Friday, September 14, 2007

10/08: Lima puluh tahun terang bulan terbarai

Category: General

Posted by: Raja Petra

74 Comments

DARI JELEBU

Hishamuddin Rais


Ha ha ha…. Semuanya sedang terbarai. Retak, pecah akhirnya terbarai. Ketika saya menulis ini muzik latar yang mengiringi ketikan jari saya di lap top ialah putaran muzik Memula Moon versi paling terbaru. Ini versi rap rock parodi counter culture yang cool lagi menggiurkan.Tiga helai bulu ari dan tiga helai janggut untuk anak muda yang merekonstruksi Memula Moon.
Memula Moon a.k.a Terang Bulan a.k.a Negaraku a.k.a Negara Kuku kini menjadi top hit yang hampir mencecah satu juta pendengar dan puluhan ribu memberi komen. Angka-angka ini kelihatan terus melonjak. Ratusan ribu Mak Cik Felda dan Pak Cik Teksi, di seluruh negara – dari Perlis hingga ke Mersing yang tidak ‘connected’ sedang tertanya-tanya – Negara Kuku itu apa? Tiga helai lagi bulu ari untuk Namewee.
Saya telah lupa entah berapa kali saya telah menulis tentang lagu Terang Bulan ini. Semenjak saya di Universiti Malaya dalam tahun 70-an lagi saya telah menulis dan menerangkan apakah dia si Terang Bulan. Saya tidak akan lupa bagaimana Concorong Republik Indonesia Bung Karno telah memainkan lagu Terang Bulan ketika Konfrontasi (1963-64).
Terang Bulan dimainkan di concorong. Concorong? Apakah jadahnya concorong ini? Untuk mereka yang lahir pada zaman Firaun, concorong adalah perkataan Melayu untuk radio. Perkataan ini telah saya pelajari sebelum saya belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris.
Bung Karno memainkan lagu Terang Bulan di Radio Republik Indonesia untuk memperlekehkan Tengku Abdul Rahman seorang budak suruhan Inggeris yang tidak berupaya membuat lagu kebangsaan sendiri. Memang tepat anggapan Bung Karno ini. Bagaimana sebuah negara yang menggelar diri mereka – merdeka – tetapi lagu kebangsaan pun diciplak.
Ha ha ha. Selama 50 tahun penciplakan ini telah disorok di bawah kopek United Malay National Organisations. Betapa besar pun kopek Rafidah dan kopek Shahrizat, penciplakan ini akhirnya diketahui umum. Memula Moon akhirnya tertonjol keluar apabila kopek-kopek United Malay National Organisations yang semakin mengecut.
Pada satu ketika dahulu lagu Terang Bulan opps... Negara-ku ini dimainkan di panggung wayang. Ini pun ketika saya belum belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris. Awalnya Terang Bulan dimainkan sebelum filem bermula. Kami kanak-kanak seperti biasa dibuli agar bangun berdiri – kunoon –sebagai contoh rakyat patriotik. Kemudian, entah apa berlaku Terang Bulan dimainkan apabila filem selesai diputar. Akhirnya hingga ke hari ini satu hampeh pun tidak ada lagi. Warga telah bosan dengan Terang Bulan.
Sebenarnya pada ketika itu dalam panggung wayang tidak sesiapa yang ambil pot apabila Terang Bulan berbunyi dan bendera Star and Stripes opps salah lagi... apabila bendera Tanah Melayu berkibar. Kami anak-anak sekolah sahaja yang berdiri kerana takut (sic) kalau-kalau cikgu ada sama di dalam panggung. Pak Cik, abang dan kakak langsung tidak ambil pot apabila Terang Bulan berbunyi.
Semua ini berlaku ketika beberapa tahun sesudah British meninggalkan Tanah Melayu. Ini di era Firaun belum menjadi Firaun. Ini di zaman surat beranak Mahathir masih ditulis ‘son of Kutty’. Ini sebelum Razak Hussein dapat berkenalan dengan Sarimah. Ini pada zaman ada joget lambak selepas perkahwinan anak wakil rakyat Pas.
Zaman yang saya katakan ini ialah zaman sebelum kita semua boleh menggoogle. Zaman sebelum Mahazalim dan Mahafiraun menjadi santapan bacaan. Zaman sebelum blog wujud dan menyusahkan Utusan Malaysia dan RTM.
Kini kita telah memasuki zaman pasca moden. Semuanya boleh. Naratif induk tentang dunia ini di wujudkan oleh tuhan dalam masa tujuh hari telah dipersoalkan. Meta naratif tentang Adam dan Hawa hanya dilihat sebagai metafora.
Semua naratif boleh dipersoalkan. Semua naratif telah berkecai dan terbarai. Tidak wujud lagi pemusatan hegemoni naratif yang menjadi ikutan umat manusia. Kita semua telah ‘connected’- manusia pasca moden hanya perlu menggoogle untuk mengetahui apa sahaja maklumat dalam dunia ini.
Kerana itu saya dapat mengetahui bahawa Terang Bulan, Negara-ku, Negara Kuku berasal dari lagu Memula Moon. Jika tidak percaya apa yang saya tulis sila google perkataan Memula Moon. Tidak percaya lagi? Sila google perkataan Negara-ku. Masih was-was, sila lawati YouTube. Di sini dapat dilihat bukti-bukti sahih tentang asal-usul Negara Kuku. Bukti ini boleh kita semua dapati tanpa perlu berhubung dengan Gani Patail atau merasuah sesiapa untuk mendengar alunan gesekan biola Memula Moon.
Ha ha ha. Lima puluh tahun Projek Malaysia telah terbukti semakin gagal. Apa yang sedang kita semua lihat dan baca hari ini adalah manifestasi dari kegagalan Projek Malaysia. Projek Malaysia ini tidak bertiang, tidak berpaksi dengan kebenaran. Projek Malaysia tidak berdiri di atas fakta sejarah. Projek Malaysia berdasarkan kong kali kong dan klentong demi klentong. Tutup lubang gali lubang.
BUKTI PERTAMA – Malaysia BUKAN 50 tahun. Hari Malaysia BUKAN 31 Ogos. Projek Malaysia bermula pada 16 September 1963. Sila google untuk kesahihan fakta ini. Jika TIDAK percaya sila pergi tanya Mat Sabah atau Minah Sarawak. Dua wilayah ini memasuki Malaysia pada 16 September 1963 BUKAN 31 Ogos 1957.
BUKTI KEDUA - Tuntutan MERDEKA adalah projek dan tuntutan Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Merdeka BUKAN projek United Malay National Organisations. Projek United Malay Organisations ialah – HIDUP Melayu (macamlah Tanah Melayu tak ada oksigen).
BUKTI KETIGA - Kemerdekaan dicapai tanpa tumpah darah. BOHONG. Penyokong dan anggota Parti Komunis Malaya, PKMM, Angakatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Hisbul Muslimin, Malayan Democratic Union adalah di antara ribuan anak bangsa yang telah mengangkat senjata melawan penjajah British.
BUKTI KEEMPAT – Lagu Negara-ku bukan lagu hasil ciptaan warga Tanah Melayu. Lagu ini adalah ciptaan penyair dan komposer Perancis yang bernama Pierre Jean Berager yang lahir pada kurun ke-19. Beliau yang menulis muzik lagu Memula Moon a.k.a Negara-ku.
BUKTI KELIMA - Warna bendera Malaysia yang wujud hari ini tidak ada sangkut paut dengan budaya dan asas bumi ini. Bendera yang ada pada hari ini adalah ciplakkan dari bendera Amerika Syarikat. Bendera Langkasuka tamadun Melayu di Lembah Bujang ialah Merah Putih. Warna merah putih ini berkibar sebagai bendera negara Indonesia, Singapura dan dipakai oleh United Malay National Organisations sendiri.
Ha ha ha. Semuanya terbarai kerana kita semua boleh menggoogle, membaca, menulis dan menonton laman-laman web tanpa disaring oleh hegemoni daulah. Terima kasih Ronald Reagan yang telah menghadiahkan internet kepada dunia. Tiga helai bulu ari untuk arwah Ronald Reagan.
Justeru jangan hairan kenapa bendera Malaysia hari ini tidak berkibar. Dirotan, dipaksa dan disaman pun orang ramai TIDAK ambil pot. Rakyat telah muak dengan pembohongan demi pembohongan. Projek Malaysia yang penuh dengan klentong telah kelihatan gagal. Naratif Malaysia kini sedang dicabar oleh maklumat-maklumat yang bergantang-gantang keluar dari internet.
United Malay National Organisations yang terus bersikap esklusif dan possesive tentang Merdeka kelihatan terpencil bersendirian. Mereka memukul gendang maka mereka sahajalah yang berongeng. Sikap dan perangai United Malay National Organisations yang eksklusif dan tidak demokratik ini pasti akhirnya akan membosankan rakyat Sabah dan Sarawak.
Tidak menghairankan satu ketika nanti rakyat Sabah dan Sarawak akan menghidupkan kembali cita-cita asal perjuangan mereka untuk menubuhkan negara merdeka Kalimantan Utara – penyatuan Sabah Sarawak dan Brunei. Fakta Kalimantan Utara ini juga telah cuba disorokkan di bawah kopek. Tetapi dengan wujudnya internet semua fakta akan muncul dengan bantuan Pak Cik saya yang bernama Lebai Google bin Mat Yahoo.
Bila rap Terang Bulan terus berputar di lap top saya tersenyum puas. Saman? Tangkap anak muda yang mengkonstruk Memula Moon? Rotan dia? Masukkan dalam penjara? Poorah. Hanya seorang sahaja yang berhak menyaman iaitu manusia yang bernama Pierre Jean Berager. Saman dari kaum keluarga Jean Beranger wajib disampaikan kepada sesiapa sahaja rakyat Malaysia yang masih menganggap lagu Memula Moon ini sebagai lagu Negara-ku.
Apakah saya seorang pengkhianat bangsa kerana menulis perkara-perkara ini? Apakah saya tidak patriotik? Sila google dan baca apa kata Mark Twain tentang patriotik. Pengkhianat bangsa? Dalam negara yang penuh dengan klentong, penipuan dan pembohongan bercakap benar adalah tindakan yang revolusioner.

Cowboy Kampung wrote:

Satu rencana yang menarik dari Sdr Hishamudin Rais.

Saya ingin menambah berberapa fakta/bukti tambahan untuk menyokong penyataan dan hujah yang telah dibuat oleh sdr Hishamudin Rais. Hakikatnya terlalu banyak fakta/bukti yang disorok secara sistematik oleh UMNO dan pemerintah dalam usaha menyusun naratif bingkai-bingkai sejarah mengikut acuan mereka.
BUKTI PERTAMA : Perkataan "Malaysia" bukan idea asli UMNO atau mana-mana nasionalis melayu. Perkataan "Malaysia" dicipta pertama kalinya dan muncul didalam dunia akademik oleh sarjana berbangsa Amerika bernama Rupert Emerson (lahir 1899 - mati 1979) yang telah mengkaji dan menulis sebuah buku tentang dasar dan pemerintahan British di Malaya yang bertajuk "Malaysia: a study of Direct and Indirect Rule" yang diterbitkan pertama kalinya pada tahun 1937.
BUKTI KEDUA: Kemuncak kebangkitan rakyat Malaya terhadap pemerintahan British bukan ketika penentangan/ demonstrasi yang diketuai UMNO dan pertubuhan-pertubuhan Melayu terhadap Malayan Union pada tahun 1946. Kemuncak penentangan rakyat Malaya terhadap pemerintahan British ialah pada 20 OKTOBER 1947 dimana gabungan parti-parti politik dan pertubuhan KIRI (baca:Sosialis)berbilang kaum PUTERA-AMCJA melancarkan HARTAL (mogok besar-besaran) seluruh Malaya. Hampir keseluruhan aktiviti ekonomi Malaya lumpuh pada hari itu yang mengakibatkan British kerugian hampir 4 juta pound Sterling pada hari itu. 20 Oktober 1947 adalah AKSI MASSA terbesar yang pernah dilancarkan oleh rakyat berbilang kaum dalam sejarah kita menuntut kemerdekaan.
(bacaan lanjut >>> http://www.malaysianbar.org... )
BUKTI KETIGA : Tiada suatu pun tokoh terkemuka UMNO yang menulis buku yang boleh dijadikan panduan untuk membangkitkan semangat kemerdekaan dikalangan rakyat sebelum Merdeka. Berbanding dengan tokoh-tokoh nasionalis yang cenderung kiri (baca:sosialis) mereka lebih aktif menulis dan menerbitkan buku-buku sebelum Merdeka.
Contoh :-

i) Ibrahim Yaacob
a) Melihat Tanahair :Jilid Pertama (1941). (sila rujuk : http://www.othermalaysia.or... )
b) Nusa & Bangsa Melayu (1951)
c) Sekitar Malaya Merdeka" (1957) (diterbitkan selepas Merdeka sebagai kenangan-kenangan gerakan Kemerdekaan Tanahair)
ii) Ishak Haji Muhammad @ Pak Sako, seorang tokoh politik kiri dan sasterawan tanahair yang begitu aktif menulis makalah politik, termasuk novel satira sebelum Merdeka. Antaranya adalah :-
a)Putera Gunong Tahan ( 1937)
b)Anak Mat Lela Gila (1941)
c)Bersatulah Sekarang (1946)
Allahyarham Ishak Haji Muhammad @ Pak Sako meninggal dunia pada 7 November 1991. Sumbangan, saham dan jasa Ishak Haji Muhammad cukup besar dalam gerakan kemerdekaan tanahair tetapi malangnya UMNO hanya menilai harga perjuangan Ishak Haji Muhammad sebanyak RM16,874.15. Itulah sumbangan wang yang diberi oleh parti UMNO kepada keluarga dan waris Allahyarham sebagai suatu tanda pengiktirafan terhadap perjuangan Allahyarham yang berjuang sehingga didalam penjara. Bandingkanlah jumlah wang itu dengan jumlah wang yang telah dirompak dan disogok oleh UMNO bagi merebut kekayaan negara!
(Sila rujuk >>> http://en.wikipedia.org/wik... )
iii)Dr. Burhanuddin Al-Helmy - seorang tokoh politik dan intelek tanahair yang amat berjasa kepada negara. Ditahan secara zalim dibawah ISA sehingga mengakibatkan keuzuran yang kronik yang membawa kepada kematiannya tidak lama selepas dibebaskan. Buku-buku yang telah dihasilkan oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy sebelum Merdeka adalah:-
a)Perjuangan Kita (1946)
b)Falsafah Kebangsaan Melayu (1954)
c)Agama & Politik (1954)
d)Sejarah Perjuangan Kita (1955)
iv)Ahmad Boestaman - Testament Politik A.P.I : Merdeka Dengan Darah (1946)

11/08 05:54:53

Cowboy Kampung wrote:

Tunku Abdul Rahman tidak dinafikan seorang penulis yang aktif tetapi kesemua buku-buku dan karya tulisannya hanya ditulis dan terbitkan setelah beliau pencen. Tun Abdul Razak, Saadon Jubir, Khir Johari, Tun Dr. Ismail tidak diketahui ada menulis buku dan menerbitkannya sebelum Merdeka (menulis rencana barangkali).
BUKTI KEEMPAT : Tuntutan Merdeka 100% (diistilahkan sebagai 'non-co (Non-cooperation) oleh nasionalis Kiri pada awal perjuangan menuntut Kemerdekaan yang mendapat sokongan meluas dari rakyat (sehingga British terpaksa 'melumpuhkan' gerakan kiri ini dengan mengisytiharkan darurat pada tahun 1948 dan menangkap borong ramai aktivis kiri dan nasionalis tulen tanahair) tidak tertunai ketika Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj membuat proklamasi atau permahsyuran Kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos 1957. Buktinya segala cabang daulah yang penting masih dikuasai oleh penjajah British selepas 31 Ogos 1957.
Ketua Hakim Malaya Merdeka masih ditangan British. Ketua Hakim Persekutuan Malaya Merdeka yang pertama adalah Tun Sir James Beveridge Thompson yang kemudiannya menjadi Ketua Hakim Malaysia sehingga tahun 1966.
Ketua Polis Negara masih dipegang oleh British sehingga tahun 1966. Tan Sri Sir Claude Fenner menjadi Ketua Polis Negara dari tahun 1957 hingga 1966. (8 tahun)
Selepas 31 Ogos 1957, Ketua Panglima Tentera masih dikuasai oleh British. Mejar Jeneral Dato FH Brooke menjadi panglima tentera dari tahun 1956 hingga october 1959 diikuti dengan Lt Jeneral Sir Rodney Moore yang berkhidmat dari tahun 1959 hingga 1962.
Punca-punca ekonomi negara masih dikuasai oleh British dan pemodal antarabangsa selepas 31 Ogos 1957.Ladang-ladang utama getah masih dikuasai oleh syarikat-syarikat british seperti Guthrie dan Harrison and Crossfield hingga pertengahan 70an.Monopoli timah di Malaysia masih dikuasai oleh British Mining Cooperation.Majoriti hak mengekploitasi minyak negara masih dikuasai oleh transnational company asing iaitu SHELL.
Bank Negara Malaysia, daulah terpenting bagi urusan ekonomi negara hanya ditubuhkan pada 26 Januari 1959, hampir dua tahun selepas 'Merdeka'. Siapakah Gabenor Pertamanya? Gabenor Pertama Bank Negara adalah Tan Sri W H Wilcock, juga seorang British yang menjadi Gabenor Bank Negara Malaysia dari tahun 1959 hingga Julai 1962.
Untuk memahami hal penubuhan Bank Negara dari sudut pandangan aristokrat feudal dan elitis Melayu yang penting ketika itu, sila rujuk buku "The Reluctant Politician : Tun Dr. Ismail & His Time" tulisan Ooi Kee Beng.Tun Dr. Ismail telah bertemu dengan David Rockefeller, Sr. di Amerika untuk memohon bantuan kepakaran bagi merelisasikan projek penubuhan Bank Negara. Siapa David Rockefeller ini? Bagi penyalak-penyalak teori talibarut Yahudi dan Amerika seperti Khairy Jamaluddin dan anak-anak buahnya dalam Pemuda UMNO, mereka wajib membaca buku ini dan kemudiannya mengkaji siapa David Rockefeller ini. Tun Dr. Ismail merakamkan kekagumannya yang tinggi terhadap 'ketokohan' dan 'kesudian' David Rockefeller membantu 'Malaysia'. Buku ini menjawab persoalan kenapa Tun Dr. Ismail begitu memusuhi golongan kiri dan menangkap begitu banyak aktivis kiri atas alasan 'Komunis' ketika menjadi Menteri Dalam Negeri.

(Sila rujuk wikipedia berkaitan David Rockefeller >>> http://en.wikipedia.org/wik... )

Persoalan yang paling besar dan amat penting ialah, adakah benar kita telah Merdeka dalam ertikata sebenarnya pada 31 Ogos 1957?
Pada pendapat saya , fakta inilah ( selain daripada fakta/bukti yang telah dikemukakan oleh saudara Hishamudin Rais) yang cuba disorok oleh UMNO dan elit penguasa bagi meneruskan tahyul dan dongeng betapa hebat, gigih dan bijaknya UMNO, MCA & MIC mencapai kemerdekaan negara sedangkan ternyata mengikuti bukti dan fakta sebenar sejarah, projek '31 Ogos 1957 Merdeka' itu adalah projek yang tidak direncanakan secara rapi yang mana ianya sebenarnya masih meneruskan cengkaman dan penjajahan British keatas pentadbiran dan ekonomi rakyat Malaya jauh selepas 31 Ogos 1957.

11/08 06:42:04

1 comment:

Anonymous said...

Hiya all, good chat board I find It absolutely useful & it has helped me loads
I hope to give something back and help others like this forum has helped me

_________________
[url=http://iphoneusers.com]unlock iphone[/url]