Wednesday, September 5, 2007

MERDEKA ! MERDEKA ! MERDEKA !

KEMERDEKAAN MILIK RAKYAT??

Kemerdekaan, kadang kala seakan milik orang yang berkuasa, parti yang berkuasa. Ia bukan lagi milik seluruh warga rakyat.Kemerdekaan adalah penjajahan baru. Bernama kongkongan.Satu pihak bebas mengongkong pihak yang lain – itukah kemerdekaan? Anda masih remaja – mungkin anda adalah lebih merdeka. Anda memasuki universiti – aktivisma mahasiswa segera dibalut oleh sebuah Akta – namanya Akta Universiti – dan berdiri di situ ‘Gabenor’ UMNO-BN untuk memastikan cengkaman itu terasa. Lihatlah pilihanraya kampus yang penuh jenaka. Gabenor ini miangnya lebih dari Gabenor British yang kita halau dulu.Kebebasan akademik? ‘Gabenor-gabenor’ 'penjajah' sangat berbau politik kepartaian sifatnya bertaburan di mana-mana kampus. Mereka dilantik atas pertimbangan politik – untuk berkhidmat kepada sebuah autoriti politik sebagai ukuran paling utama.Lantas, di mana kemerdekaan para ahli akademik kita? Melainkan kongkongan. Tanpa kemerdekaan, kita akan cemerlang?
Anda melangkah keluar ke alam kerjaya – Aku Janji sedang menunggu anda. OSA memenjarakan anda. Sepanjang hayat anda. Anda dikongkong.Anda rakyat biasa yang hauskan kemerdekaan maklumat? Anda adalah anak jajahan media arus perdana. Anda cuba merobek tirai manipulasi berita? Anda cuba mencuri untuk mengecap kemerdekaan dari perhambaan media seperti itu lewat internet, blogs dan web berita? Geger! Anda kurang patriotic kerana berkawan dengan ‘monyet-monyet’. Anda dikongkong.Jerkah, ugutan dan jangan lupa ISA yang setia menunggu. Itu semua alat sebuah kemerdekaan? MTUC pun diugut untuk ditutup. Merdeka…. ISA hanya sebuah pisau yang boleh digunakan oleh ‘tuannya’ untuk menghiris orang lain. ‘Dua ditangkap kerana SMS perkauman.’ Bagaimana dengan orang yang menghunus keris sebegitu panjang dengan laungan perkauman? Tidak, ia berlindung di balik kuasa. Ekonomi - jaring penjajahan yang lebih mencengkam. Bila anda berada dalam baris elit kuasa, anda bebas ‘merompak’ atas apa sahaja nama.
Ingat – ketika anda melewati lebuhraya utama dan singgah di plaza tol, ia sebuah kemajuan atau sebuah rompakan kecil kemerdekaan anda? Elitis yang kecil mendapat sebuah lesen, dan untuk tahun ini PLUS telah mengumumkan ia meraih lebih setengah billion (RM 583 juta) keuntungan untuk separuh tahun 2007 - tetapi kadar tolnya mesti naik saban masa. Aku tidak herankan kos yang aku harus biayai untuk sebuah kemudahan tetapi keuntungan besar atas sebuah keperitan adalah mencabut kemerdekaan ku….
Anda elitis kuasa, anda bebas dan merdeka. Port Klang Free Zone – tanah kerajaan dijual kepada – ahhh – engkau pun tau siapa, jika tidak apa yang dipanggil kroni - di jual balik kepada kerajaan – dan orang yang amat kecil bilangannya ini, amat kecil sehingga boleh dihitung dengan jari tangan tak perlu masuk jari kaki – ketawa riang dengan keuntungan satu ribu lapan ratus juta tolak kos beli, sembilan puluh lima juta. Keuntungan bersamaan lebih satu perpuluhan tujuh ribu juta!
Dan anak bangsaku yang masih merempat sesak, semua kaum, kita heret zaman berganti zaman menghiasai kemerdekaan kita. Kemerdekaan ku di mana? Di mana odit atas akaun PKFZ sebelum kerajaan bail out? Di mana pembentangan dan kelulusan Parlimen? Di mana ketelusan, di mana kewajaran? Bukankah ketelusan itu adalah ciri utama sebuah masyarakat merdeka? Jika tidak, kekayaan Negara hanya akan dikaut oleh orang hitam sebagai ganti orang putih bangsa penjajah yang telah kita halau dulu. Itukah yang engkau mau dari sebuah kemerdekaan? Anda sebut Parlimen? Lambang sebuah demokrasi? Sepuluh tahun sekali parti yang berkuasa boleh mengatur kekuatannya melalui proses ‘sempadan’ semula. Ah, kemerdekaan itu adalah kebebasan mengatur untuk parti berkuasa… Dan pilihanraya? Pilihanraya yang bebas? Jika pilihanraya kampus yang tidak akan mengubah apa-apa kuasa Negara, kaki dan tangan mahasiswa diikat, adakah mungkin pilihanraya yang boleh menukar tampuk kuasa, anda mengharapkan ia bebas – dari politik wang – anda sendiri tau, dari kongkongan media, anda sedia arif, dari penipuan? Undi Myanmmar dan orang Thai kadang kadang boleh mengalahkan suara anda Anak Malaysia. Oh, kemerdekaan ku…. Anda belum menghitung penjajahan janji-janji. Maksud saya, ada lagi rakyat Malaysia rebah dengan janji pilihanraya lima tahun sekali. Setiap lima tahun, mereka memperbaharui penjajahan…… Dan kini, cendawan koridor berhamburan. Koridor sana, koridor sini. Feel good factor, kawan… Modus operandi penjajahan baru ini ialah ekonomi. Tanpa tender, aneka projek diagihkan. Kini, kepada pemimpin pemuda mereka. Dijual segera bila projek diperolehi. Kos projek melambung-lambung. Wang negara mengalir bagai air. Untung segera. Keuntungan digunakan pula untuk membeli undi dalam parti dan dalam pilihanraya. Pemilihan parti akan diadakan selepas pilihanraya. Kuasa digunakan untuk memberikan projek untuk mengumpulkan sokongan. Sokongan membawa kepada kuasa. Kuasa kepada kekayaan. Wang memberikan kuasa. Kuasa memberikan wang.
Bagi massa generasi baru, basuh otak mereka di PLKN. Mana-mana yang telah terlekat jalur 'UMNO' di jiwa mereka, boleh menyertai skuad elit kuasa, boleh berkongsi kekayaan juga kuasa, atas harga yang terpaksa dibayar oleh negara. Pada hakikatnya, kita semua adalah hamba mereka. Kemerdekaan kita telah disamun. Anda bukan anggota parti kerajaan – anda kurang patriotik Anda dari baka bukan pejuang kemerdekaan.
Bapa beli bas dijual oleh anak (Scomi - RapidPenang). Patriotik?
Abang lancar nasi kandar adik di luar Negara. Patriotik?
Promosi Kebaya mengingati al marhumah isteri di luar Negara. Patriotik?

Aku penjual nasi dagang, nasi berlauk, keropok dan pedagang batik, promosi luar Negara tidak mungkin menjengok kerana aku adalah rakyat biasa pengundi setiamu… Sekalipun aku adalah rakyat teramai, tetapi adik, isteri dan anak juga diingat orang. Terengganu merdeka seiring dengan royalti minyak yang lumayan. 16 % rakyatnya di bawah paras kemiskinan dan 54% rakyatnya berpendapatan bawah RM 1,500 dan anda katakan ini kemerdekaan? Mentaliti terjajah atau mentaliti penjajah? Apa jadi pada peta Semenanjungku? Semakin mengecil dengan peluasan wilayah Singapura lewat pemilikan tanah dan penempatan penduduk di WPI. Bakal menjadi 3 juta orang warga Singapura akan menetap di WPI, unjuran Tun Dr. Mahathir. Itu peluasan wilayah namanya. Apa perlunya Jawatankuasa Bersama Kabinet dengan Singapura untuk WPI? Kekuatan strategic mereka akan ditekankan ke atas Negara kita dan menerusi apa yang digelar pembangunan, kita kehilangan kedudukan yang akan memberikan kesan politik yang tak berkesudahan. Jika dengan semangat merdeka kita pernah satu masa menguasai semula gergasi perniagaan dan perladangan yang dimiliki orang putih, kenapa pula kini kita perlu menjual wilayah kita? Kemerdekaan kita telah dihijack. Malang.
Pemandu teksi, dipenjara oleh palang kronisma yang lain pula. Mereka harus bekerja kuat untuk taukeh-taukeh yang goyang kaki. Taukeh ini memiliki permit-permit yang memberikan keuntungan percuma sebegitu lumayan. Itu bukan pemerasan namanya? Pemerasan bukan penjajahan? Belum diambil kira AP, klon atau bukan klon. Monopoli itu, monopoli ini. Ah…, jaringan ‘penjajahan’ oleh anak bangsaku sendiri? Anda belum memeriksa sudut akhlak dan moral. 1.5 juta (atau lebih) generasi merdeka ‘lintuk.’ Mereka dijajah oleh dadah dan tak berupaya bangkit. HIV datang tak diundang tetapi jika dibiarkan, bangsa boleh pupus. Apa agenda untuk anak bangsa Malaysia ku ini? Sure Heboh dan Jom Heboh? Kampung Hadhari? Biarkan mereka rebah di persada noda? Menjelang 2020, mereka makin biak – dijangka 3.5 juta. Mereka merdeka dalam khayal yang panjang tetapi, ah, mereka mangsa kemerdekaan tanpa agenda yang ada pedoman? Mereka telah rebah dijajah tetapi apa pemerentah telah lakukan untuk memberikan semula ruh kehidupan?
Dan anda teringatkan keselamatan kita semua?Pengganas komunis telah diganti dengan pengganas baru. Fenomena jenayah seakan sinonim dengan kemerdekaan kita kebelakangan ini. Ia bukan lagi berlindung di hutan belantara tetapi ada di mana- mana di tengah kehidupan kita. Dari Perlis sampai ke Sabah, mangsa boleh ada di mana saja. Anda katakan kemerdekaan itu keamanan. Dan kesejahteraan. Kenapa ada ketakutan? Bimbang mencengkam kehidupan. Di mana polis? Polis harus menjaga polis? Kata-kata yang mungkin keterlaluan. Tetapi jika barah yang melanda kita semua tidak diubati, tren polis menjaga polis dari melakukan jenayah, akan berkembang. Altantuya – ya – polis, nama polis disebut. Disebut di sana sini. Bekas Ketua Polis menyebut tentang pagar makan padi. Benar, seekor kerbau membawa lumpur, membawa nama polis, BPR atau apa sahaja ‘pagar-pagar’ kita, disebut orang dengan nama kurang enak. Jika dibiarkan, kerbau-kerbau berlumpur ini akan membiak dan kita akhirnya hilang satu cebis lagi kemerdekaan kita.
Anda bertanyakan tentang kedaulatan undang-undang, tentang kehakiman, tentang prinsip yang jahat tetap menerima pembalasan bukan pelepasan. Anda berbisik, mahkamah kita pentas jenaka. Hakim kita? Anda rakyat yang merdeka. Anda ukur. Andakah yang merdeka atau orang yang berkuasakah yang merdeka? Padahal asalnya, kemerdekaan milik kita semua.
Salam kemerdekaan....

Hj Husam
Kg Kota, Kelantan
31 Ogos, 7.05PM
cetusan-hati.blogspot.com

1 comment:

Anonymous said...

deemed scream overdrive broadcasting kyiv depots ridgewood balances campaigns tangerines actually
lolikneri havaqatsu