Tuesday, September 11, 2007

Kenyataan Akhbar BERSIH

Monday, September 10, 2007

Tragedi Batu Buruk: Kenyataan media Bersih


Oleh
Badan Gabungan Tuntutan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih)

1) Pada 8 September 2007, Badan Gabungan Tuntutan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) yang menggabungkan parti-parti politik dan NGO merancang untuk mengadakan majlis perhimpuan aman berupa road show untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil di Batu Buruk, Kuala Terengganu.


2) Pihak penganjur telah membuat permohonan permit polis sebagaimana yang sewajarnya namun permit tidak dikeluarkan kepada pihak penganjur walaupun rayuan telah dibuat.


3) Pihak penganjur telah mendirikan pentas program namun pada jam 5 petang polis telah menceroboh masuk ke dalam kawasan rumah yang digunakan pihak penganjur dan merobohkan pentas itu tanpa keizinan tuan rumah.


4) Polis kemudiannya membuat sekatan jalan dan halangan beberapa kilometer dari tempat majlis hendak diadakan agar orang ramai tidak masuk ke kawasan itu.


5) Pada sebelah malamnya, kira-kira jam 9.40 malam, para pemimpin BERSIH termasuk Dato’ Mustafa Ali telah dihalang dari masuk ke kawasan majlis itu. Mereka termasuklah Dr Syed Azman Syed Ahmad (wakil BERSIH), Haji Muhamad Sabu (wakil PAS), Tan Sri Khalid Ibrahim (wakil PKR), YB Leong Ngah Ngah (wakil DAP) dan Haji Azmi Hamid (Teras).


6) Perbincangan dibuat antara mereka dan polis namun program itu tidak dibenarkan untuk diadakan.


7) Ekoran dari itu, ketegangan telah timbul antara polis dan orang ramai yang berhimpun. Kemudiannya FRU mula menembak water canon dan gas pemedih mata ke arah orang awam secara membabibuta. Ia berterusan hingga jam 1.30 pagi.


8) Salah seorang anggota polis yang tidak beruniform didapati telah melepaskan beberapa das tembakan di tengah-tengah orang awam yang berhimpun secara aman. Ia telah terkena kepada seorang awam bernama Suwandi Abdul Ghani, 37, dan menembusi paru-parunya, Seorang lagi, Muhamad Azman Aziz, 21, telah terkena pada lehernya. Sehingga kini, Suwandi telah dipindahkan ke Hospital Kubang Kerian (dari Hospital Kuala Terengganu) untuk menerima rawatan lanjut.


9) Berpuluh-puluh orang awam telah tercedera dan empat dari mereka parah.

10) 23 orang dari orang awam telah ditangkap termasuk tiga wartawan akhbar tempatan. Dua dari mereka telah ditahan reman.


11) Ekoran huruhara ini, pelbagai kerosakan berlaku kepada harta awam. Ia hanya reda selepas polis meninggalkan kawasan ini kira-kira jam 1.30 pagi.

Kami dengan ini berpendirian:-

1) Peristiwa ini berlaku selepas polis melakukan provokasi dan bertindak secara tidak profesional dengan menembak gas pemedih mata dan memancut air ke atas orang ramai yang sedang beracun.


2) Bagi menghormati keputusan polis, pihak penganjur tidak bercadang untuk meneruskan program ceramah pada malam itu dan pimpinan yang hadir sedang menyelaraskan pembatalan itu dengan pihak tuan rumah dan petugas. Pihak penganjur juga telah memaklumkan kepada polis, majlis tidak akan diteruskan. Namun provokasi yang berterusan telah dilakukan oleh pihak polis.


3) Program Bersih yang dianjurkan pada malam itu bertujuan mengajak rakyat menuntut dan memahami hak mereka dalam sebuah negara demokrasi untuk mendapatkan pilihan raya yang adil dan bersih. Antara tuntutan Bersih adalah penggunaan dakwat kekal, pembersihan daftar pemilih, menghapuskan undi pos dan menjamin media yang adil dan tidak berpihak.


4) Malangnya, polis telah digunakan untuk menyekat program bagi menyedarkan rakyat tentang hak mereka dalam sebuah negara demokrasi padahal polis sepatutnya menjalankan tugas untuk menurunkan kadar jenayah yang begitu tinggi sekarang ini dan menjadi masalah sebenar kepada rakyat sekarang.


5) Yang malang lagi, ada polis telah menggunakan peluru hidup dalam mengendalikan perhimpunan aman sebegini. Penggunaan peluru hidup dalam mengendalikan program sebegini adalah tidak berasas dan sangat dikesali.


6) Bagi kami polis telah gagal mengendalikan perhimpunan tersebut berdasarkan prosedur undang-undang polis sendiri. Antaranya tiada pengumuman meminta orang ramai bersurai.

Kami dengan ini menuntut:

1) Penubuhan Suruhanjaya Diraja Bebas untuk menyiasat apa sebenarnya yang berlaku di Batu Buruk pada 8 September.


2) Penjelasan Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang juga Perdana Menteri serta Ketua Polis Negara terhadap penggunaan peluru hidup dalam mana-mana perhimpunan aman sebegini.


3) Segala perhimpunan aman yang dianjurkan oleh mana-mana badan yang sah tidak memerlukan permit polis dan mendapat kerjasama sepenuhnya dari pihak polis.


4) Polis tidak lagi diperalatkan oleh Umno/BN untuk kepentingan politik murahan mereka.


5) Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Idris Jusoh selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri agar bertanggungjawab sepenuhnya dalam kejadian ini.

Maka kami yang mewakili BERSIH sekali lagi menegaskan pendirian bahawa kami terus komited memperjuangkan tuntutan untuk mendapatkan demokrasi dan pilihan raya yang adil secara aman di negara Malaysia yang tercinta ini.

Pada 9 September 2007
0 comments

Monday, September 10, 2007

UMNO/BN REDHA KEGANASAN POLIS

Daripada berita2 yang dibaca dalam Harakah Daily,Tranungkite dan laman marhein nampaknya UMNO dan BN meredhai tindakan polis menembak Suandi dan rakannya di Kuala Terengganu.Suratkhabar (Berita Hairan & Utusan Meloya) propaganda UMNO dan BEE END hari ini (10 Sept) melaporkan tentang polis yang telah cedera dan dikasari oleh penyokong pembangkang. Tiada langsung tentang berita Suandi dan rakannya yang ditembak oleh polis.Benarkah lapuran-lapuran akhbar2 ini?
Persoalannya kenapa kah pihak polis boleh melepaskan peluru hidup untuk menyuraikan orang ramai yang datang nak mendengar ceramah.Setahu saya dan pengalaman saya mengikuti ceramah PAS,PKR dll takpernah berlaku kekecohan atau ketidak tenteraman jika program tersebut tidak diganggu oleh polis.Apakah rasionalnya pihak polis mengganggu ceramah yang hendak diadakan oleh BERSIH ini.Pada pendapat saya tidak lain tidak bukan tentu dan sudah semestinya setelah mendapat arahan dari pemimpin UMNO/BN di Terengganu.
Nampaknya UMNO/BN Terengganu dah jadi seram sejuk dan takut apabila mendengar 3 parti pembangkang terkuat di Malaysia ni bergabung untuk mengadakan ceramah di Negeri Terengganu.Bak kata pepatah bidalan orang2 tua "Berani kerana benar,Takut kerana salah". Maka adalah kesalahan UMNO/BN di Terengganu tu yang menyebabkan mereka takut sangat apabila mendapat tahu PAS,PKR dan DAP bergabung dibawah BERSIH nak mengadakan ceramah di Negeri mereka.
Mengambil jalan kekasaran untuk menyelesaikan sesuatu masalah tidak pernah dapat menyelesaikan masalah tersebut dengan cara yang baik.Itu lah sebabnya PAS sentiasa mengambil jalan baik iaitu melalui pilihanraya untuk menentukan pemerintahan di Malaysia ini.Sudah berpuluh kali kita kalah dalam pilihanraya tetapi kita tetap mengambil jalan baik dan bersabar dalam semua hal.Tindakan kasar dan zalim serta provokasi keatas penyokong pembangkang diTerengganu menunjukkan bahawa sebenarnya UMNO/BN dan polis lah yang mengambil jalan secara kekasaran atau mengambil jalan mudah dengan menzalimi dan memukul penyokong Parti2 Pembangkang.
Penyokong parti pembangkang (PAS,PKR & DAP) bukan lah Tok Guru, macam Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Hj Hadi yang penyabar dan redha atas segala perbuatan dan onar yang dilakukan oleh pihak pemerintah.Kami adalah manusia biasa macam polis yang bertugas malam tu semuanya manusia biasa bukan nya TOK GURU.Jadi bila dipukul,dizalimi dan di hentak dengan boot kadang2 kami membalas begitu juga dengan tuan2 polis.Kita semuanya sama. Kita bukan orang alim atau TOK GURU.
Jadi pendekatan yang sesuai dalam hal ni kita gunakan lah akal fikiran yang diberikan oleh ALLAH kepada kita untuk menyelesaikan sebarang masalah.Janganlah menggunakan kekasaran dalam menyelesaikan masalah.Parti-parti pembangkang di Malaysia ni tak pernah pun berniat untuk menggunakan kekasaran untuk mendapat kuasa pemerintahan di Malaysia ini.Brother polis kena ingat mungkin sekarang BN memerintah tapi mungkin tahun depan (2008) pakatan BA pula yang perintah Malaysia ni.INI semua kuasa ALLAH yang menentukan bukan kuasa UMNO/BN.Itu lah sebab ALLAH SWT menjadikan dunia ini bulat untuk menjadi petunjuk dan iktibar kepada kita manusia bahawa roda kita sentiasa berpusing.Kita tidak akan selama-lamanya duduk diatas,apabila sampai cukup pusingan nya mahu atau tidak kita akan tetap duduk dibawah. Jadi ingat dan insaflah UMNO/BN dan POLIS janganlah menzalimi kita sesama manusia sebab bukan semua orang macam TOK GURU....

Wednesday, September 5, 2007

MERDEKA ! MERDEKA ! MERDEKA !

KEMERDEKAAN MILIK RAKYAT??

Kemerdekaan, kadang kala seakan milik orang yang berkuasa, parti yang berkuasa. Ia bukan lagi milik seluruh warga rakyat.Kemerdekaan adalah penjajahan baru. Bernama kongkongan.Satu pihak bebas mengongkong pihak yang lain – itukah kemerdekaan? Anda masih remaja – mungkin anda adalah lebih merdeka. Anda memasuki universiti – aktivisma mahasiswa segera dibalut oleh sebuah Akta – namanya Akta Universiti – dan berdiri di situ ‘Gabenor’ UMNO-BN untuk memastikan cengkaman itu terasa. Lihatlah pilihanraya kampus yang penuh jenaka. Gabenor ini miangnya lebih dari Gabenor British yang kita halau dulu.Kebebasan akademik? ‘Gabenor-gabenor’ 'penjajah' sangat berbau politik kepartaian sifatnya bertaburan di mana-mana kampus. Mereka dilantik atas pertimbangan politik – untuk berkhidmat kepada sebuah autoriti politik sebagai ukuran paling utama.Lantas, di mana kemerdekaan para ahli akademik kita? Melainkan kongkongan. Tanpa kemerdekaan, kita akan cemerlang?
Anda melangkah keluar ke alam kerjaya – Aku Janji sedang menunggu anda. OSA memenjarakan anda. Sepanjang hayat anda. Anda dikongkong.Anda rakyat biasa yang hauskan kemerdekaan maklumat? Anda adalah anak jajahan media arus perdana. Anda cuba merobek tirai manipulasi berita? Anda cuba mencuri untuk mengecap kemerdekaan dari perhambaan media seperti itu lewat internet, blogs dan web berita? Geger! Anda kurang patriotic kerana berkawan dengan ‘monyet-monyet’. Anda dikongkong.Jerkah, ugutan dan jangan lupa ISA yang setia menunggu. Itu semua alat sebuah kemerdekaan? MTUC pun diugut untuk ditutup. Merdeka…. ISA hanya sebuah pisau yang boleh digunakan oleh ‘tuannya’ untuk menghiris orang lain. ‘Dua ditangkap kerana SMS perkauman.’ Bagaimana dengan orang yang menghunus keris sebegitu panjang dengan laungan perkauman? Tidak, ia berlindung di balik kuasa. Ekonomi - jaring penjajahan yang lebih mencengkam. Bila anda berada dalam baris elit kuasa, anda bebas ‘merompak’ atas apa sahaja nama.
Ingat – ketika anda melewati lebuhraya utama dan singgah di plaza tol, ia sebuah kemajuan atau sebuah rompakan kecil kemerdekaan anda? Elitis yang kecil mendapat sebuah lesen, dan untuk tahun ini PLUS telah mengumumkan ia meraih lebih setengah billion (RM 583 juta) keuntungan untuk separuh tahun 2007 - tetapi kadar tolnya mesti naik saban masa. Aku tidak herankan kos yang aku harus biayai untuk sebuah kemudahan tetapi keuntungan besar atas sebuah keperitan adalah mencabut kemerdekaan ku….
Anda elitis kuasa, anda bebas dan merdeka. Port Klang Free Zone – tanah kerajaan dijual kepada – ahhh – engkau pun tau siapa, jika tidak apa yang dipanggil kroni - di jual balik kepada kerajaan – dan orang yang amat kecil bilangannya ini, amat kecil sehingga boleh dihitung dengan jari tangan tak perlu masuk jari kaki – ketawa riang dengan keuntungan satu ribu lapan ratus juta tolak kos beli, sembilan puluh lima juta. Keuntungan bersamaan lebih satu perpuluhan tujuh ribu juta!
Dan anak bangsaku yang masih merempat sesak, semua kaum, kita heret zaman berganti zaman menghiasai kemerdekaan kita. Kemerdekaan ku di mana? Di mana odit atas akaun PKFZ sebelum kerajaan bail out? Di mana pembentangan dan kelulusan Parlimen? Di mana ketelusan, di mana kewajaran? Bukankah ketelusan itu adalah ciri utama sebuah masyarakat merdeka? Jika tidak, kekayaan Negara hanya akan dikaut oleh orang hitam sebagai ganti orang putih bangsa penjajah yang telah kita halau dulu. Itukah yang engkau mau dari sebuah kemerdekaan? Anda sebut Parlimen? Lambang sebuah demokrasi? Sepuluh tahun sekali parti yang berkuasa boleh mengatur kekuatannya melalui proses ‘sempadan’ semula. Ah, kemerdekaan itu adalah kebebasan mengatur untuk parti berkuasa… Dan pilihanraya? Pilihanraya yang bebas? Jika pilihanraya kampus yang tidak akan mengubah apa-apa kuasa Negara, kaki dan tangan mahasiswa diikat, adakah mungkin pilihanraya yang boleh menukar tampuk kuasa, anda mengharapkan ia bebas – dari politik wang – anda sendiri tau, dari kongkongan media, anda sedia arif, dari penipuan? Undi Myanmmar dan orang Thai kadang kadang boleh mengalahkan suara anda Anak Malaysia. Oh, kemerdekaan ku…. Anda belum menghitung penjajahan janji-janji. Maksud saya, ada lagi rakyat Malaysia rebah dengan janji pilihanraya lima tahun sekali. Setiap lima tahun, mereka memperbaharui penjajahan…… Dan kini, cendawan koridor berhamburan. Koridor sana, koridor sini. Feel good factor, kawan… Modus operandi penjajahan baru ini ialah ekonomi. Tanpa tender, aneka projek diagihkan. Kini, kepada pemimpin pemuda mereka. Dijual segera bila projek diperolehi. Kos projek melambung-lambung. Wang negara mengalir bagai air. Untung segera. Keuntungan digunakan pula untuk membeli undi dalam parti dan dalam pilihanraya. Pemilihan parti akan diadakan selepas pilihanraya. Kuasa digunakan untuk memberikan projek untuk mengumpulkan sokongan. Sokongan membawa kepada kuasa. Kuasa kepada kekayaan. Wang memberikan kuasa. Kuasa memberikan wang.
Bagi massa generasi baru, basuh otak mereka di PLKN. Mana-mana yang telah terlekat jalur 'UMNO' di jiwa mereka, boleh menyertai skuad elit kuasa, boleh berkongsi kekayaan juga kuasa, atas harga yang terpaksa dibayar oleh negara. Pada hakikatnya, kita semua adalah hamba mereka. Kemerdekaan kita telah disamun. Anda bukan anggota parti kerajaan – anda kurang patriotik Anda dari baka bukan pejuang kemerdekaan.
Bapa beli bas dijual oleh anak (Scomi - RapidPenang). Patriotik?
Abang lancar nasi kandar adik di luar Negara. Patriotik?
Promosi Kebaya mengingati al marhumah isteri di luar Negara. Patriotik?

Aku penjual nasi dagang, nasi berlauk, keropok dan pedagang batik, promosi luar Negara tidak mungkin menjengok kerana aku adalah rakyat biasa pengundi setiamu… Sekalipun aku adalah rakyat teramai, tetapi adik, isteri dan anak juga diingat orang. Terengganu merdeka seiring dengan royalti minyak yang lumayan. 16 % rakyatnya di bawah paras kemiskinan dan 54% rakyatnya berpendapatan bawah RM 1,500 dan anda katakan ini kemerdekaan? Mentaliti terjajah atau mentaliti penjajah? Apa jadi pada peta Semenanjungku? Semakin mengecil dengan peluasan wilayah Singapura lewat pemilikan tanah dan penempatan penduduk di WPI. Bakal menjadi 3 juta orang warga Singapura akan menetap di WPI, unjuran Tun Dr. Mahathir. Itu peluasan wilayah namanya. Apa perlunya Jawatankuasa Bersama Kabinet dengan Singapura untuk WPI? Kekuatan strategic mereka akan ditekankan ke atas Negara kita dan menerusi apa yang digelar pembangunan, kita kehilangan kedudukan yang akan memberikan kesan politik yang tak berkesudahan. Jika dengan semangat merdeka kita pernah satu masa menguasai semula gergasi perniagaan dan perladangan yang dimiliki orang putih, kenapa pula kini kita perlu menjual wilayah kita? Kemerdekaan kita telah dihijack. Malang.
Pemandu teksi, dipenjara oleh palang kronisma yang lain pula. Mereka harus bekerja kuat untuk taukeh-taukeh yang goyang kaki. Taukeh ini memiliki permit-permit yang memberikan keuntungan percuma sebegitu lumayan. Itu bukan pemerasan namanya? Pemerasan bukan penjajahan? Belum diambil kira AP, klon atau bukan klon. Monopoli itu, monopoli ini. Ah…, jaringan ‘penjajahan’ oleh anak bangsaku sendiri? Anda belum memeriksa sudut akhlak dan moral. 1.5 juta (atau lebih) generasi merdeka ‘lintuk.’ Mereka dijajah oleh dadah dan tak berupaya bangkit. HIV datang tak diundang tetapi jika dibiarkan, bangsa boleh pupus. Apa agenda untuk anak bangsa Malaysia ku ini? Sure Heboh dan Jom Heboh? Kampung Hadhari? Biarkan mereka rebah di persada noda? Menjelang 2020, mereka makin biak – dijangka 3.5 juta. Mereka merdeka dalam khayal yang panjang tetapi, ah, mereka mangsa kemerdekaan tanpa agenda yang ada pedoman? Mereka telah rebah dijajah tetapi apa pemerentah telah lakukan untuk memberikan semula ruh kehidupan?
Dan anda teringatkan keselamatan kita semua?Pengganas komunis telah diganti dengan pengganas baru. Fenomena jenayah seakan sinonim dengan kemerdekaan kita kebelakangan ini. Ia bukan lagi berlindung di hutan belantara tetapi ada di mana- mana di tengah kehidupan kita. Dari Perlis sampai ke Sabah, mangsa boleh ada di mana saja. Anda katakan kemerdekaan itu keamanan. Dan kesejahteraan. Kenapa ada ketakutan? Bimbang mencengkam kehidupan. Di mana polis? Polis harus menjaga polis? Kata-kata yang mungkin keterlaluan. Tetapi jika barah yang melanda kita semua tidak diubati, tren polis menjaga polis dari melakukan jenayah, akan berkembang. Altantuya – ya – polis, nama polis disebut. Disebut di sana sini. Bekas Ketua Polis menyebut tentang pagar makan padi. Benar, seekor kerbau membawa lumpur, membawa nama polis, BPR atau apa sahaja ‘pagar-pagar’ kita, disebut orang dengan nama kurang enak. Jika dibiarkan, kerbau-kerbau berlumpur ini akan membiak dan kita akhirnya hilang satu cebis lagi kemerdekaan kita.
Anda bertanyakan tentang kedaulatan undang-undang, tentang kehakiman, tentang prinsip yang jahat tetap menerima pembalasan bukan pelepasan. Anda berbisik, mahkamah kita pentas jenaka. Hakim kita? Anda rakyat yang merdeka. Anda ukur. Andakah yang merdeka atau orang yang berkuasakah yang merdeka? Padahal asalnya, kemerdekaan milik kita semua.
Salam kemerdekaan....

Hj Husam
Kg Kota, Kelantan
31 Ogos, 7.05PM
cetusan-hati.blogspot.com

AMANAT TUAN GURU

9/7/2007 Kg Chenor : CERAMAH PERDANA MERAIKAN KEMENANGAN PAS

Pada hari Isnin 9 Julai yang lalu PAS Kawasan Jelebu dengan kerjasama Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan telah mengadakan satu program Ceramah Perdana sempena meraikan kemenangan PAS dalam satu perbicaraan yang berlanjutan selama 6 tahun. Antara yang diraikan pada malam tersebut adalah pemimpin PAS yang dituduh terdiri dari Tuan Hj Mohamad Sabu, Dr Rosli Yaakop, Cikgu Jaaman, Hj Jamlus Mansor, Cikgu Badrul Hisham (Cikgu Bard), Saudara Nor Anif dan Saudara Hafiz. Selain dari itu peguam-peguam PAS yang menguruskan kes ini sehingga mencapai kemenangan yang terdiri daripada Saudara Hanipa Maidin dan Tuan Syed Fuad turut diraikan. Satu jamuan makan malam dengan hidangan istimewa lauk kari kambing, rendang ayam kampong dan lauk pauk kampong telah disajikan untuk Tuan Guru Presiden dan orang ramai yang hadir pada malam tersebut. Dato’ Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Presiden PAS , Tuan Hj Mohamad Sabu Naib Presiden, Saudara Hanipa Maidin AJK PAS Pusat dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Saudara Zulkefly adalah tetamu-tetamu kehormat pada malam tersebut. Selain dari itu seluruh AJK Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan, YDP-YDP dan Setiausaha2 PAS Kawasan telah hadir pada malam tersebut. Suasana pada malam itu sungguh meriah seperti satu kenduri besar PAS.

Tuan Haji Mohamad Sabu dalam ucapan beliau menyatakan selama 6 tahun beliau berulang alik ke Jelebu mengikut jalan Bukit Tangga sehingga dia merasakan jalan Bukit Tangga tu dah macam highway. Pernah beliau dari satu ceramah di Kuala Trengganu pada malam tersebut bertolak terus ke Jelebu untuk menghadiri perbicaraan di Kuala Klawang besok pagi nya. Nasib baik saya ada rumah di Jelebu ni katanya sambil berseloroh dan disambut oleh ketawa hadirin. Mohamad Sabu menyatakan itu lah dia liku-liku perjalanan sebagai pejuang dalam PAS ini dan dia mahukan seluruh ahli dan pemimpin PAS di Negeri Sembilan khususnya di Jelebu ini katanya lebih bersemangat untuk berjuang dalam PAS demi untuk menegakkan kebenaran dan keadilan di Malaysia ini, kata beliau. Selama 6 tahun ini jalan Bukit Tangga dah lurus dah, dari bengkok dulu sekarang dah lurus tapi yang tak lurus-lurus adalah pamimpin UMNO dan Barisan Nasional katanya. Jalan kita boleh luruskan, tapi pemimpin UMNO dan BN semakin lama semakin bengkok, rasuah, tak amanah dan cakap tak serupa bikin, kata beliau lagi. Pemimpin begini kalau kita nak luruskan mereka hanya dengan satu cara sahaja iaitu dengan menjatuhkan kerajaan UMNO dan BN ini dalam pilihanraya yang akan datang, baru lah dia orang ni boleh jadi lurus, kata Haji Mohamad Sabu.

Tuan Guru Presiden dalam amanat beliau menyeru kepada semua pegawai-pegawai kerajaan yang berkhidmat supaya tidak menjadi pak turut atau pecacai UMNO dan BN. Jawatan yang dipegang oleh pegawai-pegawai tersebut adalah satu amanah kepada rakyat dan perkhidmatan yang diberikan mestilah untuk rakyat bukan untuk kepentingan setengah-setengah pemimpin UMNO atau BN katanya lagi. Tuan Guru Presiden juga menyatakan Demokrasi di Malaysia ini telah hancur oleh sikap rakus pemimpin UMNO dan BN dalam memerintah Malaysia. Oleh sebab itu lah PAS berusaha dengan berkempen untuk Selamatkan Malaysia dan Selamatkan Demokrasi di Malaysia. Tuan Guru Presiden juga mahukan seluruh ahli parti supaya bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya yang akan diadakan tidak lama lagi. Seluruh jentera pilihanraya parti, seluruh jentera MTD dan UPU di Negeri Sembilan ini harus lah digerakkan bermula dari sekarang ini kata beliau. Tuan Guru juga mahukan kemenangan yang diraikan pada malam ini di tafsirkan untuk menjadi satu lonjakan kepada PAS Negeri Sembilan untuk mencapai kemenangan dalam pihanraya umum yang ke-12 nanti. Oleh itu seluruh ahli PAS Negeri Sembilan mesti lah bekerja keras bermula dari sekarang, kata Tuan Guru Presiden.

PAS JELEBU LAWAT MDJ

10/7/07 Kuala Klawang : PAS KAWASAN JELEBU LAWAT MAJLIS DAERAH JELEBU

Pada hari Selasa 10hb Julai lebih kurang jam 11 pagi, PAS Kawasan Jelebu yang diketuai oleh YDP Cikgu Jaaman telah mengadakan pertemuan dengan Pegawai Daerah Jelebu di pejabat beliau. AJK PAS Kawasan yang turut hadir dalam perjumpaan tersebut adalah Tuan Hj Zainuddin (Naib YDP), Tuan Hj Hassan (Bendahari), Saudara Nor Anif (Penolong SU) dan Tuan Hj Jamlus (Ketua Penerangan). Dalam pertemuan tersebut PAS Kawasan Jelebu telah menuntut supaya MDJ memulangkan semula bendera-bendera PAS yang telah diturunkan dan dirampas oleh pihak MDJ. PAS Kawasan Jelebu juga telah menyatakan bantahan dan kekesalan mereka atas sikap MDJ yang berat sebelah dan menafikan hak PAS untuk menaikkan bendera parti sewaktu mengadakan sambutan program parti.

Menurut Cikgu Jaaman program UMNO Jelebu terutamanya program Dato’ Rais kadangkala bendera dan banner UMNO telah dinaikkan 1 minggu sebelum program dan kadangkala tidak diturunkan sehinggalah datang program yang lain pula. Beliau mempersoalkan adakah UMNO Jelebu memohon permit dari MDJ untuk menaikkan bendera dan banner tersebut. Berbeza dengan PAS kata beliau permohonan permit oleh PAS Jelebu untuk menaikkan banner dan bendera telah dinafikan oleh pihak MDJ walhal PAS adalah satu parti yang berdaftar. PAS merupakan parti pembangkang yang terkuat di Parlimen Malaysia dan juga Parti Islam yang terbesar dan teramai ahli nya di Malaysia. Mana mungkin sebuah parti yang besar dan ramai ahlinya seperti PAS membuat satu program secara senyap-senyap tanpa memaklumkan kepada ahli dan tanpa membuat satu sambutan yang baik bersesuaian dengan program atau kedudukan PAS di Malaysia. Itu lah sebabnya dalam setiap program PAS banner, poster dan bendera dinaikkan untuk memaklumkan kepada ahli-ahli terutamanya dan orangramai tentang program yang diadakan, kata beliau. Cikgu Jaaman juga berharap MDJ tidak menjalankan kerja-kerjanya atas arahan dan tekanan dari pihak tertentu,terutamanya tangan-tangan ahli politik UMNO yang kadangkala bersifat kebudak-budakan dan tidak rasional dalam tindak tanduk mereka. MDJ harus menjalankan kerja mereka dengan adil dan bebas dari cengkaman politik , katanya. PAS Kawasan Jelebu akan terus menaikkan banner, poster dan bendera parti dalam setiap program PAS dikawasan Jelebu selepas ini di samping memohon permit dari pihak MDJ. Ini bukti bahawa PAS adalah satu parti yang menurut undang-undang di Malaysia ini. Kita bukan nak lawan undang-undang kata Cikgu Jaaman, kita cuma mempertahankan hak kita sebagai sebuah parti yang berdaftar. Malaysia adalah satu Negara Demokrasi oleh itu setiap individu atau pertubuhan mempunyai hak-hak mereka yang diakui oleh undang-undang berpelembagaan di Malaysia ini, kata beliau.

Menurut Saudara Nor Anif pula banner Pesta Mengemping yang diadakan di Kampung Gagu pada 6 Julai yang lalu, yang telah dirasmikan oleh Dato’ Rais Yatim sehingga hari ini pun tidak diturunkan oleh pihak Majlis Daerah. Begitu juga dengan bendera UMNO yang dinaikkan diseluruh Pekan Kuala Klawang sewaktu kedatangan Menteri Belia Dato’ Azalina juga tidak diturunkan oleh pihak Majlis. Lain pula hal nya apabila PAS menaikkan bendera untuk sesuatu program ramai pihak yang membuka mata dan menunding jari kononnya tak boleh lah dan tak ada permitlah, kata beliau. Di manakah keadilan untuk sebuah Negara Malaysia yang dikatakan mengamalkan sistem Demokrasi BerParlimen dan baru-baru ini pula Dato’ Najib pula heboh mengakui bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Islam walaupun tidak menjalankan undang-undang Islam. Menurut Saudara Anif lagi ini semua menunjukkan sikap hipokrit dan munafik pemimpin Negara terutamanya pemimpin UMNO dalam menjalankan amanah yang diberikan oleh rakyat. Demokrasi di Malaysia telah hancur dengan sikap pemimpin seperti ini dan sudah sewajarnya lah rakyat memberikan undi kepada PAS dan Pakatan Alternatif dalam pilihanraya yang akan datang untuk menyelamatkan Demokrasi di Malaysia dan mengembalikan hak rakyat kepada rakyat, kata beliau dengan penuh bersemangat.

MAJLIS DAERAH JELEBU ZALIM

9/7/2007 Kuala Klawang : MAJLIS DAERAH JELEBU BERSIKAP ZALIM

Pihak Majlis Daerah Jelebu (MDJ) pada 9hb Julai (Isnin) jam 7.00 petang telah bertindak menurunkan bendera PAS dan mengoyak-ngoyakkan poster PAS untuk program Ceramah Perdana sempena meraikan kemenangan PAS dalam perbicaraan di mahkamah Jelebu yang berlanjutan selama 6 tahun. Program Ceramah Perdana ini turut dihadiri oleh Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dan bersempena meraikan kedatangan beliau ke Daerah Jelebu, PAS Kawasan Jelebu telah menaikkan bendera PAS dan menampal poster program disepanjang jalan dari Bukit Tangga hingga ke Kg Chenor tempat program diadakan.

Tetapi pihak MDJ telah bertindak zalim dengan menurunkan bendera PAS dan mengoyak-ngoyakkan poster program ceramah tersebut dari Bukit Tangga hingga ke Pekan Kuala Klawang. Yang Dipertua PAS Kawasan Jelebu Cikgu Jaaman setelah mendapat maklumat dari orang ramai tentang perbuatan MDJ tersebut dan telah mengarahkan sepasukan petugas PAS untuk memantau perbuatan zalim MDJ tersebut. Petugas-petugas PAS telah terserempak dengan lori pick-up MDJ yang membawa 4 orang penguatkuasa MDJ lengkap berpakaian seragam di Bukit Tangga. Terdapat bendera-bendera PAS yang telah diturunkan di dalam lori pick-up MDJ tersebut.

Petugas-petugas PAS telah merayu dan meminta supaya penguatkuasa MDJ yang diketuai oleh Encik Isa supaya berhenti dari menurunkan bendera-bendera PAS tersebut tetapi telah ditolak oleh beliau dan menyatakan bahawa beliau telah mendapat arahan dari Pegawai Daerah Jelebu supaya menurunkan semua bendera PAS dan mengoyakkan semua poster PAS yang ditampal disepanjang jalan dari Bukit Tangga ke Kg Chenor. Encik Isa menunjukkan sms arahan yang beliau terima dari DO Jelebu sebanyak 2 kali untuk menurunkan bendera dan poster PAS tersebut. Petugas-petugas PAS tersebut telah berjanji sekiranya pihak MDJ boleh bertimbang rasa dalam hal ini mereka sendiri akan melakukan kerja-kerja menurunkan bendera tersebut setelah program ceramah tersebut selesai sekitar jam 12.00 tengah malam. Tetapi permohonan petugas PAS ini dinafikan oleh Encik Isa dengan berkeras menyatakan bahawa beliau hanya menjalankan arahan Pegawai Daerah Jelebu. Pertengkaran antara Petugas PAS dan Penguatkuasa MDJ tersebut berlarutan hingga lewat maghrib. Oleh kerana urusan ALLAH (solat maghrib) lebih besar dari segala urusan maka Petugas PAS Jelebu telah berundur untuk menunaikan solat maghrib manakala pihak MDJ terus tinggal di kaki bukit tangga itu untuk meneruskan kerja-kerja zalim mereka.

Setelah selesai program ceramah sepasukan Petugas PAS telah menjalankan rondaan dari Pekan Kuala Klawang sehingga ke Bukit Tangga dan mendapati seluruh bendera PAS yang dinaikkan di sepanjang jalan tersebut telah hilang. Mengesyaki kehilangan bendera PAS ini adalah berpunca dari perbuatan pihak Majlis Daerah Jelebu, pihak PAS Kawasan Jelebu diketuai oleh YDP Kawasan Cikgu Jaaman telah membuat satu lapuran polis di pejabat Polis Daerah Jelebu pada malam itu juga.

Thursday, May 3, 2007

JELEBU BAKAL HADAPI BANJIR BESAR
28/4/07 Pembinaan empangan Sungai Teriang sedang dijalankan secara senyap-senyap tanpa pengetahuan ramai penduduk jelebu seluruhnya. Pembinaan empangan ini sebenarnya adalah untuk kepentingan rakyat Negeri Selangor. Penduduk Jelebu dan rakyat Negeri Sembilan tidak akan menikmati sebarang faedah hasil dari pembinaan empangan tersebut. Sebaliknya penduduk Jelebu akan mendapat bala banjir hasil dari pembinaaan empangan tersebut. Begitulah menurut kata Tuan Haji Hassan Bin Abdul Rahman Ketua PAS Cawangan Bandar Klawang dalam membangkitkan isu ini semasa Mesyuarat Agong PAS Kawasan Jelebu kali yang ke-18 yang diadakan di Dewan Kampung Petaseh. Tuan Hj Hassan telah bangkit mengutarakan usul ini dan memohon agar PAS Jelebu dapat menjalankan satu gerakan untuk menghalang pembinaan empangan Sg. Teriang ini.
Menurut Tuan Hj Hassan sekarang ini Majlis Daerah Jelebu sedang berusaha membayar pampasan kepada tuan-tuan tanah yang terlibat dalam pembinaan empangan tersebut. Tetapi menurut Tuan Haji lagi soal pampasan bukanlah perkara pokok dalam isu ini tetapi perkara yang lebih pokok ialah apa faedahnya yang akan diperolehi oleh penduduk Jelebu hasil dari pembinaan empangan ini selain dari banjir. Itulah yang terjadi di daerah Batu Pahat Johor semasa kejadian banjir besar pada awal tahun ini dan hujung tahun 2006 yang lalu. Empangan di Batu Pahat itu terpaksa dibuka kerana takut pecah setelah tidak dapat lagi menampung limpahan air hujan dan air sungai yang memenuhi empangan tersebut. Apabila dibuka sahaja empangan tersebut seluruh bandar dan daerah Batu Pahat tenggelam oleh banjir dan memakan masa berminggu-minggu baru surut. Apakah perkara seperti ini hendak kita biarkan berlaku di daerah Jelebu ini? soal Tuan Haji kepada perwakilan yang hadir.
Menurut kata Haji Hassan beliau telah pergi berjumpa dengan Tuan Pegawai Daerah Jelebu dan juga Jabatan Bekalan Air Jelebu untuk bertanyakan tentang pembinaan empangan ini