Wednesday, April 2, 2008

MELAYU DAN UMNO

Begitu lah sinonimnya 2 ayat yang tertera di atas itu. Tak boleh lari Melayu dari UMNO dan tidak akan ada UMNO jika tiada Melayu.Begitu lah kira-kiranya akrab dan rapatnya hubungan kedua-duanya. Maka oleh sebab itu lah maka Melayu-Melayu kampung tanpa teragak-agak dan segan silu tetap mengundi calon2 UMNO/BN pada pilihanraya umum ke-12 yang lalu. Tanpa memperdulikan nasib anak dan cucu mereka yang tinggal di bandar-bandar tak kira lah di bandar raya atau pun di bandar yang tidak berapa nak beraya. Orang Melayu kampung ini tetap mengundi UMNO/BN kerana mereka tak kisah walaupun anak cucu mereka di bandar2 itu hidup umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Apa tidaknya dengan segala bayaran yang dikenakan kepada mereka seperti cukai pintu, cukai tanah, Indah Water, bil letrik, bil air, bil telefon & internet, bayaran bulanan pinjaman kereta dan rumah, bayar sekolah anak2, bayar insuran atau takaful, bayar cukai pendapatan LHDN, bayar tol, bayar sewa rumah, bayar van sekolah anak2, bayar tuisyen anak2, bayar Courts Mammoth dsbnya jika beli alatan rumah secara hutang dan seribu satu jenis bayaran lagi yang di kenakan kepada anak cucu mereka (Melayu) yang duduk di bandar. Itu belum lagi termasuk duit belanja pasar dan kedai runcit kat depan rumah yang kena disiapkan hari2. Termasuk juga duit belanja sekolah anak2 yang mesti di beri tiap hari kalau tidak anak2 merajuk tak nak pergi ke sekolah. Kena di kira juga duit minyak kereta atau motor yang mesti diperuntukkan setiap hari sepaling kurangnya RM 10 sehari kalau tidak tak bergerak lah. Ini semua lah yang menyeksakan dan menyesak kan nafas Melayu Bandar.

Tapi Melayu Kampung tak peduli itu semua, bagi mereka yang penting "Acik Yang Lamo Yo" atau "Acik Tak Nak Makan Ubi Kayu Macam Zaman Jopun Marin Doh" ataupun yang paling tangkap nangis adalah "Kok Tak Ado Kapal Layar ko Dacing ko Tak Merdeka Kito Doh Jang". Oleh kerana sikap tak peduli Melayu-Melayu kampung ini jugalah maka mereka amat senang dibeli dengan gula-gula 4 atau 5 tahun sekali oleh UMNO/BN yang hanya perlukan mereka pada masa hari mengundi atau pilihanraya tersebut sahaja. Pada PRU-12 kali ini hanya dengan menghantar hamper dan sedikit duit belanja dapur dalam hamper tersebut maka Melayu Kampung terutamanya di saluran 1 dan 2 terbeli atau terhutang budi untuk memangkah UMNO/BN tanpa memperdulikan nasib anak cucu mereka di bandar.

Sebaliknya pula dengan Melayu Bandar, oleh kerana kesesakan dan desakan hidup yang mereka tempuh hari-hari termasuk juga sumber-sumber maklumat yang mereka perolehi dari internet dan sebagainya maka mereka tidak teragak-agak untuk mengundi PAS, PKR mahu pun DAP pada PRU-12 yang lalu. Melayu Bandar dapat menyaksikan bagaimana pemimpin DAP berdemonstrasi depan Tol Cheras dahulu untuk menghapuskan Tol tersebut. Melayu Bandar dapat menyaksikan dengan mata kepala mereka sendiri pemimpin PAS & PKR berdemonstrasi untuk minta turunkan harga minyak dan menghapuskan tol. Bagaimana pemimpin ini di pukul oleh belantan FRU dan mereka ditahan lokap semata-mata untuk membela rakyat. Melayu Bandar dapat menyaksikan itu semua. Oleh sebab itu lah Melayu Bandar tak kiralah UMNO ataupun PAS tidak teragak-agak untuk mengundi nama-nama seperti Tian Chua, Teressa Kok mahupun N.Gobalakrishnan walaupun nama-nama ini bukan Ahmad, Ali atau Kassim kerana mereka tahu dan lebih arif bahawa orang-orang ini lah yang sanggup berkorban untuk membela rakyat.

Seperti kata Dr Mahathir dalam berita perdana malam tadi bahawa undi-undi yang diperolehi oleh PAS, PKR dan DAP adalah datangnya juga dari undi ahli-ahli UMNO sendiri. Ahli UMNO mana yang disebut oleh Mahathir ini? Inilah ahli-ahli UMNO yang tinggal di bandar atau ahli-ahli UMNO yang berada di saluran 3 & 4 pada buku daftar pengundi. Kerana mereka ini lah Melayu yang celik maklumat dan celik ilmu pengetahuan mereka. Dan mereka inilah golongan Melayu Bandar yang biasa memprotes dan di protes bagi mendapatkan hak mereka.

Bagaimana pula dengan Melayu Kampung saluran 1 dan 2? Mereka tetap dengan ungkapan "Acik Totap Tak Berganjak, Acik Yang Lamo Yo” ataupun "Ekau Lum Ngaso Lai Makan Ubi Kayu Hari-Hari Doh Jang". Ini lah ayat keramat Melayu Kampung saluran 1 dan 2. Walaupun sebenar nya sekarang ini harga ubi kayu sekilo lebih mahal dari harga beras sekilo. Ditambah pula dengan segala fatwa penipu UMNO/BN yang mengatakan jika PAS, PKR dan DAP menguasai Malaysia maka akan hancur orang Melayu, akan terpinggir lah orang Melayu dari arus pembangunan, maka di telan mentah-mentah lah oleh Melayu Kampung saluran 1 & 2 ini tanpa mahu menerima maklumat dari sebelah sana. Mentelah pula orang Melayu Kampung saluran 1 & 2 ini malas membaca terutamanya kerana mereka dah tak nampak untuk membaca atau tak reti baca rumi hanya baca jawi aje. Maka tertanam lah Fatwa parti Cap Kapal Layar/Dacing dalam hati dan sanubari mereka. Maka lebih kuat lah azam dan semangat mereka untuk undi UMNO/BN pada PRU-12 demi untuk mempertahan Malaysia dan bangsa Melayu khususnya, konon-konon nya.

Ini lah dia Melayu Kampung saluran 1 & 2 dengan sedikit fatwa palsu dan gula-gula yang diberikan habis anak cucu mereka di bandar tidak mereka pedulikan lagi.Bagi parti2 Pakatan Rakyat bagaimana? Apa resolusi kita bersama?

Tuesday, April 1, 2008

USRAH MTD KLAWANG

Usrah bulanan MTD Klawang akan diadakan pada ketetapan berikut :

Tarikh : 5 April 2008 /28 Rabiulawal 1429
Masa : 7.15 pm (Maghrib Bersama)
Tempat : Rumah Saudara Samsudin Bin Mohamad
Kg Ulu Jelebu, Kuala Klawang.
Naqib : Ustaz Suhaimi Bin Hj Kassim (Rembawi)
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Seremban.

Semua ahli & AJK PAS MTD Klawang khususnya dan PAS Kawasan Jelebu amnya di jemput hadir untuk meningkatkan ilmu pengetahuan tentang ugama ISLAM dan perjuangan ISLAM

Yang benar,
Saiful Bahri Bin Jaaman
S/U MTD Klawang

Saturday, March 29, 2008

PAS JELEBU ADA KAN KENDURI KESYUKURAN

JELEBU, 30 Mac 2008 – Cawangan-cawangan PAS dan MTD-MTD di Kawasan Jelebu sibuk mengadakan kenduri kesyukuran di sepanjang bulan Mac ini iaitu selepas pilihanraya umum ke-12 selesai. Kenduri kesyukuran ini di adakan untuk meraikan petugas-petugas PAS yang bekerja siang dan malam dalam usaha untuk memenangkan calon-calon PAS di Jelebu pada PRU ke-12 yang lalu.Di mulai dengan MTD Sg Lui yang mengadakan kenduri kesyukuran di Markas PAS Felda Lui Barat pada 12 Mac 2008. Di fahamkan hampir seluruh jentera MTD Sg Lui telah hadir dalam majlis tersebut. Saudara Norman Ipin calon Parlimen dan juga Haji Kateran Marman calon PAS DUN Sg Lui turut hadir bersama.

Diikuti oleh PAS MTD Klawang yang mengadakan kenduri kesyukuran dan sambutan Maulidur Rasul pada 15 Mac 2008 iaitu hari sabtu. Timbalan YDP PAS Kawasan Jempol Cikgu Majid turut hadir, untuk sama-sama meraikan petugas Klawang. Majlis pada malam tersebut turut dihadiri oleh petugas-petugas PAS dari MTD Sg Lui dan juga MTD Pertang. Pada malam yang sama PAS Cawangan Pasoh 2 juga turut mengadakan kenduri kesyukuran bagi meraikan petugas-petugas PAS di sana.

PAS Cawangan Lui Selatan juga turut mengadakan kenduri kesyukuran dan ceramah umum pada 17hb Mac iaitu hari Isnin. Ceramah disampaikan oleh Ustaz Wan Azhar, Ketua Penerangan PAS Kawasan Jempol. Sambutan dari penduduk Kg Getco sangat menggalakkan. Kaum India Kg Getco telah beramai-ramai hadir untuk kenduri tersebut dan bersama-sama dengan ahli PAS untuk mendengar ceramah Ustaz Wan Azhar. Dua ekor kambing telah disembelih untuk majlis pada malam tersebut. Pengarah MTD Sg Lui Saudara Yunus Yahya, Cikgu Jaaman Abu YDP Jelebu dan Saudara Saiful calon PAS Klawang turut hadir dalam majlis tersebut.

Pada 21hb Mac hari Jumaat PAS Cawangan Kg Geylang Pertang juga telah mengadakan kenduri. Majlis ini di sertai bersama oleh calon PKR untuk DUN Pertang Saudara Halim, calon PAS Klawang Saudara Saiful dan Hj Kateran calon PAS Sg Lui. Tazkirah pada malam tersebut telah disampaikan oleh YDP PAS Kawasan Jempol Ustaz Ramli. Ketua PAS Cawangan Kg Geylang dalam ucapan beliau yang penuh semangat pada malam tersebut menyatakan PAS Cawangan Kg Geylang akan terus bergerak dan bersiap sedia pula untuk menghadapi PRU-13. Saudara Halim dalam ucapan beliau menyatakan kerjasama erat antara PAS-PKR di DUN Pertang dalam menghadapi pilihanraya ke-12 itu telah menggusarkan jentera BN di Pertang. Saudara Halim mengucapkan terima kasih pada seluruh jentera PAS-PKR di DUN Pertang.

Pada hari Sabtu 22hb Mac PAS Cawangan Pasoh 3 telah mengadakan kenduri kesyukuran dan sambutan Maulidur Rasul di rumah Saudara Yusuf. Sambutan dari seluruh petugas PAS Pasoh 3 sangat lah menggalakkan. Ustaz Ramli YDP Jempol dalam tazkirah beliau menyatakan beliau terperanjat kerana Pasoh 3 mempunyai ahli dan penyokong PAS yang ramai. Beliau berharap ahli-ahli dan AJK PAS Pasoh 3 akan terus istiqamah dalam perjuangan PAS. Saudara Saiful calon PAS Klawang dalam ucapan beliau mengucapkan terima kasih kepada petugas-petugas PAS Pasoh 3 yang turut hadir di Klawang untuk memberikan sumbangan tenaga dan wang ringgit bagi membantu beliau sebagai calon. Petugas PAS Pasoh 3 juga turut membantu Norman dalam mengira undi bagi Parlimen di DUN Chennah. Ini lah sumbangan dan pengorbanan yang tidak dapat dinilai dengan ukuran wang ringgit menurut Saudara Saiful lagi. PAS Cawangan Pasoh 3 turut menyumbangkan 2 ekor kambing untuk majlis pada malam tersebut.

Blog PAS Jelebu : http://pasjelebu.blogspot.com

YB TAUFEK ADUN PAS DI PAROI

SEREMBAN, 27 Mac (Hrkh) - Wakil tunggal PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi pada jam 10.00 pagi tadi. Upacara angkat sumpah diadakan di Dewan Undangan Negeri di Seremban bersama 36 lagi Adun lain. Mohd Taufek mencipta sejarah apabila menang pada pilihan raya umum 8 Mac lalu bagi kerusi DUN Paroi dengan menewaskan Dato' Zaharuddin Mohd Sharif (BN) dengan mendapat 1,107 majoriti.

Pada pilihan raya umum 2004, Dun Paroi diwakili oleh Ketua Puteri Umno Negeri Sembilan, Bibi Sharliza Mohd Khalid yang digugurkan pada pilihan raya 8 Mac lalu. Mohd Taufek yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Biokimia dari UKM adalah bekas Jurutera Kanan di Samsung Malaysia Sdn Bhd. Mohd Taufek juga adalah Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan selain pernah menyandang Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Pusat. Beliau turut bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan NGO. Beliau berhasrat membuka Pusat Khidmat Rakyat selain menginfakkan 50 peratus dari gaji yang bakal diterimanya selaku Wakil Rakyat Paroi ke dalam Tabung Rakyat Paroi. Pusat Khidmat antara lain mungkin akan ditempatkan di Dataran Senawang untuk memudahkan masyarakat bertemu dengannya, kata Mohd Taufek yang mempunyai empat orang anak dan menetap dalam DUN Paroi hampir 15 tahun lamanya.

"Saya tahu agak sukar menjadi pembangkang ini dengan bantuan sudah pasti tiada dari kerajaan BN, namun saya yakin dengan kerjasama parti, rakan-rakan, petugas PAS, nasib rakyat Paroi akan diutamakan, justeru itu saya akan infakkan 50% daripada pendapatan saya sebagai ADUN untuk tabung yang ditubuhkan," katanya ikhlas. Suami kepada Mahani Musa (seorang guru) ini akan menjadikan kepercayaan rakyat Paroi asas kepada ketekunan untuk membela nasib rakyat Paroi antaranya isu pekerja, isu kebajikan, isu keselamatan dan perumahan di sini.

Beliau juga telah bertemu dengan wakil-wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk membincangkan sebarang bentuk persefahaman dalam DUN kerana PKR mempunyai 2 orang wakil di DUN bersama 11 lagi dari DAP. "Saya juga sedang berusaha untuk bertemu dengan DAP Negeri Sembilan bagi membincangkan hal yang sama. "Saya bertekad akan membawa isu-isu Islam di dalam DUN, kerana sebelum ini DUN Negeri Sembilan sepi dari isu ini," ujarnya. Justeru itu beliau menyeru kepada Anak-Anak Jati Rembau di Negeri Sembilan atau di perantauan agar dapat memberikan sokongan untuk mempastikan kejayaan parti-parti Barisan Rakyat di Negeri Sembilan dalam usaha untuk membela nasib rakyat khususnya di DUN Paroi dan di Negeri Sembilan amnya.

UCAPAN TERIMA KASIH DARI CALON PAS N.04 KLAWANG

16 Mac 2008 Kuala Klawang - Majlis Tindakan DUN (MTD) Klawang telah mengadakan kenduri kesyukuran dan sambutan Maulidur Rasul di Markaz MTD Klawang Kg Larong pada 15hb Mac 2008 hari sabtu yang lalu. Kenduri ini diadakan sempena meraikan petugas-petugas MTD Klawang yang telah berusaha bersungguh-sungguh tanpa mengenal penat lelah untuk memenangkan calon PAS Saudara Saiful Bahri Bin Jaaman yang bertanding di DUN Klawang pada pilihanraya umum ke-12 yang lalu. Ceramah Maulidur Rasul pada malam tersebut telah disampaikan oleh Ustaz Suhaimi Bin Kassim iaitu Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Seremban.

Program ini telah dihadiri oleh seramai 200 orang petugas dan penyokong PAS di MTD Klawang. Dalam ucapan beliau Saudara Saiful Bahri Bin Jaaman Calon PAS di N.04 Klawang telah mengucapkan ribuan terimakasih kepada Pengarah MTD Klawang Tn Hj Hassan dan seluruh AJK MTD Klawang serta kepada seluruh petugas-petugas PAS MTD Klawang yang telah bekerja dengan bersungguh-sungguh sepanjang kempen pilihanraya untuk memenangkan PAS. Saudara Saiful Bahri juga mengucapkan terimakasih kepada seluruh pengundi-pengundi di DUN Klawang yang telah keluar mengundi pada hari tersebut dan juga mengucapkan terimakasih kepada seluruh pengundi-pengundi yang telah mengundi beliau.

Menurut Saudara Saiful petugas-petugas PAS telah menunjukkan semangat yang tinggi sepanjang tempoh berkempen. Petugas-petugas juga menunjukkan sikap muafakat, kerjasama dan gotong royong yang baik semasa menjalankan tugasan yang diberikan seperti berkempen, merayu undi, memasang poster, masak memasak dan lain-lain tugasan. Sepanjang tempoh 13 hari berkempen tersebut jentera MTD Klawang benar-benar bergerak dengan cergas kata Saudara Saiful lagi.

Saudara Saiful juga mengucapkan terimakasih kepada tuan-tuan guru dan aktivis-aktivis PAS yang telah datang dari luar Jelebu untuk membantu berkempen dan berceramah di DUN Klawang. Antara yang berkesempatan hadir ke Klawang adalah Tuan Guru Ustaz Hj Kassim (Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Sembilan), Ustaz Munzir (AJK Dewan Ulamak PAS NS), Ustaz Rahim (Mantan TPJ PAS NS), Ustaz Ali Hanafiah (Pendakwah PAS), Ustaz Jaafar (Mantan Calon Parlimen Jelebu), Ustaz Khairil Anwar Wafa (Ketua DPP Rasah) dan Ustaz Khairul Anuar (Ketua DPP Tampin). Saudara Hishamuddin Sulaiman (Mantan Ketua Pemuda PAS NS) dan juga Tuan Haji Ibrahim (Mantan Pengerusi PKR NS) juga telah hadir untuk berceramah di DUN Klawang dan memberikan sokongan padu kepada Saudara Saiful Bahri.

Akhirnya Saudara Saiful Bahri juga mengucapkan terimakasih kepada petugas-petugas dan aktivis-aktivis PAS yang duduk di luar Negeri Sembilan seperti di Kuala Lumpur, Kajang, Keluang dan Kelantan yang sanggup balik kampung untuk membantu jentera pilihanraya MTD semasa berkempen dan juga pada hari mengundi. Ini lah semangat jitu dan muafakat yang di tunjukkan oleh petugas-petugas MTD Klawang.

Blog PAS Kawasan Jelebu : http://pasjelebu.blogspot.com

Tuesday, March 25, 2008

KOMEN RAIS TAK MASAK

Tiba-tiba aje hari ni heboh pulak pasal komen Rais Yatim tentang perlantikan Datuk Ahmad Said MB Terengganu.Rais dikatakan berkata Ahmad Said akan jatuh macam "nangka masak".Aku rasa komen ni tak kena pada tempatnya lagi pun istilah yang digunakan jatuh macam nangka masak tu tak pernah digunakan orang kecuali oleh Rais Yatim aje. Biasanya orang akan menggunakan istilah jatuh seperti "nangka busuk". Oleh itu aku merasakan komen Rais Yatim ini tak masak juga lah.

Mungkin komen ini hanya melepaskan batuk di tangga kerana tidak mahu orang mempertikaikan di mana kah pendirian Rais Yatim setelah berlaku kekecohan perlantikan MB Terengganu ini? Adakah Rais Yatim bersatu hati dengan pendirian Pak Lah, Deris Jusoh dan UMNO? Atau adakah Rais Yatim bersetuju dengan pendapat sahabat lama nya dalam Semangat 46 iaitu Tengku Razaleigh yang menyokong perlantikan Datuk Ahmad Said sebagai MB Terengganu? Jadi sebelum Pak Lah atau orang2 UMNO bertanya adalah lebih baik Rais mengeluarkan kenyataan nya dahulu, walaupun komennya seperti telur separuh masak.

Sejarah telah membuktikan bahawa Rais Yatim adalah seorang pejuang lama UMNO yang sanggup menubuhkan UMNO lama (Semangat 46) untuk menentang UMNO Baru yang ditubuhkan oleh Dr Mahathir. Hampir semua jambatan perhubungan beliau (Rais) dengan UMNO telah dibakar oleh beliau sendiri ketika beliau bersama-sama dengan Ku Li dalam Semangat 46. Walaupun begitu jambatan kayu telah diganti dengan jambatan besi AKHIR NYA beliau dan Ku Li sekarang ini berada dalam UMNO Baru semula dan bertanding pula masing2 atas tiket BN.

Namun tidak mustahil sejarah akan berulang. Ku Li telah menyatakan pendirian beliau akan menentang Pak Lah sebagai Presiden UMNO pada pemilihan UMNO akan datang ini jika mendapat 30% sokongan dari seluruh bahagian2 UMNO di Malaysia. Dalam keadaan UMNO di hujung tanduk sekarang tidak mustahil Ku Li akan mendapat lebih dari separuh mandat sokongan bahagian2 UMNO untuk beliau bertanding jawatan Presiden UMNO. Bagaimana pula dengan Rais Yatim? Adakah beliau akan bersama dengan Ku Li atau bersama dengan Pak Lah? Mungkin juga Rais akan ikut Ku Li dan bertanding pula jawatan No 2 dalam UMNO iaitu Timbalan Presiden!!! Jadi mungkin bersatu semula lah gandingan Ku Li-Rais untuk pemilihan UMNO yang akan datang ini. Jika benar ini terjadi maka komen Rais tentang MB Terengganu ini hanya lah komen yang melepaskan batuk di tangga atau komen telur separuh masak untuk mengelakkan segala spekulasi atas diri beliau dan sokongan beliau, kerana tidak ada Nangka Masak yang akan jatuh hanya Nangka Busuk aje yang jatuh.