Sunday, June 22, 2008

Jika adakan pilihan raya semula Dun Sanglang: PAS akan saman SPR

Thursday, June 19, 2008

ARAU, 20 Jun: PAS mempertimbangkan untuk menyaman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan tuntutan gantirugi jika badan pengendali pilihan raya itu mengisytiharkan diadakan pilihan raya semula untuk Dun Sanglang.

Ini kerana, dalam perbicaraan kes itu jelas, pihak SPR dan peguam calon BN telah mengaku berlaku kesilapan pengumuman keputusan pemenang pilihan raya itu.

Ini bermakna, mahkamah telah mengesahkan rakyat telah membuat keputusan memenangkan calon PAS dalam pilihan raya itu.

Demikian kata peguam Ustaz Hashim Jasin, calon PAS Dun Sanglang, Mohamed Hanipa Maidin selepas Mahkamah memutuskan keputusan pilihan raya itu tidak sah dan batal.

Sepatutnya, kata Hanipa, mahkamah mengisytiharkan Hashim Jasin menang dalam pilihan raya itu setelah kedua-dua pihak defendan (SPR dan calon BN) mengaku berlaku kesilapan pengumuman.

"Yang menjadi masalah adalah pada tahun 2003, berikutan kes Wee Choo Keong, satu pindaan kepada undang-undang pilihan raya telah dibuat yang menetapkan mahkamah tidak boleh mengisytiharkan mana-mana pihak memenangi pilihan raya itu.

"Mahkamah hanya berhak mengisytiharkan pilihan raya itu sah atau tidak sah sahaja dan terserah kepada SPR untuk mengumumkan samada perlu diadakan pilihan raya kecil atau mengisytiharkan pemenangnya," jelas Hanipa yang juga Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS.

Menurut Hanipa, kini PAS mempunyai tiga pilihan berikutan kes ini.

"Pertama, rayu ke Mahkamah Persekutuan. Kedua memfailkan agar dibuat penilaian perundangan agar menggantikan nama calon BN yang telah digezetkan dengan nama calon PAS yang sebenarnya menang dan ketiga menyaman SPR jika pengendali pilihan raya itu mengisytiharkan pilihan raya semula untuk Dun Sanglang."

Menurut Hanipa, pada 28 Mei, ketika perbicaraan itu berjalan, peguam yang mewakili SPR telah mengaku berlaku kesilapan pengumuman dalam pilihan raya itu oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

Yang sepatut diumumkan menang adalah Hashim Jasin tetapi pegawai pengurus itu mengisytiharkan calon BN yang menang.

Pada 4 Jun pula, peguam yang mewakili Umno mengaku berlaku kesilapan itu.

"Bagi saya, Parlimen perlu membuat pindaan terhadap peruntukan tidak boleh mengisytiharkan pemenang ini walaupun didapati menang dalam perbicaraan di mahkamah.

"Jika dibiarkan, akan berlaku salah guna kuasa dimana undang-undang ini boleh disalahgunakan oleh pihak yang berkepentingan.

"Misalnya, calon BN kalah. Tetapi pegawai SPR umumkan dia menang. Bila dibawa ke mahkamah, terbukti calon BN kalah, lalu dibatalkan keputusan itu dan diadakan pilihan raya semula sebagaimana yang berlaku dalam kes ini. Padahal yang sebenarnya calon BN memang kalah. Ini bermakna, ia terdedah kepada salah guna," jelas Hanipa.

Ketika ditanya kes Pasir Puteh dimana Mahkamah mengisytiharkan calon BN yang menang sedangkan ketika keputusan pilihan raya calon PAS yang diisytiharkan menang, Hanipa menjelaskan;

"Dalam kes itu, kedua-dua pihak secara baik berunding dan bersetuju untuk mengaku calon Umno yang sepatutnya menang tetapi calon PAS tersalah diisytihar. Mahkamah hanya mengumumkan keputusan itu tanpa perbicaraan," katanya.

Tetapi dalam kes Sanglang ini, calon BN menafikan SPR tersalah umum pada peringkat awalnya bahkan memfailkan permohonan untuk membatalkan petition PAS itu.

"Setelah bicara baru calon Umno dan SPR mengaku tersalah umum," jelas Hanipa.

Di petik dari blog SIASAH

No comments: