Friday, January 4, 2008

PENEROKA GATCO TUBUH JAWATANKUASA BERTINDAK

Pada 1hb Januari 2008 hari Selasa yang lalu peneroka tanah Kg. Baru Gatco telah bertindak menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Peneroka Kg. Baru Gatco Untuk Menangani dan Menyelesaikan Tuntutan Hak Milik Tanah Penduduk. Saudara Zulkefly Mohamad Omar Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan dan juga Tuan Haji Hamran Bin Hj Mohamad Pengerusi JKKK Kg. Gatco yang juga merangkap Ketua UMNO Cawangan Kg. Gatco telah dilantik sebagai Pengerusi Bersama di dalam Jawatankuasa tersebut. Encik Mohd Nordin Bin Ahmad Bakar yang juga Setiausaha UMNO Cawangan Kg. Gatco telah dilantik sebagai Setiausaha Jawatankuasa Bertindak tersebut.

Dalam ucapan beliau Saudara Zulkefly menjelaskan bahawa Parti Islam SeMalaysia (PAS) akan menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja rakyat Malaysia tanpa mengira batasan kaum dan agama. Sebelum daripada Kg. Gatco ini PAS Negeri Sembilan turut terlibat dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat di Negeri Sembilan antaranya dalam isu Pembinaan Insinerator di Broga yang melibatkan tanah milik penduduk kaum Cina di Broga yang mana akhirnya pembinaan Insenarator tersebut telah dibatalkan dan juga kes pemilikan tanah penduduk Kg. Abok di Seremban. Menurut Saudara Zulkefly lagi setelah hampir 30 tahun UMNO mempermainkan penduduk Kg. Gatco dan berjanji untuk menyelesaikan isu penduduk tetapi semua itu adalah janji bohong UMNO kepada penduduk. Masalah pemilikan tanah ladang penduduk Kg. Gatco telah dijadikan Manifesto UMNO/BN Negeri Sembilan dalam 5 pilihanraya di Malaysia tetapi sehingga sekarang tidak juga dapat diselesaikan.

Menurut Saudara Zulkefly lagi nampaknya UMNO Cawangan Kg Gatco sendiri sudah tidak dapat meletakkan kepercayaan kepada UMNO Jelebu dibawah kepimpinan Dato’ Rais Yatim dan UMNO Negeri Sembilan dibawah teraju Menteri Besar Dato’ Mohamad Hassan untuk menyelesaikan isu pemilikan tanah mereka ini maka dengan itu mereka telah beralih kepada Parti Islam SeMalaysia PAS untuk membantu mereka menyelesaikan isu pemilikan tanah tersebut. Ini lah bukti bahawa selama ini UMNO tidak mengendahkan hal masalah rakyat dan juga masalah ahli UMNO sendiri kata beliau.

Tuan Haji Hamran Mohamad Pengerusi JKKK Kg. Gatco dalam ucapan beliau menyeru kepada semua AJK Jawatankuasa Bertindak dan semua Ahli Jawatankuasa JKKK Kg. Gatco bersatu padu untuk menyelesaikan isu tuntutan pemilikan tanah ini. Setelah 30 tahun kata beliau penduduk Kg. Gatco telah menemui jalan buntu maka sekarang harapan mereka masih ada, kerana ada pihak yang sanggup berjuang bersama-sama dengan penduduk untuk menuntut hak milik tanah mereka. Maka sekarang penduduk Kg. Gatco tidak bersendirian lagi dalam usaha untuk menuntut hak mereka, kata beliau lagi. Setelah semua saluran dalam UMNO/BN yang digunakan selama 30 tahun ini telah gagal untuk menyelesaikan isu tanah ladang penduduk Kg. Gatco, maka sekarang penduduk dan ahli UMNO Kg. Gatco telah merajuk dan berubah untuk memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada PAS untuk membantu menyelesaikan isu pemilikan tanah ini, menurut beliau lagi.

No comments: