Wednesday, September 5, 2007

AMANAT TUAN GURU

9/7/2007 Kg Chenor : CERAMAH PERDANA MERAIKAN KEMENANGAN PAS

Pada hari Isnin 9 Julai yang lalu PAS Kawasan Jelebu dengan kerjasama Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan telah mengadakan satu program Ceramah Perdana sempena meraikan kemenangan PAS dalam satu perbicaraan yang berlanjutan selama 6 tahun. Antara yang diraikan pada malam tersebut adalah pemimpin PAS yang dituduh terdiri dari Tuan Hj Mohamad Sabu, Dr Rosli Yaakop, Cikgu Jaaman, Hj Jamlus Mansor, Cikgu Badrul Hisham (Cikgu Bard), Saudara Nor Anif dan Saudara Hafiz. Selain dari itu peguam-peguam PAS yang menguruskan kes ini sehingga mencapai kemenangan yang terdiri daripada Saudara Hanipa Maidin dan Tuan Syed Fuad turut diraikan. Satu jamuan makan malam dengan hidangan istimewa lauk kari kambing, rendang ayam kampong dan lauk pauk kampong telah disajikan untuk Tuan Guru Presiden dan orang ramai yang hadir pada malam tersebut. Dato’ Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Presiden PAS , Tuan Hj Mohamad Sabu Naib Presiden, Saudara Hanipa Maidin AJK PAS Pusat dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Saudara Zulkefly adalah tetamu-tetamu kehormat pada malam tersebut. Selain dari itu seluruh AJK Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan, YDP-YDP dan Setiausaha2 PAS Kawasan telah hadir pada malam tersebut. Suasana pada malam itu sungguh meriah seperti satu kenduri besar PAS.

Tuan Haji Mohamad Sabu dalam ucapan beliau menyatakan selama 6 tahun beliau berulang alik ke Jelebu mengikut jalan Bukit Tangga sehingga dia merasakan jalan Bukit Tangga tu dah macam highway. Pernah beliau dari satu ceramah di Kuala Trengganu pada malam tersebut bertolak terus ke Jelebu untuk menghadiri perbicaraan di Kuala Klawang besok pagi nya. Nasib baik saya ada rumah di Jelebu ni katanya sambil berseloroh dan disambut oleh ketawa hadirin. Mohamad Sabu menyatakan itu lah dia liku-liku perjalanan sebagai pejuang dalam PAS ini dan dia mahukan seluruh ahli dan pemimpin PAS di Negeri Sembilan khususnya di Jelebu ini katanya lebih bersemangat untuk berjuang dalam PAS demi untuk menegakkan kebenaran dan keadilan di Malaysia ini, kata beliau. Selama 6 tahun ini jalan Bukit Tangga dah lurus dah, dari bengkok dulu sekarang dah lurus tapi yang tak lurus-lurus adalah pamimpin UMNO dan Barisan Nasional katanya. Jalan kita boleh luruskan, tapi pemimpin UMNO dan BN semakin lama semakin bengkok, rasuah, tak amanah dan cakap tak serupa bikin, kata beliau lagi. Pemimpin begini kalau kita nak luruskan mereka hanya dengan satu cara sahaja iaitu dengan menjatuhkan kerajaan UMNO dan BN ini dalam pilihanraya yang akan datang, baru lah dia orang ni boleh jadi lurus, kata Haji Mohamad Sabu.

Tuan Guru Presiden dalam amanat beliau menyeru kepada semua pegawai-pegawai kerajaan yang berkhidmat supaya tidak menjadi pak turut atau pecacai UMNO dan BN. Jawatan yang dipegang oleh pegawai-pegawai tersebut adalah satu amanah kepada rakyat dan perkhidmatan yang diberikan mestilah untuk rakyat bukan untuk kepentingan setengah-setengah pemimpin UMNO atau BN katanya lagi. Tuan Guru Presiden juga menyatakan Demokrasi di Malaysia ini telah hancur oleh sikap rakus pemimpin UMNO dan BN dalam memerintah Malaysia. Oleh sebab itu lah PAS berusaha dengan berkempen untuk Selamatkan Malaysia dan Selamatkan Demokrasi di Malaysia. Tuan Guru Presiden juga mahukan seluruh ahli parti supaya bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya yang akan diadakan tidak lama lagi. Seluruh jentera pilihanraya parti, seluruh jentera MTD dan UPU di Negeri Sembilan ini harus lah digerakkan bermula dari sekarang ini kata beliau. Tuan Guru juga mahukan kemenangan yang diraikan pada malam ini di tafsirkan untuk menjadi satu lonjakan kepada PAS Negeri Sembilan untuk mencapai kemenangan dalam pihanraya umum yang ke-12 nanti. Oleh itu seluruh ahli PAS Negeri Sembilan mesti lah bekerja keras bermula dari sekarang, kata Tuan Guru Presiden.