafa berkata, keluarga mangsa telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut manakala pasukan peguam PAS sedang mengendalikan kes tersebut.

“PAS juga akan menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Terengganu, Datuk Ayob Yaakob dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam),” katanya.

Sementara itu, ketika dihubungi malaysiakini, Wan Farid menafikan dakwaan Mustafa itu.

Sebaliknya, Wan Farid berkata, beliau tidak berada di tempat kejadian kerana ketika itu sedang mempengerusikan mesyuarat Umno bahagian Kuala Terengganu.

Menurutnya, beliau mendapat tahu mengenai kejadian tersebut daripada Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Razali Ismail.

Tuesday, September 11, 2007

Kenyataan Akhbar BERSIH

Monday, September 10, 2007

Tragedi Batu Buruk: Kenyataan media Bersih


Oleh
Badan Gabungan Tuntutan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih)

1) Pada 8 September 2007, Badan Gabungan Tuntutan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) yang menggabungkan parti-parti politik dan NGO merancang untuk mengadakan majlis perhimpuan aman berupa road show untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil di Batu Buruk, Kuala Terengganu.


2) Pihak penganjur telah membuat permohonan permit polis sebagaimana yang sewajarnya namun permit tidak dikeluarkan kepada pihak penganjur walaupun rayuan telah dibuat.


3) Pihak penganjur telah mendirikan pentas program namun pada jam 5 petang polis telah menceroboh masuk ke dalam kawasan rumah yang digunakan pihak penganjur dan merobohkan pentas itu tanpa keizinan tuan rumah.


4) Polis kemudiannya membuat sekatan jalan dan halangan beberapa kilometer dari tempat majlis hendak diadakan agar orang ramai tidak masuk ke kawasan itu.


5) Pada sebelah malamnya, kira-kira jam 9.40 malam, para pemimpin BERSIH termasuk Dato’ Mustafa Ali telah dihalang dari masuk ke kawasan majlis itu. Mereka termasuklah Dr Syed Azman Syed Ahmad (wakil BERSIH), Haji Muhamad Sabu (wakil PAS), Tan Sri Khalid Ibrahim (wakil PKR), YB Leong Ngah Ngah (wakil DAP) dan Haji Azmi Hamid (Teras).


6) Perbincangan dibuat antara mereka dan polis namun program itu tidak dibenarkan untuk diadakan.


7) Ekoran dari itu, ketegangan telah timbul antara polis dan orang ramai yang berhimpun. Kemudiannya FRU mula menembak water canon dan gas pemedih mata ke arah orang awam secara membabibuta. Ia berterusan hingga jam 1.30 pagi.


8) Salah seorang anggota polis yang tidak beruniform didapati telah melepaskan beberapa das tembakan di tengah-tengah orang awam yang berhimpun secara aman. Ia telah terkena kepada seorang awam bernama Suwandi Abdul Ghani, 37, dan menembusi paru-parunya, Seorang lagi, Muhamad Azman Aziz, 21, telah terkena pada lehernya. Sehingga kini, Suwandi telah dipindahkan ke Hospital Kubang Kerian (dari Hospital Kuala Terengganu) untuk menerima rawatan lanjut.


9) Berpuluh-puluh orang awam telah tercedera dan empat dari mereka parah.

10) 23 orang dari orang awam telah ditangkap termasuk tiga wartawan akhbar tempatan. Dua dari mereka telah ditahan reman.


11) Ekoran huruhara ini, pelbagai kerosakan berlaku kepada harta awam. Ia hanya reda selepas polis meninggalkan kawasan ini kira-kira jam 1.30 pagi.

Kami dengan ini berpendirian:-

1) Peristiwa ini berlaku selepas polis melakukan provokasi dan bertindak secara tidak profesional dengan menembak gas pemedih mata dan memancut air ke atas orang ramai yang sedang beracun.


2) Bagi menghormati keputusan polis, pihak penganjur tidak bercadang untuk meneruskan program ceramah pada malam itu dan pimpinan yang hadir sedang menyelaraskan pembatalan itu dengan pihak tuan rumah dan petugas. Pihak penganjur juga telah memaklumkan kepada polis, majlis tidak akan diteruskan. Namun provokasi yang berterusan telah dilakukan oleh pihak polis.


3) Program Bersih yang dianjurkan pada malam itu bertujuan mengajak rakyat menuntut dan memahami hak mereka dalam sebuah negara demokrasi untuk mendapatkan pilihan raya yang adil dan bersih. Antara tuntutan Bersih adalah penggunaan dakwat kekal, pembersihan daftar pemilih, menghapuskan undi pos dan menjamin media yang adil dan tidak berpihak.


4) Malangnya, polis telah digunakan untuk menyekat program bagi menyedarkan rakyat tentang hak mereka dalam sebuah negara demokrasi padahal polis sepatutnya menjalankan tugas untuk menurunkan kadar jenayah yang begitu tinggi sekarang ini dan menjadi masalah sebenar kepada rakyat sekarang.


5) Yang malang lagi, ada polis telah menggunakan peluru hidup dalam mengendalikan perhimpunan aman sebegini. Penggunaan peluru hidup dalam mengendalikan program sebegini adalah tidak berasas dan sangat dikesali.


6) Bagi kami polis telah gagal mengendalikan perhimpunan tersebut berdasarkan prosedur undang-undang polis sendiri. Antaranya tiada pengumuman meminta orang ramai bersurai.

Kami dengan ini menuntut:

1) Penubuhan Suruhanjaya Diraja Bebas untuk menyiasat apa sebenarnya yang berlaku di Batu Buruk pada 8 September.


2) Penjelasan Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang juga Perdana Menteri serta Ketua Polis Negara terhadap penggunaan peluru hidup dalam mana-mana perhimpunan aman sebegini.


3) Segala perhimpunan aman yang dianjurkan oleh mana-mana badan yang sah tidak memerlukan permit polis dan mendapat kerjasama sepenuhnya dari pihak polis.


4) Polis tidak lagi diperalatkan oleh Umno/BN untuk kepentingan politik murahan mereka.


5) Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Idris Jusoh selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri agar bertanggungjawab sepenuhnya dalam kejadian ini.

Maka kami yang mewakili BERSIH sekali lagi menegaskan pendirian bahawa kami terus komited memperjuangkan tuntutan untuk mendapatkan demokrasi dan pilihan raya yang adil secara aman di negara Malaysia yang tercinta ini.

Pada 9 September 2007
0 comments

Monday, September 10, 2007

UMNO/BN REDHA KEGANASAN POLIS

Daripada berita2 yang dibaca dalam Harakah Daily,Tranungkite dan laman marhein nampaknya UMNO dan BN meredhai tindakan polis menembak Suandi dan rakannya di Kuala Terengganu.Suratkhabar (Berita Hairan & Utusan Meloya) propaganda UMNO dan BEE END hari ini (10 Sept) melaporkan tentang polis yang telah cedera dan dikasari oleh penyokong pembangkang. Tiada langsung tentang berita Suandi dan rakannya yang ditembak oleh polis.Benarkah lapuran-lapuran akhbar2 ini?
Persoalannya kenapa kah pihak polis boleh melepaskan peluru hidup untuk menyuraikan orang ramai yang datang nak mendengar ceramah.Setahu saya dan pengalaman saya mengikuti ceramah PAS,PKR dll takpernah berlaku kekecohan atau ketidak tenteraman jika program tersebut tidak diganggu oleh polis.Apakah rasionalnya pihak polis mengganggu ceramah yang hendak diadakan oleh BERSIH ini.Pada pendapat saya tidak lain tidak bukan tentu dan sudah semestinya setelah mendapat arahan dari pemimpin UMNO/BN di Terengganu.
Nampaknya UMNO/BN Terengganu dah jadi seram sejuk dan takut apabila mendengar 3 parti pembangkang terkuat di Malaysia ni bergabung untuk mengadakan ceramah di Negeri Terengganu.Bak kata pepatah bidalan orang2 tua "Berani kerana benar,Takut kerana salah". Maka adalah kesalahan UMNO/BN di Terengganu tu yang menyebabkan mereka takut sangat apabila mendapat tahu PAS,PKR dan DAP bergabung dibawah BERSIH nak mengadakan ceramah di Negeri mereka.
Mengambil jalan kekasaran untuk menyelesaikan sesuatu masalah tidak pernah dapat menyelesaikan masalah tersebut dengan cara yang baik.Itu lah sebabnya PAS sentiasa mengambil jalan baik iaitu melalui pilihanraya untuk menentukan pemerintahan di Malaysia ini.Sudah berpuluh kali kita kalah dalam pilihanraya tetapi kita tetap mengambil jalan baik dan bersabar dalam semua hal.Tindakan kasar dan zalim serta provokasi keatas penyokong pembangkang diTerengganu menunjukkan bahawa sebenarnya UMNO/BN dan polis lah yang mengambil jalan secara kekasaran atau mengambil jalan mudah dengan menzalimi dan memukul penyokong Parti2 Pembangkang.
Penyokong parti pembangkang (PAS,PKR & DAP) bukan lah Tok Guru, macam Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Hj Hadi yang penyabar dan redha atas segala perbuatan dan onar yang dilakukan oleh pihak pemerintah.Kami adalah manusia biasa macam polis yang bertugas malam tu semuanya manusia biasa bukan nya TOK GURU.Jadi bila dipukul,dizalimi dan di hentak dengan boot kadang2 kami membalas begitu juga dengan tuan2 polis.Kita semuanya sama. Kita bukan orang alim atau TOK GURU.
Jadi pendekatan yang sesuai dalam hal ni kita gunakan lah akal fikiran yang diberikan oleh ALLAH kepada kita untuk menyelesaikan sebarang masalah.Janganlah menggunakan kekasaran dalam menyelesaikan masalah.Parti-parti pembangkang di Malaysia ni tak pernah pun berniat untuk menggunakan kekasaran untuk mendapat kuasa pemerintahan di Malaysia ini.Brother polis kena ingat mungkin sekarang BN memerintah tapi mungkin tahun depan (2008) pakatan BA pula yang perintah Malaysia ni.INI semua kuasa ALLAH yang menentukan bukan kuasa UMNO/BN.Itu lah sebab ALLAH SWT menjadikan dunia ini bulat untuk menjadi petunjuk dan iktibar kepada kita manusia bahawa roda kita sentiasa berpusing.Kita tidak akan selama-lamanya duduk diatas,apabila sampai cukup pusingan nya mahu atau tidak kita akan tetap duduk dibawah. Jadi ingat dan insaflah UMNO/BN dan POLIS janganlah menzalimi kita sesama manusia sebab bukan semua orang macam TOK GURU....

Wednesday, September 5, 2007

MERDEKA ! MERDEKA ! MERDEKA !

KEMERDEKAAN MILIK RAKYAT??

Kemerdekaan, kadang kala seakan milik orang yang berkuasa, parti yang berkuasa. Ia bukan lagi milik seluruh warga rakyat.Kemerdekaan adalah penjajahan baru. Bernama kongkongan.Satu pihak bebas mengongkong pihak yang lain – itukah kemerdekaan? Anda masih remaja – mungkin anda adalah lebih merdeka. Anda memasuki universiti – aktivisma mahasiswa segera dibalut oleh sebuah Akta – namanya Akta Universiti – dan berdiri di situ ‘Gabenor’ UMNO-BN untuk memastikan cengkaman itu terasa. Lihatlah pilihanraya kampus yang penuh jenaka. Gabenor ini miangnya lebih dari Gabenor British yang kita halau dulu.Kebebasan akademik? ‘Gabenor-gabenor’ 'penjajah' sangat berbau politik kepartaian sifatnya bertaburan di mana-mana kampus. Mereka dilantik atas pertimbangan politik – untuk berkhidmat kepada sebuah autoriti politik sebagai ukuran paling utama.Lantas, di mana kemerdekaan para ahli akademik kita? Melainkan kongkongan. Tanpa kemerdekaan, kita akan cemerlang?
Anda melangkah keluar ke alam kerjaya – Aku Janji sedang menunggu anda. OSA memenjarakan anda. Sepanjang hayat anda. Anda dikongkong.Anda rakyat biasa yang hauskan kemerdekaan maklumat? Anda adalah anak jajahan media arus perdana. Anda cuba merobek tirai manipulasi berita? Anda cuba mencuri untuk mengecap kemerdekaan dari perhambaan media seperti itu lewat internet, blogs dan web berita? Geger! Anda kurang patriotic kerana berkawan dengan ‘monyet-monyet’. Anda dikongkong.Jerkah, ugutan dan jangan lupa ISA yang setia menunggu. Itu semua alat sebuah kemerdekaan? MTUC pun diugut untuk ditutup. Merdeka…. ISA hanya sebuah pisau yang boleh digunakan oleh ‘tuannya’ untuk menghiris orang lain. ‘Dua ditangkap kerana SMS perkauman.’ Bagaimana dengan orang yang menghunus keris sebegitu panjang dengan laungan perkauman? Tidak, ia berlindung di balik kuasa. Ekonomi - jaring penjajahan yang lebih mencengkam. Bila anda berada dalam baris elit kuasa, anda bebas ‘merompak’ atas apa sahaja nama.
Ingat – ketika anda melewati lebuhraya utama dan singgah di plaza tol, ia sebuah kemajuan atau sebuah rompakan kecil kemerdekaan anda? Elitis yang kecil mendapat sebuah lesen, dan untuk tahun ini PLUS telah mengumumkan ia meraih lebih setengah billion (RM 583 juta) keuntungan untuk separuh tahun 2007 - tetapi kadar tolnya mesti naik saban masa. Aku tidak herankan kos yang aku harus biayai untuk sebuah kemudahan tetapi keuntungan besar atas sebuah keperitan adalah mencabut kemerdekaan ku….
Anda elitis kuasa, anda bebas dan merdeka. Port Klang Free Zone – tanah kerajaan dijual kepada – ahhh – engkau pun tau siapa, jika tidak apa yang dipanggil kroni - di jual balik kepada kerajaan – dan orang yang amat kecil bilangannya ini, amat kecil sehingga boleh dihitung dengan jari tangan tak perlu masuk jari kaki – ketawa riang dengan keuntungan satu ribu lapan ratus juta tolak kos beli, sembilan puluh lima juta. Keuntungan bersamaan lebih satu perpuluhan tujuh ribu juta!
Dan anak bangsaku yang masih merempat sesak, semua kaum, kita heret zaman berganti zaman menghiasai kemerdekaan kita. Kemerdekaan ku di mana? Di mana odit atas akaun PKFZ sebelum kerajaan bail out? Di mana pembentangan dan kelulusan Parlimen? Di mana ketelusan, di mana kewajaran? Bukankah ketelusan itu adalah ciri utama sebuah masyarakat merdeka? Jika tidak, kekayaan Negara hanya akan dikaut oleh orang hitam sebagai ganti orang putih bangsa penjajah yang telah kita halau dulu. Itukah yang engkau mau dari sebuah kemerdekaan? Anda sebut Parlimen? Lambang sebuah demokrasi? Sepuluh tahun sekali parti yang berkuasa boleh mengatur kekuatannya melalui proses ‘sempadan’ semula. Ah, kemerdekaan itu adalah kebebasan mengatur untuk parti berkuasa… Dan pilihanraya? Pilihanraya yang bebas? Jika pilihanraya kampus yang tidak akan mengubah apa-apa kuasa Negara, kaki dan tangan mahasiswa diikat, adakah mungkin pilihanraya yang boleh menukar tampuk kuasa, anda mengharapkan ia bebas – dari politik wang – anda sendiri tau, dari kongkongan media, anda sedia arif, dari penipuan? Undi Myanmmar dan orang Thai kadang kadang boleh mengalahkan suara anda Anak Malaysia. Oh, kemerdekaan ku…. Anda belum menghitung penjajahan janji-janji. Maksud saya, ada lagi rakyat Malaysia rebah dengan janji pilihanraya lima tahun sekali. Setiap lima tahun, mereka memperbaharui penjajahan…… Dan kini, cendawan koridor berhamburan. Koridor sana, koridor sini. Feel good factor, kawan… Modus operandi penjajahan baru ini ialah ekonomi. Tanpa tender, aneka projek diagihkan. Kini, kepada pemimpin pemuda mereka. Dijual segera bila projek diperolehi. Kos projek melambung-lambung. Wang negara mengalir bagai air. Untung segera. Keuntungan digunakan pula untuk membeli undi dalam parti dan dalam pilihanraya. Pemilihan parti akan diadakan selepas pilihanraya. Kuasa digunakan untuk memberikan projek untuk mengumpulkan sokongan. Sokongan membawa kepada kuasa. Kuasa kepada kekayaan. Wang memberikan kuasa. Kuasa memberikan wang.
Bagi massa generasi baru, basuh otak mereka di PLKN. Mana-mana yang telah terlekat jalur 'UMNO' di jiwa mereka, boleh menyertai skuad elit kuasa, boleh berkongsi kekayaan juga kuasa, atas harga yang terpaksa dibayar oleh negara. Pada hakikatnya, kita semua adalah hamba mereka. Kemerdekaan kita telah disamun. Anda bukan anggota parti kerajaan – anda kurang patriotik Anda dari baka bukan pejuang kemerdekaan.
Bapa beli bas dijual oleh anak (Scomi - RapidPenang). Patriotik?
Abang lancar nasi kandar adik di luar Negara. Patriotik?
Promosi Kebaya mengingati al marhumah isteri di luar Negara. Patriotik?

Aku penjual nasi dagang, nasi berlauk, keropok dan pedagang batik, promosi luar Negara tidak mungkin menjengok kerana aku adalah rakyat biasa pengundi setiamu… Sekalipun aku adalah rakyat teramai, tetapi adik, isteri dan anak juga diingat orang. Terengganu merdeka seiring dengan royalti minyak yang lumayan. 16 % rakyatnya di bawah paras kemiskinan dan 54% rakyatnya berpendapatan bawah RM 1,500 dan anda katakan ini kemerdekaan? Mentaliti terjajah atau mentaliti penjajah? Apa jadi pada peta Semenanjungku? Semakin mengecil dengan peluasan wilayah Singapura lewat pemilikan tanah dan penempatan penduduk di WPI. Bakal menjadi 3 juta orang warga Singapura akan menetap di WPI, unjuran Tun Dr. Mahathir. Itu peluasan wilayah namanya. Apa perlunya Jawatankuasa Bersama Kabinet dengan Singapura untuk WPI? Kekuatan strategic mereka akan ditekankan ke atas Negara kita dan menerusi apa yang digelar pembangunan, kita kehilangan kedudukan yang akan memberikan kesan politik yang tak berkesudahan. Jika dengan semangat merdeka kita pernah satu masa menguasai semula gergasi perniagaan dan perladangan yang dimiliki orang putih, kenapa pula kini kita perlu menjual wilayah kita? Kemerdekaan kita telah dihijack. Malang.
Pemandu teksi, dipenjara oleh palang kronisma yang lain pula. Mereka harus bekerja kuat untuk taukeh-taukeh yang goyang kaki. Taukeh ini memiliki permit-permit yang memberikan keuntungan percuma sebegitu lumayan. Itu bukan pemerasan namanya? Pemerasan bukan penjajahan? Belum diambil kira AP, klon atau bukan klon. Monopoli itu, monopoli ini. Ah…, jaringan ‘penjajahan’ oleh anak bangsaku sendiri? Anda belum memeriksa sudut akhlak dan moral. 1.5 juta (atau lebih) generasi merdeka ‘lintuk.’ Mereka dijajah oleh dadah dan tak berupaya bangkit. HIV datang tak diundang tetapi jika dibiarkan, bangsa boleh pupus. Apa agenda untuk anak bangsa Malaysia ku ini? Sure Heboh dan Jom Heboh? Kampung Hadhari? Biarkan mereka rebah di persada noda? Menjelang 2020, mereka makin biak – dijangka 3.5 juta. Mereka merdeka dalam khayal yang panjang tetapi, ah, mereka mangsa kemerdekaan tanpa agenda yang ada pedoman? Mereka telah rebah dijajah tetapi apa pemerentah telah lakukan untuk memberikan semula ruh kehidupan?
Dan anda teringatkan keselamatan kita semua?Pengganas komunis telah diganti dengan pengganas baru. Fenomena jenayah seakan sinonim dengan kemerdekaan kita kebelakangan ini. Ia bukan lagi berlindung di hutan belantara tetapi ada di mana- mana di tengah kehidupan kita. Dari Perlis sampai ke Sabah, mangsa boleh ada di mana saja. Anda katakan kemerdekaan itu keamanan. Dan kesejahteraan. Kenapa ada ketakutan? Bimbang mencengkam kehidupan. Di mana polis? Polis harus menjaga polis? Kata-kata yang mungkin keterlaluan. Tetapi jika barah yang melanda kita semua tidak diubati, tren polis menjaga polis dari melakukan jenayah, akan berkembang. Altantuya – ya – polis, nama polis disebut. Disebut di sana sini. Bekas Ketua Polis menyebut tentang pagar makan padi. Benar, seekor kerbau membawa lumpur, membawa nama polis, BPR atau apa sahaja ‘pagar-pagar’ kita, disebut orang dengan nama kurang enak. Jika dibiarkan, kerbau-kerbau berlumpur ini akan membiak dan kita akhirnya hilang satu cebis lagi kemerdekaan kita.
Anda bertanyakan tentang kedaulatan undang-undang, tentang kehakiman, tentang prinsip yang jahat tetap menerima pembalasan bukan pelepasan. Anda berbisik, mahkamah kita pentas jenaka. Hakim kita? Anda rakyat yang merdeka. Anda ukur. Andakah yang merdeka atau orang yang berkuasakah yang merdeka? Padahal asalnya, kemerdekaan milik kita semua.
Salam kemerdekaan....

Hj Husam
Kg Kota, Kelantan
31 Ogos, 7.05PM
cetusan-hati.blogspot.com

AMANAT TUAN GURU

9/7/2007 Kg Chenor : CERAMAH PERDANA MERAIKAN KEMENANGAN PAS

Pada hari Isnin 9 Julai yang lalu PAS Kawasan Jelebu dengan kerjasama Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan telah mengadakan satu program Ceramah Perdana sempena meraikan kemenangan PAS dalam satu perbicaraan yang berlanjutan selama 6 tahun. Antara yang diraikan pada malam tersebut adalah pemimpin PAS yang dituduh terdiri dari Tuan Hj Mohamad Sabu, Dr Rosli Yaakop, Cikgu Jaaman, Hj Jamlus Mansor, Cikgu Badrul Hisham (Cikgu Bard), Saudara Nor Anif dan Saudara Hafiz. Selain dari itu peguam-peguam PAS yang menguruskan kes ini sehingga mencapai kemenangan yang terdiri daripada Saudara Hanipa Maidin dan Tuan Syed Fuad turut diraikan. Satu jamuan makan malam dengan hidangan istimewa lauk kari kambing, rendang ayam kampong dan lauk pauk kampong telah disajikan untuk Tuan Guru Presiden dan orang ramai yang hadir pada malam tersebut. Dato’ Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Presiden PAS , Tuan Hj Mohamad Sabu Naib Presiden, Saudara Hanipa Maidin AJK PAS Pusat dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Saudara Zulkefly adalah tetamu-tetamu kehormat pada malam tersebut. Selain dari itu seluruh AJK Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan, YDP-YDP dan Setiausaha2 PAS Kawasan telah hadir pada malam tersebut. Suasana pada malam itu sungguh meriah seperti satu kenduri besar PAS.

Tuan Haji Mohamad Sabu dalam ucapan beliau menyatakan selama 6 tahun beliau berulang alik ke Jelebu mengikut jalan Bukit Tangga sehingga dia merasakan jalan Bukit Tangga tu dah macam highway. Pernah beliau dari satu ceramah di Kuala Trengganu pada malam tersebut bertolak terus ke Jelebu untuk menghadiri perbicaraan di Kuala Klawang besok pagi nya. Nasib baik saya ada rumah di Jelebu ni katanya sambil berseloroh dan disambut oleh ketawa hadirin. Mohamad Sabu menyatakan itu lah dia liku-liku perjalanan sebagai pejuang dalam PAS ini dan dia mahukan seluruh ahli dan pemimpin PAS di Negeri Sembilan khususnya di Jelebu ini katanya lebih bersemangat untuk berjuang dalam PAS demi untuk menegakkan kebenaran dan keadilan di Malaysia ini, kata beliau. Selama 6 tahun ini jalan Bukit Tangga dah lurus dah, dari bengkok dulu sekarang dah lurus tapi yang tak lurus-lurus adalah pamimpin UMNO dan Barisan Nasional katanya. Jalan kita boleh luruskan, tapi pemimpin UMNO dan BN semakin lama semakin bengkok, rasuah, tak amanah dan cakap tak serupa bikin, kata beliau lagi. Pemimpin begini kalau kita nak luruskan mereka hanya dengan satu cara sahaja iaitu dengan menjatuhkan kerajaan UMNO dan BN ini dalam pilihanraya yang akan datang, baru lah dia orang ni boleh jadi lurus, kata Haji Mohamad Sabu.

Tuan Guru Presiden dalam amanat beliau menyeru kepada semua pegawai-pegawai kerajaan yang berkhidmat supaya tidak menjadi pak turut atau pecacai UMNO dan BN. Jawatan yang dipegang oleh pegawai-pegawai tersebut adalah satu amanah kepada rakyat dan perkhidmatan yang diberikan mestilah untuk rakyat bukan untuk kepentingan setengah-setengah pemimpin UMNO atau BN katanya lagi. Tuan Guru Presiden juga menyatakan Demokrasi di Malaysia ini telah hancur oleh sikap rakus pemimpin UMNO dan BN dalam memerintah Malaysia. Oleh sebab itu lah PAS berusaha dengan berkempen untuk Selamatkan Malaysia dan Selamatkan Demokrasi di Malaysia. Tuan Guru Presiden juga mahukan seluruh ahli parti supaya bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya yang akan diadakan tidak lama lagi. Seluruh jentera pilihanraya parti, seluruh jentera MTD dan UPU di Negeri Sembilan ini harus lah digerakkan bermula dari sekarang ini kata beliau. Tuan Guru juga mahukan kemenangan yang diraikan pada malam ini di tafsirkan untuk menjadi satu lonjakan kepada PAS Negeri Sembilan untuk mencapai kemenangan dalam pihanraya umum yang ke-12 nanti. Oleh itu seluruh ahli PAS Negeri Sembilan mesti lah bekerja keras bermula dari sekarang, kata Tuan Guru Presiden.

PAS JELEBU LAWAT MDJ

10/7/07 Kuala Klawang : PAS KAWASAN JELEBU LAWAT MAJLIS DAERAH JELEBU

Pada hari Selasa 10hb Julai lebih kurang jam 11 pagi, PAS Kawasan Jelebu yang diketuai oleh YDP Cikgu Jaaman telah mengadakan pertemuan dengan Pegawai Daerah Jelebu di pejabat beliau. AJK PAS Kawasan yang turut hadir dalam perjumpaan tersebut adalah Tuan Hj Zainuddin (Naib YDP), Tuan Hj Hassan (Bendahari), Saudara Nor Anif (Penolong SU) dan Tuan Hj Jamlus (Ketua Penerangan). Dalam pertemuan tersebut PAS Kawasan Jelebu telah menuntut supaya MDJ memulangkan semula bendera-bendera PAS yang telah diturunkan dan dirampas oleh pihak MDJ. PAS Kawasan Jelebu juga telah menyatakan bantahan dan kekesalan mereka atas sikap MDJ yang berat sebelah dan menafikan hak PAS untuk menaikkan bendera parti sewaktu mengadakan sambutan program parti.

Menurut Cikgu Jaaman program UMNO Jelebu terutamanya program Dato’ Rais kadangkala bendera dan banner UMNO telah dinaikkan 1 minggu sebelum program dan kadangkala tidak diturunkan sehinggalah datang program yang lain pula. Beliau mempersoalkan adakah UMNO Jelebu memohon permit dari MDJ untuk menaikkan bendera dan banner tersebut. Berbeza dengan PAS kata beliau permohonan permit oleh PAS Jelebu untuk menaikkan banner dan bendera telah dinafikan oleh pihak MDJ walhal PAS adalah satu parti yang berdaftar. PAS merupakan parti pembangkang yang terkuat di Parlimen Malaysia dan juga Parti Islam yang terbesar dan teramai ahli nya di Malaysia. Mana mungkin sebuah parti yang besar dan ramai ahlinya seperti PAS membuat satu program secara senyap-senyap tanpa memaklumkan kepada ahli dan tanpa membuat satu sambutan yang baik bersesuaian dengan program atau kedudukan PAS di Malaysia. Itu lah sebabnya dalam setiap program PAS banner, poster dan bendera dinaikkan untuk memaklumkan kepada ahli-ahli terutamanya dan orangramai tentang program yang diadakan, kata beliau. Cikgu Jaaman juga berharap MDJ tidak menjalankan kerja-kerjanya atas arahan dan tekanan dari pihak tertentu,terutamanya tangan-tangan ahli politik UMNO yang kadangkala bersifat kebudak-budakan dan tidak rasional dalam tindak tanduk mereka. MDJ harus menjalankan kerja mereka dengan adil dan bebas dari cengkaman politik , katanya. PAS Kawasan Jelebu akan terus menaikkan banner, poster dan bendera parti dalam setiap program PAS dikawasan Jelebu selepas ini di samping memohon permit dari pihak MDJ. Ini bukti bahawa PAS adalah satu parti yang menurut undang-undang di Malaysia ini. Kita bukan nak lawan undang-undang kata Cikgu Jaaman, kita cuma mempertahankan hak kita sebagai sebuah parti yang berdaftar. Malaysia adalah satu Negara Demokrasi oleh itu setiap individu atau pertubuhan mempunyai hak-hak mereka yang diakui oleh undang-undang berpelembagaan di Malaysia ini, kata beliau.

Menurut Saudara Nor Anif pula banner Pesta Mengemping yang diadakan di Kampung Gagu pada 6 Julai yang lalu, yang telah dirasmikan oleh Dato’ Rais Yatim sehingga hari ini pun tidak diturunkan oleh pihak Majlis Daerah. Begitu juga dengan bendera UMNO yang dinaikkan diseluruh Pekan Kuala Klawang sewaktu kedatangan Menteri Belia Dato’ Azalina juga tidak diturunkan oleh pihak Majlis. Lain pula hal nya apabila PAS menaikkan bendera untuk sesuatu program ramai pihak yang membuka mata dan menunding jari kononnya tak boleh lah dan tak ada permitlah, kata beliau. Di manakah keadilan untuk sebuah Negara Malaysia yang dikatakan mengamalkan sistem Demokrasi BerParlimen dan baru-baru ini pula Dato’ Najib pula heboh mengakui bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Islam walaupun tidak menjalankan undang-undang Islam. Menurut Saudara Anif lagi ini semua menunjukkan sikap hipokrit dan munafik pemimpin Negara terutamanya pemimpin UMNO dalam menjalankan amanah yang diberikan oleh rakyat. Demokrasi di Malaysia telah hancur dengan sikap pemimpin seperti ini dan sudah sewajarnya lah rakyat memberikan undi kepada PAS dan Pakatan Alternatif dalam pilihanraya yang akan datang untuk menyelamatkan Demokrasi di Malaysia dan mengembalikan hak rakyat kepada rakyat, kata beliau dengan penuh bersemangat.

MAJLIS DAERAH JELEBU ZALIM

9/7/2007 Kuala Klawang : MAJLIS DAERAH JELEBU BERSIKAP ZALIM

Pihak Majlis Daerah Jelebu (MDJ) pada 9hb Julai (Isnin) jam 7.00 petang telah bertindak menurunkan bendera PAS dan mengoyak-ngoyakkan poster PAS untuk program Ceramah Perdana sempena meraikan kemenangan PAS dalam perbicaraan di mahkamah Jelebu yang berlanjutan selama 6 tahun. Program Ceramah Perdana ini turut dihadiri oleh Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dan bersempena meraikan kedatangan beliau ke Daerah Jelebu, PAS Kawasan Jelebu telah menaikkan bendera PAS dan menampal poster program disepanjang jalan dari Bukit Tangga hingga ke Kg Chenor tempat program diadakan.

Tetapi pihak MDJ telah bertindak zalim dengan menurunkan bendera PAS dan mengoyak-ngoyakkan poster program ceramah tersebut dari Bukit Tangga hingga ke Pekan Kuala Klawang. Yang Dipertua PAS Kawasan Jelebu Cikgu Jaaman setelah mendapat maklumat dari orang ramai tentang perbuatan MDJ tersebut dan telah mengarahkan sepasukan petugas PAS untuk memantau perbuatan zalim MDJ tersebut. Petugas-petugas PAS telah terserempak dengan lori pick-up MDJ yang membawa 4 orang penguatkuasa MDJ lengkap berpakaian seragam di Bukit Tangga. Terdapat bendera-bendera PAS yang telah diturunkan di dalam lori pick-up MDJ tersebut.

Petugas-petugas PAS telah merayu dan meminta supaya penguatkuasa MDJ yang diketuai oleh Encik Isa supaya berhenti dari menurunkan bendera-bendera PAS tersebut tetapi telah ditolak oleh beliau dan menyatakan bahawa beliau telah mendapat arahan dari Pegawai Daerah Jelebu supaya menurunkan semua bendera PAS dan mengoyakkan semua poster PAS yang ditampal disepanjang jalan dari Bukit Tangga ke Kg Chenor. Encik Isa menunjukkan sms arahan yang beliau terima dari DO Jelebu sebanyak 2 kali untuk menurunkan bendera dan poster PAS tersebut. Petugas-petugas PAS tersebut telah berjanji sekiranya pihak MDJ boleh bertimbang rasa dalam hal ini mereka sendiri akan melakukan kerja-kerja menurunkan bendera tersebut setelah program ceramah tersebut selesai sekitar jam 12.00 tengah malam. Tetapi permohonan petugas PAS ini dinafikan oleh Encik Isa dengan berkeras menyatakan bahawa beliau hanya menjalankan arahan Pegawai Daerah Jelebu. Pertengkaran antara Petugas PAS dan Penguatkuasa MDJ tersebut berlarutan hingga lewat maghrib. Oleh kerana urusan ALLAH (solat maghrib) lebih besar dari segala urusan maka Petugas PAS Jelebu telah berundur untuk menunaikan solat maghrib manakala pihak MDJ terus tinggal di kaki bukit tangga itu untuk meneruskan kerja-kerja zalim mereka.

Setelah selesai program ceramah sepasukan Petugas PAS telah menjalankan rondaan dari Pekan Kuala Klawang sehingga ke Bukit Tangga dan mendapati seluruh bendera PAS yang dinaikkan di sepanjang jalan tersebut telah hilang. Mengesyaki kehilangan bendera PAS ini adalah berpunca dari perbuatan pihak Majlis Daerah Jelebu, pihak PAS Kawasan Jelebu diketuai oleh YDP Kawasan Cikgu Jaaman telah membuat satu lapuran polis di pejabat Polis Daerah Jelebu pada malam itu juga.

Thursday, May 3, 2007

JELEBU BAKAL HADAPI BANJIR BESAR
28/4/07 Pembinaan empangan Sungai Teriang sedang dijalankan secara senyap-senyap tanpa pengetahuan ramai penduduk jelebu seluruhnya. Pembinaan empangan ini sebenarnya adalah untuk kepentingan rakyat Negeri Selangor. Penduduk Jelebu dan rakyat Negeri Sembilan tidak akan menikmati sebarang faedah hasil dari pembinaan empangan tersebut. Sebaliknya penduduk Jelebu akan mendapat bala banjir hasil dari pembinaaan empangan tersebut. Begitulah menurut kata Tuan Haji Hassan Bin Abdul Rahman Ketua PAS Cawangan Bandar Klawang dalam membangkitkan isu ini semasa Mesyuarat Agong PAS Kawasan Jelebu kali yang ke-18 yang diadakan di Dewan Kampung Petaseh. Tuan Hj Hassan telah bangkit mengutarakan usul ini dan memohon agar PAS Jelebu dapat menjalankan satu gerakan untuk menghalang pembinaan empangan Sg. Teriang ini.
Menurut Tuan Hj Hassan sekarang ini Majlis Daerah Jelebu sedang berusaha membayar pampasan kepada tuan-tuan tanah yang terlibat dalam pembinaan empangan tersebut. Tetapi menurut Tuan Haji lagi soal pampasan bukanlah perkara pokok dalam isu ini tetapi perkara yang lebih pokok ialah apa faedahnya yang akan diperolehi oleh penduduk Jelebu hasil dari pembinaan empangan ini selain dari banjir. Itulah yang terjadi di daerah Batu Pahat Johor semasa kejadian banjir besar pada awal tahun ini dan hujung tahun 2006 yang lalu. Empangan di Batu Pahat itu terpaksa dibuka kerana takut pecah setelah tidak dapat lagi menampung limpahan air hujan dan air sungai yang memenuhi empangan tersebut. Apabila dibuka sahaja empangan tersebut seluruh bandar dan daerah Batu Pahat tenggelam oleh banjir dan memakan masa berminggu-minggu baru surut. Apakah perkara seperti ini hendak kita biarkan berlaku di daerah Jelebu ini? soal Tuan Haji kepada perwakilan yang hadir.
Menurut kata Haji Hassan beliau telah pergi berjumpa dengan Tuan Pegawai Daerah Jelebu dan juga Jabatan Bekalan Air Jelebu untuk bertanyakan tentang pembinaan empangan ini

Wednesday, April 18, 2007

CERAMAH PAS TAWAN JELEBU

Pada 30/3/2007 yang lalu PAS Kawasan Jelebu dengan kerjasama MTD Klawang dan Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan telah mengadakan satu ceramah umum besar-besaran.Penceramah yang hadir adalah Dr Dzulkifli Ahmad Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat dan Saudara Ann Wan Seng seorang aktivis PAS dan juga AJK Lajnah Penerangan PAS Pusat.Dr Dzulkifli menggantikan Dr Hassan Ali yang tidak dapat hadir atas sebab masalah kesihatan.
Dalam ceramah tersebut Sdr Ann Wan Seng banyak menekankan tentang gejala masalah sosial yang melanda remaja melayu islam di negara ini.Antara masalah yang paling teruk ialah Black Metal.Ramai remaja melayu yang terpengaruh dengan gejala Black Metal ini sehingga ada yang sanggup memijak dan membakar al-Quran dalam upacara pemujaan kumpulan ini.Tak hairanlah jika negara ini diturunkan bala oleh ALLAH katanya jika kita sendiri sebagai umat Ialam tidak menghayati dan mempelajari Al-Quran sedalam-dalamnya sebagaimana yang disuruh oleh Rasullullah s.a.w. Al-Quran adalah sebesar-besar mukjizat yang diturunkan oleh ALLAH kepada Nabi dan Rasulnya iaitu Muhammad s.a.w. yang kekal hingga ke zaman ini.Oleh itu menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam di Malaysia ini untuk menghalang dan menghapuskan gejala Black Metal ini daripada merebak dan menular dikalangan remaja dan umat islam khususnya di Malaysia ini kata beliau.
Dr Dzulkifli Ahmad pula banyak memberikan maklumat terkini tentang isu rasuah yang melanda negara sekarang ini.Antara kes rasuah yang terbesar adalah yang melibatkan dakwaan rasuah ke atas Dato' Seri Zulkipli Mat Noor Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah Malaysia dan juga isu dakwaan rasuah Dato' Johari Baharum iaitu Timbalan Menteri di Kementerian Dalam Negeri.Dr Dzul berkata apa yang akan dilakukan oleh Dolah Badawi dalam menangani isu terbesar ini.Kedua-dua kes ini tak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana yang terlibat adalah orang besar dalam negara ini,lagipun ia melibatkan maruah Malaysia dikaca mata negara luar.Selama ini hanya kes-kes ikan bilis sahaja yang disiasat oleh BPR dan didakwa di mahkamah,bagaimana dengan kes yang besar ini,yang melibatkan 2 orang yang besar dinegara ini?kata beliau disambut oleh sorakan gemuruh oleh para hadirin.Dr Dzulkifli menyeru kepada semua pengundi di DUN Klawang dan Parlimen Jelebu untuk mengundi calon-calon PAS dan PKR pada pilihanraya umum yang akan datang ini.Rakyat perlu mengajar pemimpin-pemimpin United Malay National Organisations(UMNO) dan Barisan Nasional supaya JANGAN CURANG dengan kepercayaan dan mandat yang rakyat telah berikan kepada mereka selama ini katanya.
Pada malam tersebut Dana Pilihanraya untuk Majlis Tindakan DUN (MTD) Klawang juga telah dilancarkan.Sesiapa individu atau badan korporat yang berhasrat untuk memberikan sumbangan kewangan untuk membantu jentera pilihanraya MTD Klawang dan PAS Jelebu bolehlah menyalurkan dana dengan menghubungi Tn Hj Hassan Bin Abdul Rahman (Pengarah MTD Klawang) hp no: 012-635 8944 atau Cikgu Hj Jaaman Bin Abu (Pengarah Pilihanraya Parlimen Jelebu) hp no: 019-343 7446 Segala sumbangan dari Tuan/Puan kami alu-alukan dan kami dahului dengan ucapan terimakasih.
Pada 30/4/2007 satu siri ceramah PAS Tawan Jelebu akan diadakan di rumah Tn Hj Jamlus Mansor di Kg Chenor Kuala Klawang.Masa jam 9.00 malam.Penceramah Dr Hatta Ramli (Bendahari PAS Pusat) dan Ustaz Abu Bakar Chik (Mantan Exco Kerajaan PAS Terengganu).Semua rakyat Jelebu dan Negeri Sembilan dijemput hadir beramai-ramai

Tuesday, April 17, 2007

PAS Jelebu Menang

Pada 23/3/2007 yang lepas Mahkamah Magistret Jelebu di bandar Kuala Klawang telah membebaskan Tn Hj Mohamad Bin Sabu (Naib Presiden PAS),Dr Rosli Yaakop (Pesuruhjaya PAS NS),Cikgu Jaaman Abu,Cikgu Badrul (Ckg Bard),Tn Hj Jamlus Mansor dan Saudara Nor Anif Selamat dari segala tuduhan dan dakwaan yang dikenakan pada mereka.Keenam-enam mereka dituduh melakukan perhimpunan haram tanpa permit dan mengadakan ceramah ditempat awam.Walhal ceramah tersebut telah diadakan di rumah Tn Hj Jamlus Mansor di Kg Chenor,Kuala Klawang.
Peristiwa penangkapan dan tuduhan ini telah bermula dari tahun 2001 lagi.Setelah berulang alik ke mahkamah selama 6 tahun dengan tekad dan keazaman untuk berjuang bagi menegakkan kebenaran dan keadilan akhirnya pada tarikh keramat 23/3/2007 (Jumaat) yang lalu keenam-enam mereka dibebaskan dari segala tuduhan.Keputusan yang terbaik juga Mahkamah Jelebu telah mengisytiharkan bahawa kawasan rumah atau tanah persendirian bukan lah kawasan awam seperti yang didakwa tetapi masih kekal statusnya sebagai kawasan tanah atau rumah atau bangunan persendirian.Maka pemiliknya adalah bebas untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang dipersetujui atau dibenarkan oleh pemiliknya tanpa perlukan sebarang permit.
Maka kecewa lah lagi United Malay National Organisations(UMNO) di Jelebu ini untuk menggunakan polis bagi menghalang ceramah dan aktiviti-aktiviti PAS di Jelebu ini.Maka orang ramai di Jelebu ni lepas ni tak payah lah nak takut-takut untuk datang dengar ceramah PAS lagi.Kita berada dipihak yang benar."Berani kerana benar,Takut kerana salah"
Datang lah beramai-ramai pada 30/4/2007 ini kerana PAS Jelebu akan mengadakan ceramah Dr Hatta Ramli (Bendahari PAS Pusat) dan juga Ustaz Abu Bakar Chik (Mantan Exco Kerajaan PAS Terengganu) di Kg Chenor, rumah Tn Hj Jamlus Mansor.