Tuesday, January 29, 2008

UMNO PUN NAK UNDI PAS

Hari ini aku minum pagi di Seremban Jaya sebelum pergi ke Melaka.Tiba-tiba ternampak lah aku kawan lama aku Along Aje, aku pun ajak dia minum sama-sama aku.Dulu along ni kutuk aku bila dapat tahu aku masuk PAS."Apo kau dapek masuk PAS tu Ngah, ngabih an boreh yo.Elok kau dalam UMNO poi masuk PAS kan nyusah an badan" kata Along dan macam-macam lah lagi yang beliau cakap. Aku diam je masa tu dan tak nak menjawab sebab masa tu lebih kurang tahun 98 dan aku pun masih baru dalam PAS ni dan tak tahu apa-apa lagi erti perjuangan PAS. Usrah PAS pun aku belum pernah ikut lagi masa tu.

Masa minum tadi sajalah aku jolok Along ni nak tengok macam mana pegangan dia pada UMNO, selepas setelah begitu lama tak berjumpa. Aku cuma kata pada dia “Hari ni Pak Lah kata Malaysia tempat ke-6 terbaik dalam senarai dunia bawah Amerika dan lain2”. Terperanjat gak aku bila dia jawab dengan spontan "Puiii...(konon macam meludah), aku Ngah apo Pak Lah cakap mampuih den tak cayo doh". "Apo pulak Long, ekau kan orang kuat UMNO, kok ekau dah cakap macam ni abih la UMNO", kata aku menyakat lagi. "Bukan apo Ngah kau tengok hargo minyak naik, ni nak naik lai tahun ni lopeh pilihanrayo ni. Zaman Mahathir dulu kok naik pun cumo 2/3 sen sekali naik, ni sekarang zaman Pak Lah ni sekali naik 30/40 sen, mano boleh tahan" ujar beliau. "Baru2 ni dengan gulo tak ado lah, minyak masak tak ado lah dan macam2 lah lai yang tak ado” kata Along."Yuran sekolah kato percumo, peluto (penipu dalam bahasa N9 kampung) botul, rabak yo den lai dalam RM600, maso bukak sekolah baru2 ni. Yo anak den dah berapo orang pulak yang dah bersekolah" tambah Along.

Marah betul Along ni kata aku dalam hati. Aku saja tanya lagi nak hangatkan lagi perbualan kami "Hargo gotah kan dah naik Long. Setakat RM600 apo ado hal Long.." kata aku. "Yo lah hargo gotah naik tapi habih di kojo dek Mat Pet pulak. Malam-malam sekarang ni tak boleh tidur pulak. Mat Pet malam-malam dalam hujan poi mencuri lantun (getah buku). Kok di biar..an jawab eh tak ngaso lah kito Ngah..."

Tiba-tiba si Along ni tanya aku. "Ekau, amacam Ngah PAS ko tak lai...Ko dah masuk UMNO balik". "Eh..eh tak lah PAS" jawab aku. "Mano buleh masuk UMNO balik Long. Abah den pun bertanding dulu tahun 2004 kek DUN Klawang, ekau tak tahu ko Long" kata aku."Tau..saja yo tanyo" kata beliau. "Eden pun kali ni pilihanrayo ni den undi PAS jugak, tapi babak kojo untuk UMNO lah, kok dio orang nak kan den. Tapi nia dulu..(sambil menunjukkan simbol duit dengan tangan), kok tak ado pongoreh eh maleh den do, baik den tidur yo kek rumah tu.." kata Along Aje. Terkejut jugak aku dengar kenyataan Along ni tanpa disuruh2. Sebab aku kenal dia ni dari dulu memang berkarat UMNO.

"Tak buleh doh Ngah..,puak-puak ni skali ni kono yo diajar berbudi bahaso. Dia orang kek atas tu bersonang lenang. Kito kek bawah ni sangkak mangkak dek bokojo. Tapi apo kito dapek Ngah.." kata Along lagi. "Botul la tu long" kata aku sambil mengia cakap Along. "Ok lah Long, den kono poi Melako ni ado kojo lah, kang tak solosai kojo den, leko dek burak yo kang" kata aku minta diri. Lepas bayar semua, aku minta diri dan keluar dari situ. Dalam hati, aku rasa puas sebab ada jugak kawan lama aku yang sudah sedar akan kepincangan UMNO/BN dan sanggup mengundi pembangkang walaupun akan bermain sandiwara dengan bekerja untuk UMNO masa pilihanraya ini. Aku percaya cakap Along Aje ni sebab selama yang aku kenal dia, dia buat apa yang dia cakap......

Monday, January 28, 2008

PAS JELEBU DAN "BERSIH" EDAR RISALAH

Jelebu 27 Januari 2008 : Hari ini PAS Jelebu dan “BERSIH” telah bersama-sama menganjurkan program mengedar risalah di Pasar Minggu Pekan Kuala Klawang dan juga di Pekan Titi dalam DUN Chennah. Tuan Haji Kateran Bin Marman Pemangku YDP PAS Kawasan Jelebu, Tuan Haji Hassan Bin Abdul Rahman Pengarah MTD Klawang dan Saudara Nor Anif aktivis ”BERSIH” telah bersama-sama dengan AJK-AJK PAS Kawasan Jelebu yang lain untuk mengedar risalah.

Keratan akhbar Harakah berkenaan peneroka Kg. Gatco yang teraniaya dan juga Buletin PAS Jelebu keluaran bulan Januari 2008 telah diedarkan kepada orang ramai. Rata-rata rakyat Jelebu tidak mengetahui isu Kg. Gatco yang telah ditutup maklumatnya oleh UMNO kerana takut dan malu, kerana UMNO yang selama ini diharapkan dapat membantu orang Melayu sebaliknya telah gagal membela nasib orang Melayu.

Selepas itu kumpulan ini bergerak ke pekan Kg Baru Titi dimana suratkabar Ren Men Shi Shi keluaran terbaru dari PAS Pusat telah diedarkan kepada masyarakat tionghua di sana. Sambutan dari masyarakat tionghua di Titi sangat menggalakkan dimana 400 akhbar Ren Men Shi Shi telah diedarkan. Beberapa orang yang ditemui menyatakan akan mengundi PAS pada PRU-12 ini jika PAS bertanding Parlimen Jelebu. Menurut kata mereka "Ini BN sudah banyak lebih, ini kali pembangkang mesti mahu banyak menang dalam Palimen, baru boleh". Tuan Haji Kateran Marman Pemangku YDP Jelebu juga telah sempat beramah mesra dan berbincang dengan masyarakat Tionghua di Titi.

Tuan Haji Kateran menyatakan program mengedar risalah ini akan diteruskan oleh PAS Kawasan Jelebu dari semasa ke semasa kerana orang ramai khususnya di Jelebu ini tidak mendapat maklumat yang sebenar tentang apa yang berlaku sekarang ini. Rakyat harus disedarkan dan dikejutkan dari tidur terutamanya di kampung-kampung dan mereka ini mesti diberikan informasi-informasi semasa yang boleh memberikan kesedaran kepada mereka untuk mengundi PAS dan Barisan Alternatif pada PRU-12 ini, kata beliau.

Friday, January 18, 2008

BA DAN BERSIH DI SIMPANG DURIAN

Baru-baru ini aktivis PAS Jelebu Saudara Saiful, aktivis BERSIH Saudara Nor Anif dan Saudara Syed beserta dengan AJK DAP Jelebu Encik Siow dan Encik How telah bersama-sama mengadakan pertemuan dengan pemimpin masyarakat Melayu, Cina dan India di Kampung Sungai Buloh, Simpang Durian. Pertemuan itu bertujuan untuk merapatkan hubungan antara Barisan Alternatif Jelebu serta DAP dengan pemimpin masyarakat setempat. Perjumpaan tersebut telah berjalan dalam suasana yang harmoni dan menunjukkan semangat setiakawan yang begitu tinggi diantara pemimpin BA.


Walaubagaimanapun sebelum pertemuan diadakan pemimpin BA dan DAP telah didatangi oleh sekumpulan 3 orang anggota polis berpakaian preman dari Balai Polis Simpang Durian yang bertanyakan apakah tujuan mereka datang ke Simpang Durian. Saudara Nor Anif ketua rombongan menyatakan tujuan mereka hanyalah untuk jalan-jalan santai dan beramah mesra dengan pemimpin serta penduduk setempat. Walau pun begitu pihak polis tidak mempercayai alasan tersebut dan meminta serta merekodkan nombor kad pengenalan semua pemimpin yang turut serta dalam program tersebut. Walaubagaimana pun ugutan dan provokasi dari polis tersebut tidak berjaya melemahkan semangat pemimpin BA untuk bertemu dengan orang ramai. Program tetap diteruskan dan pertemuan berlangsung dalam suasana yang harmoni dan aman damai tanpa ganguan.

Tuan Hj Shamsudin Borhan Ketua PAS Cawangan Kg Sg Buloh yang juga merupakan seorang ulama’ tempatan turut hadir dalam pertemuan tersebut. Dalam ucapannya beliau berharap kali ini dengan penyatuan yang kukuh antara PAS, KeAdilan dan DAP mampu menumbangkan kerajaan BN yang zalim kepada rakyat. Beliau juga berharap pemimpin Cina terutamanya DAP di Hosapa (Titi) akan berusaha untuk membantu memenangkan calon PAS di DUN Klawang

En Siow wakil DAP menyatakan dalam pilihanraya ke-12 ini DAP Jelebu akan meletakkan orang muda yang merupakan seorang ahli perniagaan sebagai calon DAP bertanding di kerusi DUN Chennah. Orang-orang Cina di Hosapa dan Titi akan mengundi PAS untuk Parlimen Jelebu dan kerusi DUN Klawang pada kali ini kerana banyak janji MCA dan BN di Titi kepada orang Cina tidak ditunaikan kata beliau lagi. Menurut beliau lagi dalam tahun 2004 Calon PAS DUN Klawang Cikgu Jaaman juga telah menang undi di UPU Hosapa iaitu di kawasan Cina. Dalam pilihanraya pada tahun 2004 DAP telah mendapat kemenangan besar di UPU Kg Sg. Buloh walaupun calon DAP tidak menang kerusi DUN Chennah pada pilihanraya tersebut. En Siow berharap pada pilihanraya kali ini orang ramai dalam UPU Kg Sg Buloh akan terus mengundi DAP lagi dan kali ini DAP akan memenangi kerusi DUN Chennah dari MCA kata beliau.

Saturday, January 5, 2008

MAJLIS DAERAH JELEBU (MDJ) PECACAI UMNO

Baru-baru ini Majlis Daerah Jelebu telah mengeluarkan satu notis amaran yang merupakan satu surat ugutan kepada PAS Jelebu untuk menghentikan penampalan poster-poster ceramah PAS di sekitar kawasan MDJ. Surat yang dikeluarkan tersebut tidak mempunyai ‘Kepala Surat’ MDJ yang lengkap dan dibawahnya juga tidak mempunyai nama siapa individu yang menanandatangani surat tersebut, hanya tertera bagi pihak Majlis Daerah Jelebu. Ini menunjukkan bahawa surat ini telah dikeluarkan dengan tergesa-gesa oleh MDJ. Surat tersebut telah dihantar sendiri oleh seorang pekerja MDJ kepada Tuan Haji Hassan Bendahari PAS Kawasan Jelebu.

Sehubungan dengan itu satu pertemuan telah diadakan di antara pemimpin kanan PAS Kawasan Jelebu dengan Tuan Pegawai Daerah Jelebu yang juga merupakan Yang Dipertua Majlis Daerah Jelebu. PAS Kawasan Jelebu telah diwakili oleh Pemangku Yang Dipertua Tuan Hj Kateran Marman, Ketua Penerangan Kawasan Jelebu Tuan Hj Jamlus Mansor dan Bendahari PAS Kawasan Jelebu Tuan Hj Hassan Abdul Rahman untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang surat yang telah dikeluarkan oleh MDJ tersebut.

Menurut Tuan Hj Jamlus Mansor Ketua Penerangan PAS Kawasan Jelebu, dalam pertemuan tersebut Pegawai Daerah Jelebu mengaku bahawa surat tersebut telah dikeluarkan oleh Majlis Daerah Jelebu. Pegawai Daerah secara tidak langsung telah menyatakan bahawa beliau mendapat tekanan dari pihak atasan untuk mengeluarkan surat bagi menghalang PAS Kawasan Jelebu dari terus menampal poster-poster ceramah di sekitar kawasan MDJ pada setiap ceramah PAS, yang hendak diadakan. MDJ mahu PAS Jelebu memohon permit, setiap kali PAS hendak menampal poster ceramah.

Hujah Pegawai Daerah ini telah disanggah oleh Hj Jamlus dengan mengatakan bahawa UMNO Jelebu tidak pernah pun memohon permit dari MDJ setiap kali mereka menaikkan baner, bunting atau poster sewaktu hendak mengadakan apa-apa program di kawasan MDJ. Kenapa MDJ tidak mengeluarkan surat amaran kepada UMNO? Adakah kerana UMNO adalah parti pemerintah maka UMNO boleh berbuat sesuka hati mereka kata beliau lagi. Ini lah dia ketidakadilan dan kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran MDJ kata Haji Jamlus lagi.

Menurut Haji Jamlus lagi poster ceramah YB Salahuddin Ayub yag dijadualkan berceramah di Pasoh 2 telah dikoyak-koyakkan oleh pekerja MDJ. Ini adalah kejadian kali kedua perkara ini berlaku kata beliau lagi. Dahulu poster dan baner ceramah Dato’ Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang Presiden PAS berceramah bersama-sama dengan Tuan Hj Mohamad Sabu di Kg Chenor juga telah dikoyak-koyakkan dan baner serta bendera PAS telah dirampas oleh MDJ. MDJ sepatutnya sedar dan faham bahawa Parti Islam SeMalaysia (PAS) adalah sebuah parti politik yang berdaftar dan telah pun mempunyai keahlian seramai 1 juta orang tambah beliau lagi. Ini menunjukkan bahawa PAS adalah satu parti politik yang diterima oleh rakyat dan rakyat Malaysia terutamanya rakyat Jelebu tidak suka dengan tindakan dan perbuatan MDJ tersebut, kata beliau lagi.

Menurut Hj Jamlus lagi sebagai Ketua Penerangan PAS Kawasan Jelebu beliau akan terus menaikkan poster-poster PAS pada setiap kali ceramah akan diadakan di kawasan Jelebu, ini kerana PAS tidak mempunyai saluran lain lagi untuk menyampaikan maklumat ceramah atau program-program PAS kepada orang ramai. Kerajaan UMNO/BN ini memang ingin menyekat maklumat yang sebenar sampai ke tangan rakyat kerana kerajaan ini takut jika maklumat yang sebenar sampai kepada rakyat maka rakyat tidak akan mengundi UMNO atau BN lagi katanya.

Perkembangan mutakhir ini memang menampakkan sangat UMNO Jelebu ini dalam keadaan yang tertekan dan mengelabah tambah Haji Jamlus lagi. Ini ditambah dengan isu pemilikan tanah penduduk Kg. Baru Gatco atau Kg Serampang Indah yang terang-terang telah menolak UMNO dan beralih kepada kepemimpinan PAS untuk memperjuangkan hak mereka. Ini adalah kerana penduduk Kg. Baru Gatco telah dipermainkan oleh UMNO selama 30 tahun. Telah beberapa kali pilihanraya pemimpin UMNO Jelebu telah berjanji dengan penduduk Kg Baru Gatco akan menyelesaikan isu pemilikan tanah mereka, tapi sampai sekarang tidak selesai-selesai lagi. Beliau percaya perkara ini berlaku kerana UMNO tidak ikhlas hendak memperjuangkan hak penduduk Kg. Baru Gatco malah hanya memikirkan kepentingan peribadi mereka sahaja katanya.

Dalam perkembangan yang lain Ustaz Nordin Sahlan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Jelebu telah mengutuk dengan sekeras-kerasnya tindakan MDJ mengeluarkan surat amaran tersebut kepada PAS Kawasan Jelebu. UMNO memang selalu menggunakan jentera kerajaan untuk kepentingan peribadi mereka katanya. Sepatutnya Majlis Daerah Jelebu tidak boleh menjadi tali barut atau pecacai UMNO katanya, ini adalah kerana MDJ adalah satu agensi kerajaan yang bertanggungjawab kepada rakyat Jelebu tanpa mengira perbezaan kaum, agama ataupun perbezaan pendapat politik katanya lagi. Penubuhan MDJ bukan hanya untuk memberikan perkhidmatan kepada UMNO sahaja tegas beliau lagi.

Friday, January 4, 2008

PENEROKA GATCO TUBUH JAWATANKUASA BERTINDAK

Pada 1hb Januari 2008 hari Selasa yang lalu peneroka tanah Kg. Baru Gatco telah bertindak menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Peneroka Kg. Baru Gatco Untuk Menangani dan Menyelesaikan Tuntutan Hak Milik Tanah Penduduk. Saudara Zulkefly Mohamad Omar Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan dan juga Tuan Haji Hamran Bin Hj Mohamad Pengerusi JKKK Kg. Gatco yang juga merangkap Ketua UMNO Cawangan Kg. Gatco telah dilantik sebagai Pengerusi Bersama di dalam Jawatankuasa tersebut. Encik Mohd Nordin Bin Ahmad Bakar yang juga Setiausaha UMNO Cawangan Kg. Gatco telah dilantik sebagai Setiausaha Jawatankuasa Bertindak tersebut.

Dalam ucapan beliau Saudara Zulkefly menjelaskan bahawa Parti Islam SeMalaysia (PAS) akan menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja rakyat Malaysia tanpa mengira batasan kaum dan agama. Sebelum daripada Kg. Gatco ini PAS Negeri Sembilan turut terlibat dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat di Negeri Sembilan antaranya dalam isu Pembinaan Insinerator di Broga yang melibatkan tanah milik penduduk kaum Cina di Broga yang mana akhirnya pembinaan Insenarator tersebut telah dibatalkan dan juga kes pemilikan tanah penduduk Kg. Abok di Seremban. Menurut Saudara Zulkefly lagi setelah hampir 30 tahun UMNO mempermainkan penduduk Kg. Gatco dan berjanji untuk menyelesaikan isu penduduk tetapi semua itu adalah janji bohong UMNO kepada penduduk. Masalah pemilikan tanah ladang penduduk Kg. Gatco telah dijadikan Manifesto UMNO/BN Negeri Sembilan dalam 5 pilihanraya di Malaysia tetapi sehingga sekarang tidak juga dapat diselesaikan.

Menurut Saudara Zulkefly lagi nampaknya UMNO Cawangan Kg Gatco sendiri sudah tidak dapat meletakkan kepercayaan kepada UMNO Jelebu dibawah kepimpinan Dato’ Rais Yatim dan UMNO Negeri Sembilan dibawah teraju Menteri Besar Dato’ Mohamad Hassan untuk menyelesaikan isu pemilikan tanah mereka ini maka dengan itu mereka telah beralih kepada Parti Islam SeMalaysia PAS untuk membantu mereka menyelesaikan isu pemilikan tanah tersebut. Ini lah bukti bahawa selama ini UMNO tidak mengendahkan hal masalah rakyat dan juga masalah ahli UMNO sendiri kata beliau.

Tuan Haji Hamran Mohamad Pengerusi JKKK Kg. Gatco dalam ucapan beliau menyeru kepada semua AJK Jawatankuasa Bertindak dan semua Ahli Jawatankuasa JKKK Kg. Gatco bersatu padu untuk menyelesaikan isu tuntutan pemilikan tanah ini. Setelah 30 tahun kata beliau penduduk Kg. Gatco telah menemui jalan buntu maka sekarang harapan mereka masih ada, kerana ada pihak yang sanggup berjuang bersama-sama dengan penduduk untuk menuntut hak milik tanah mereka. Maka sekarang penduduk Kg. Gatco tidak bersendirian lagi dalam usaha untuk menuntut hak mereka, kata beliau lagi. Setelah semua saluran dalam UMNO/BN yang digunakan selama 30 tahun ini telah gagal untuk menyelesaikan isu tanah ladang penduduk Kg. Gatco, maka sekarang penduduk dan ahli UMNO Kg. Gatco telah merajuk dan berubah untuk memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada PAS untuk membantu menyelesaikan isu pemilikan tanah ini, menurut beliau lagi.

Wednesday, January 2, 2008

PENDUDUK KG. GATCO HILANG KEPERCAYAAN PADA UMNO / BN

Pada 1 Januari 2008 hari Selasa yang lalu Pengerusi JKKK Kg. Gatco dan seluruh AJK serta penduduk Kg. Gatco telah menjemput Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan bersama-sama dengan AJK PAS Negeri Sembilan dan PAS Kawasan Jelebu untuk menghadiri mesyuarat penubuhan Jawatankuasa Bertindak Kg. Gatco Untuk Menangani dan Menyelesaikan Masalah Pemilikan Tanah Penduduk.

Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah diwakili oleh Saudara Zulkefly Mohamad Omar Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Cikgu Hassan Taha Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan, Tuan Haji Kateran Marman Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Sembilan merangkap Pemangku Yang Dipertua PAS Kawasan Jelebu, Tuan Haji Hassan Abdul Rahman Bendahari PAS Kawasan Jelebu, Saudara Saiful Bahri Jaaman Setiausaha Jabatan Pilihanraya PAS Kawasan Jelebu, Saudara Nor Anif Haji Selamat Penolong Setiausaha PAS Kawasan Jelebu dan Tuan Haji Ismail Akup AJK PAS Kawasan Jelebu.

Dalam mesyuarat tersebut Saudara Zulkefly Mohamad Omar dan Tuan Haji Hamran Mohamad Pengerusi JKKK Kg. Gatco merangkap Ketua UMNO Cawangan Kg. Gatco telah dilantik sebagai Pengerusi Bersama Jawatankuasa Bertindak. Encik Mohamad Nordin Bin Ahmad Bakar Setiausaha UMNO Cawangan Kg. Gatco telah dilantik sebagai Setiausaha Badan Bertindak.

Dalam mesyuarat itu juga Tuan Haji Hamran Mohamad telah menyerahkan dokumen perjanjian pemilikan tanah Kg. Gatco kepada Saudara Zulkefly Mohamad Omar Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan untuk dirujuk dan dikaji oleh PAS Negeri Sembilan dan juga peguam-peguam PAS supaya tindakan yang tersusun dapat diambil dalam membuat tuntutan tersebut.

Tuan Haji Hamran serah dokumen pada Saudara Zulkefly

Encik Mohamad Nordin dalam mesyuarat tersebut menyatakan bahawa selepas berita penduduk Kg. Gatco keluar dalam akhbar HARAKAH menderu-deru pemimpin UMNO dan Jabatan Kerajaan datang ke Kg. Gatco untuk bertanyakan tentang masalah yang dihadapi oleh penduduk Kg. Gatco. Sebelum ini mereka semua menyepikan diri dan langsung tidak memperdulikan nasib atau masalah pemilikan tanah yang dihadapi oleh penduduk Kg. Gatco, kata beliau.


Encik Mohamad Nordin Setiausaha Jawatankuasa Bertindak

Antara yang baru datang berjumpa beliau untuk bertanyakan masalah ini adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jelebu Encik Yunus Rahmat dan juga Naib Ketua UMNO Bahagian Jelebu yang juga ADUN Klawang YB Jalaludin Alias. Sebelum ini mereka langsung tidak pernah bertanyakan masalah penduduk Kg. Gatco ini kata beliau lagi. Yang paling menghairankan kata beliau mereka telah datang berselang hari, Yunus Rahmat datang berjumpa beliau pada 28 Disember 2007 manakala YB Jalaludin pula telah datang pada 29 Disember 2007. Menurut Encik Mohamad Nordin pelbagai janji baru telah ditaburkan oleh mereka tetapi semua itu palsu semata dan hanya janji UMNO/BN untuk pilihanraya yang sudah hampir tiba ini sepertimana yang telah berlaku selama 30 tahun dan dalam 5 pilihanraya yang lalu dimana ia telah dijadikan manifesto oleh UMNO/BN Negeri Sembilan untuk menyelesaikan masalah pemilikan tanah penduduk Kg. Gatco. Menurut kata Encik Mohamad Nordin lagi beliau tidak dapat lagi mempercayai kata-kata manis janji pemimpin UMNO/BN, setelah 30 tahun mereka diperlecehkan dan dibohongi oleh UMNO/BN semata-mata untuk mendapat undi pilihanraya. Selepas pilihanraya mereka hilang dan janji hanya tinggal janji sahaja katanya.

Menurut Encik Sulaiman Bin Ompong Timbalan Ketua UMNO Cawangan Kg. Gatco sekarang ini seluruh penduduk kampung telah bersatu di bawah Jawatankuasa Bertindak Kg. Gatco ini dan berharap Jawatankuasa Bertindak ini dapat menyelesaikan isu pemilikan tanah penduduk kampung. Jika perkara ini dapat diselesaikan maka penduduk Kg. Gatco sendiri yang akan mendapat keuntungan dan habuannya.