Wednesday, January 2, 2008

PENDUDUK KG. GATCO HILANG KEPERCAYAAN PADA UMNO / BN

Pada 1 Januari 2008 hari Selasa yang lalu Pengerusi JKKK Kg. Gatco dan seluruh AJK serta penduduk Kg. Gatco telah menjemput Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan bersama-sama dengan AJK PAS Negeri Sembilan dan PAS Kawasan Jelebu untuk menghadiri mesyuarat penubuhan Jawatankuasa Bertindak Kg. Gatco Untuk Menangani dan Menyelesaikan Masalah Pemilikan Tanah Penduduk.

Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah diwakili oleh Saudara Zulkefly Mohamad Omar Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Cikgu Hassan Taha Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan, Tuan Haji Kateran Marman Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Sembilan merangkap Pemangku Yang Dipertua PAS Kawasan Jelebu, Tuan Haji Hassan Abdul Rahman Bendahari PAS Kawasan Jelebu, Saudara Saiful Bahri Jaaman Setiausaha Jabatan Pilihanraya PAS Kawasan Jelebu, Saudara Nor Anif Haji Selamat Penolong Setiausaha PAS Kawasan Jelebu dan Tuan Haji Ismail Akup AJK PAS Kawasan Jelebu.

Dalam mesyuarat tersebut Saudara Zulkefly Mohamad Omar dan Tuan Haji Hamran Mohamad Pengerusi JKKK Kg. Gatco merangkap Ketua UMNO Cawangan Kg. Gatco telah dilantik sebagai Pengerusi Bersama Jawatankuasa Bertindak. Encik Mohamad Nordin Bin Ahmad Bakar Setiausaha UMNO Cawangan Kg. Gatco telah dilantik sebagai Setiausaha Badan Bertindak.

Dalam mesyuarat itu juga Tuan Haji Hamran Mohamad telah menyerahkan dokumen perjanjian pemilikan tanah Kg. Gatco kepada Saudara Zulkefly Mohamad Omar Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan untuk dirujuk dan dikaji oleh PAS Negeri Sembilan dan juga peguam-peguam PAS supaya tindakan yang tersusun dapat diambil dalam membuat tuntutan tersebut.

Tuan Haji Hamran serah dokumen pada Saudara Zulkefly

Encik Mohamad Nordin dalam mesyuarat tersebut menyatakan bahawa selepas berita penduduk Kg. Gatco keluar dalam akhbar HARAKAH menderu-deru pemimpin UMNO dan Jabatan Kerajaan datang ke Kg. Gatco untuk bertanyakan tentang masalah yang dihadapi oleh penduduk Kg. Gatco. Sebelum ini mereka semua menyepikan diri dan langsung tidak memperdulikan nasib atau masalah pemilikan tanah yang dihadapi oleh penduduk Kg. Gatco, kata beliau.


Encik Mohamad Nordin Setiausaha Jawatankuasa Bertindak

Antara yang baru datang berjumpa beliau untuk bertanyakan masalah ini adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jelebu Encik Yunus Rahmat dan juga Naib Ketua UMNO Bahagian Jelebu yang juga ADUN Klawang YB Jalaludin Alias. Sebelum ini mereka langsung tidak pernah bertanyakan masalah penduduk Kg. Gatco ini kata beliau lagi. Yang paling menghairankan kata beliau mereka telah datang berselang hari, Yunus Rahmat datang berjumpa beliau pada 28 Disember 2007 manakala YB Jalaludin pula telah datang pada 29 Disember 2007. Menurut Encik Mohamad Nordin pelbagai janji baru telah ditaburkan oleh mereka tetapi semua itu palsu semata dan hanya janji UMNO/BN untuk pilihanraya yang sudah hampir tiba ini sepertimana yang telah berlaku selama 30 tahun dan dalam 5 pilihanraya yang lalu dimana ia telah dijadikan manifesto oleh UMNO/BN Negeri Sembilan untuk menyelesaikan masalah pemilikan tanah penduduk Kg. Gatco. Menurut kata Encik Mohamad Nordin lagi beliau tidak dapat lagi mempercayai kata-kata manis janji pemimpin UMNO/BN, setelah 30 tahun mereka diperlecehkan dan dibohongi oleh UMNO/BN semata-mata untuk mendapat undi pilihanraya. Selepas pilihanraya mereka hilang dan janji hanya tinggal janji sahaja katanya.

Menurut Encik Sulaiman Bin Ompong Timbalan Ketua UMNO Cawangan Kg. Gatco sekarang ini seluruh penduduk kampung telah bersatu di bawah Jawatankuasa Bertindak Kg. Gatco ini dan berharap Jawatankuasa Bertindak ini dapat menyelesaikan isu pemilikan tanah penduduk kampung. Jika perkara ini dapat diselesaikan maka penduduk Kg. Gatco sendiri yang akan mendapat keuntungan dan habuannya.

Tuesday, December 25, 2007

JAMUAN AIDIL ADHA PAS JELEBU

Jamuan Hari Raya Aidil Adha PAS Jelebu akan diadakan pada :

Tarikh : 30/12/2007 (AHAD)

Masa : 7.00 malam

Tempat : Rumah Tuan Hj Hassan Bin Abdul Rahman
No 200, Jln Petaling, Kuala Klawang.

Aturcara :-
  1. Solat Maghrib berjemaah
  2. Solat Hajat
  3. Tazkirah oleh Ustaz Ramli Abu Bakar Al-Hafiz
  4. Solat Isya' berjemaah
  5. 9.00 malam Jamuan Makan Malam
  6. 10.00 malam Ceramah oleh :-
  • Saudara Zulkefly Mohamad Omar (Pesuruhjaya PAS NS)
  • Ustaz Ramli Abu Bakar Al-Hafiz (YDP PAS Jempol)
  • Tuan HJ Kateran Bin Marman (Pemangku YDP PAS Jelebu)
  • Ustaz Nordin Sahlan (Ketua Pemuda PAS Jelebu)
"SEMUA DIJEMPUT HADIR"
"PAS UNTUK SEMUA"

Tuesday, December 18, 2007

PENGURUSAN TOL PLUS TIADA BUDI BAHASA

Sepatutnya pagi ini (17/12) aku pergi ke Kedah untuk urusan perniagaan. Pagi-pagi lagi aku dah keluar rumah dengan ditemani oleh anak aku dengan tujuan hanya satu untuk ke Pendang di Kedah. Tapi sebelum pergi aku kena singgah di pejabat aku di Bandar Pinggiran Subang dahulu untuk mengambil barang-barang yang perlu dibawa ke sana.
Tepat jam 8.15 pagi aku tiba di tol Shah Alam. Selepas membayar duit tol sebanyak RM 10.50 (perjalanan dari Senawang ke Shah Alam) aku membelokkan kereta ke pejabat tol Shah Alam tersebut kerana perut aku tiba-tiba sakit. Terpaksa lah aku menyelesaikan urusan perut aku ni.
Setelah selesai dan bila nak menyarungkan semula seluar aku, tiba-tiba aku dapati dompet aku yang di dalam poket belakang seluar aku telah tiada. Dalam tandas itu seluar aku disangkut kan dibahagian belakang kerana dibahagian depan(pintu) tiada penyangkut.
Aku panik dan bertanya pada anak aku samada dia orang ada nampak dompet aku. Jawapannya tiada.Maka kami anak beranak mencari lah dulu dalam kawasan tersebut, manalah tahu kot-kot terjatuh pulak. Tapi tidak berhasil. Ada 2/3 orang pemandu yang berhenti ditandas tersebut turut sama mencari tapi tidak juga berjumpa. Akhirnya aku ambil keputusan dompet aku sudah kena kebas, bila anak aku beritahu ada satu mat motor kelam kabut keluar dari tandas itu, stat motor dan dengan lajunye terus cabut. Dia tak tahan budak itu kerana pada mulanya anak aku tidak mengesyaki apa-apa.
TETAPI yang paling mengecewakan aku adalah tindakan pengurusan pihak PLUS Plaza Tol Shah Alam yang langsung tidak memberikan apa-apa respon tentang perkara tersebut. Aku bukannya nak suruh dia orang ganti duit aku ataupun ganti dompet aku yang hilang. Aku cuma nak buat lapuran pada mereka sahaja sebab kejadian itu berlaku ditempat mereka. Mungkin lepas ini mereka boleh mengambil tindakan dengan memasang jaring di atas bilik tandas tersebut atau sebagainya. Bila aku nak masuk pejabat TOL itu aku tekan la butang peti suara kat pintu tersebut. Terdengar suara perempuan bertanyakan "Ya, Encik Nak Apa?". Aku pun beritahulah nak buat lapuran tentang kecurian dompet aku di tandas tol tersebut. Apa jawapan beliau "OH ENCIK TAK PAYAH ENCIK, ENCIK PERGI TERUS BUAT LAPURAN DI BALAI POLIS SAHAJA. TAK PERLU LAPOR DENGAN KAMI"
Pedih dan rasa menyesal aku kerana bersusah payah nak beritahu mereka, tapi mereka semua tak nak ambil tahu dan tak nak layan aku. Habis aku ini baru sahaja membayar RM10.50 kerana melalui jalan tersebut. Bukan kah aku ini pelanggan mereka. Dan sekarang ini aku satu sen duit pun tak ada sebab habis semua sudah kena curi.Tapi mereka langsung tak nak endahkan apa yang aku nak beritahu atau apa yang berlaku kepada aku. Aku bukan nak minta dia orang ganti duit aku, aku cuma nak beritahu mereka aje tentang kejadian tersebut. Bukankah aku ini seorang pengguna dan pelanggan mereka. Dalam hati aku berkata SOMBONG BETUL orang2 yang bekerja kat tol ni. Tahun depan kadar tol kat Malaysia ni akan naik lagi. Rakyat Malaysia terpaksa membayar kadar tol perjalanan yang tinggi disebabkan oleh perjanjian konsesi yang bodoh dan bahalul antara Kerajaan Malaysia dan Syarikat Pengendali Jalan TOL. Selepas itu rakyat terpaksa menerima layan yang buruk, sombong dan tiada perasaan belas kasihan dari pekerja-pekerja Plaza Tol tersebut. Inikah bentuk perkhidmatan yang rakyat mesti terima untuk bayaran paksaan yang dikenakan kepada rakyat kerana melalui jalan tol tersebut. Sampai bila Rakyat Malaysia ini harus ditindas dan dizalimi begini? Terdapat golongan rakyat yang sedar tentang perkara ini TETAPI ramai lagi rakyat masih tak sedar diri dan bersikap sombong bodoh seperti pegawai tol tadi. Apakah harga yang perlu dibayar oleh rakyat untuk membuat perubahan? Apakah rakyat khususnya MELAYU nak mengikut kata bidalan orang tua-tua "DAH TERHANTUK, BARU NAK TERNGADAH". BERUBAH lah rakyat semua. Undi lah BARISAN ALTERNATIF pada pilihanraya yang akan datang ini. Kita hapuskan sahaja bayaran tol di Malaysia ini atau hapuskan perjanjian konsesi yang mengarut dan membebankan rakyat. Contohnya terhapusnya bayaran tol di jambatan yang menghubungkan Kuala Trengganu dan Seberang Takir semasa Kerajaan PAS memerintah Terengganu. Bukankah itu satu kebaikan dan keuntungan untuk rakyat.

"HIDUP PAS, HIDUP RAKYAT"
"PAS UNTUK SEMUA"

Thursday, December 13, 2007

CERAMAH GEMPUR PEMUDA

Assalamualaikum Wr. Wbt.
Jabatan Pilihanraya PAS Kawasan Jelebu akan mengadakan ceramah "GEMPUR PEMUDA JELEBU" pada ketetapan yang berikut :-

TARIKH : 18/12/2007 (SELASA)

MASA : 8.30 MALAM

TEMPAT : FELDA PASOH 2
Rumah Haji Suparman Kasman


PENCERAMAH :

1) YB SALAHUDDIN AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat /
Ahli Parlimen Kubang Kerian

2) TUAN HJ TAUFEK GHANI
Ketua Dewan Pemuda PAS NS

3) USTAZ NORDIN SAHLAN
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Jelebu

Seiringan dengan program ceramah tersebut UNIT AMAL NEGERI SEMBILAN dibawah pimpinan Saudara Sufian dan Saudara Zulkarnain akan membuka kaunter pendaftaran ahli baru Unit Amal Negeri Sembilan.

SEMUA DIJEMPUT HADIR

"PAS UNTUK SEMUA"

Yang benar
SAIFUL BAHRI
SETIAUSAHA
JABATAN PILIHANRAYA PAS KAWASAN JELEBU

Friday, December 7, 2007

AKU TETAP UNDI PEMBANGKANG

Semalam aku minum pagi di sebuah restoran di Seremban. Pemilik restoran tersebut seorang bekas pegawai tentera yang sudah lama aku kenal. Dia pun menyapa aku dan kawan2 aku. Oleh kerana kerana keramahan beliau tanpa dijemput dia pun duduk disebelah aku sambil memulakan bicara.

Cerita dia tak lain dan tak bukan tentang kenaikan harga barang. Dia mengeluh kerana kenaikan harga barang yang mendadak. Susu 1 peti naik RM 4.00 dan MILO satu peti naik RM 9.00. Aku yang tak berapa arif tentang harga barang ni, jadi aku hanya mendengar sahaja. Bulan depan Horlicks pula naik RM 3.00 kata beliau, towkay kedai tempat dia selalu beli barang tu dah sound dia awal2 katanya.

Akibat dari kenaikan tu sekarang dia jual Milo Ais dengan harga RM 2.00 segelas. Baru-baru in Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna datang ke Restoran beliau kerana dapat aduan mengatakan Restoran beliau menaikkan harga minuman sewenang-wenangnya. Habis abang ni kata Starbuck jual kopi RM 8.00 secawan dan MC Donald jual teh atau kopi dengan harga RM 3.50 secawan tak ada pulak kena saman. Kenapa dia seorang sahaja Kementerian nak saman. Adakah Starbuck dan McD sahaja yang terkesan oleh sebab kenaikan harga barang dan dia sebagai peniaga Restoran biasa tak terkesan? Betul jugak cakap abang ni kata aku.

Lepas tu dia sambung lagi kau nampak tak abang punya meja kat luar tu, itu pun MPS nak saman kata beliau lagi. MPS kata mengganggu jalan.Tapi kedai abang ni kat hujung sekali jalan ni tak ada sesiapa pun nak lalu jalan kaki kat sini kecuali kalau nak datang makan. Aku mengangguk tanda setuju dengan dia, sebab memang kedai dia kat hujung sekali. Kedai Mamak yang letak meja tengah jalan dan sampai ada yang letak seberang jalan tak ada pulak yang kena saman dengan MPS kata beliau.

Habis sekarang ni kau fikir lah POL (singkatan nama aku) ORANG MELAYU yang kena tindas dan diskriminasi ke atau bangsa asing yang kena tindas? Orang Melayu berniaga tanpa lesen warongnye dan barang-barang niaga kena rampas. Restoran atau warong Orang Melayu di Senawang banyak yang kena roboh dan yang nak kena roboh. Habis sekarang siapa yang kena tindas dan diskriminasi sekarang. Di Malaysia yang pemerintah nya Melayu tapi yang kena tindas adalah orang Melayu, kata abang itu. Betul jugak cakap abang askar ni kata aku, sebab aku tengok kat mana2 di Seremban ni kedai orang Melayu lah yang nak selalu dan banyak kena roboh.

Selesai berborak dan minum pagi aku pergi kedai hardware yang biasa aku pergi untuk beli barang2 kerja aku. Masuk je kedai tu towkay tu beritahu aku bulan depan harga batu putih dan batu merah naik 2 sen.Banyak … tu sebab nak buat satu rumah bukan pakai satu batu tapi puluhan ribu batu bata. Kalau satu batu naik 2 sen puluhan ribu batu berapa ribu ringgit pula nak kena tambah. Wah ..banyak tu. Towkay tu kata barang2 paip, paku dan besi pun naik lagi bulan depan. Habis la semua naik lagi aku mengeluh. Macam ni harga untuk ubahsuai atau bina rumah kena naik lagi la nampaknya mula bulan depan. Kalau tidak tak boleh nak biayai kos.

Pagi ni aku pergi Rembau nak tengok kerja. Seperti biasa aku mesti singgah di sebuah Restoran Mamak di Pekan Pedas untuk pekena roti canai dan teh tarik yang memang ‘kaw’ kat situ. Sementara menunggu makanan yang aku pesan sampai, maka aku terdengar lah perbualan 2 orang lelaki lingkungan sebaya aku kat meja belakang sedang rancak bersembang tentang kenaikan harga barang. Harga barang semua naik, tapi duit gaji kita tak naik2 pun, kata seorang antara mereka. Ini yang buat aku ‘tension’ ni kata member dia. Mana nak cukup kalau macam ni tiap2 bulan kata yang sorang lagi. Lepas tu aku dah tak dengar lagi sebab roti canai dan teh tarik aku dah sampai, aku pun dah naik malas nak pasang telinga, tak habis2 hal kenaikan harga barang lagi.

Tapi itulah hakikat yang sebenar-benarnya berlaku di Malaysia sekarang ini. Semua orang sibuk bercerita tentang kenaikan harga barang tetapi di Malaysia macam biasa lah hanya sekadar cerita kisah sedih dan duka. Tak mampu lah, duit tak ada lah, kerajaan tak patut lah naikkan harga barang tapi yang pelik dan ajaibnya rakyat Malaysia ni tak nak jugak berubah untuk menukar kerajaan yang ada. Bila kerajaan naik harga barang rakyat komplen tapi tangan2 rakyat itu juga lah yang mengundi kerajaan yang sedia ada ini. Dah tentu lah kerajaan BN (Barang Naik) tapi dia orang tetap undi jugak yang itu. Habis nak salahkan siapa lagi? Tahun depan harga petrol dan gas akan naik, harga atau bayaran tol naik lagi. Maka dah tentu harga barang dan harga perkhidmatan akan naik lagi selaras dengan kenaikan harga petrol dan lain-lain kenaikan. Tapi rakyat Malaysia tak sedar diri jugak. Tetap juga undi kerajaan yang lama tu. Kalau awak sendiri dah mengundi kerajaan BN tak payah lah nak komplen2 lagi terima aje lah segala kenaikan2 yang dikenakan.

Tak payah nak cerita2 atau nak cakap lagi terima aje dan cari lah duit lagi untuk tambahan pendapatan untuk diberikan kepada kerajaan BN yang sedia ada.

Teringat aku masa baru-baru kenaikan harga petrol sebanyak 30 sen dahulu. Ada 3 orang pakcik ni di Pekan Kuala Pilah kat satu warong teh tarik sedang panas dan hangat bersembang hal harga minyak naik. Macam2 maki hamun dan sumpah seranah keluar dari mulut pakcik2 ni sampai aku naik bengang dan boring. Akhirnya aku bangun dan pergi beritahu kat pakcik2 ni nak buat apa bising2 sebab setahu aku kat Kuala Pilah ni semuanya tak kira tua atau muda semuanya mengundi BN dalam pilihanraya 2004 yang lalu kata aku. Tak ada pun yang nak menyokong atau mengundi PAS atau lain2 dalam pilihanraya tu. Jadi apa hal nak bising2 lagi kata aku. Macam aku lain lah kata aku, kat lori aku tu terang2 ada lambang BULAN (PAS) dan aku pula sejak pilihanraya 1999 aku tak pernah mengundi BN kata aku lagi. Jadi aku boleh komplen kata aku. Senyap terus pakcik tu, nasib baik dia senyap kalau tidak aku basuh dia cukup2. UNDI…LAH..BN lagi baru PADAN MUKA KORANG SEMUA... SEMUA BARANG NAIK. AKU tetap akan undi pembangkang pilihanraya nanti. Kalau tak ada PAS atau KeAdilan bertanding biar aku undi DAP asalkan aku undi PEMBANGKANG. SIAPA NAK IKUT AKU ???

Thursday, November 22, 2007

Siapa Lebih Anjing Dari Anjing?

Sekonyong-konyongnya berita perdana TV3 malam ini menyiarkan kejadian polis memanggil wartawan media sebagai 'ANJING' di Baling, Kedah. Terperanjat juga aku dengan berita tersebut. Tetapi sebagai anggota parti pembangkang aku tidak merasa hairan malah ketawa sendiri dengan perbuatan polis dan wartawan tersebut.
Apa tidaknya pada hari 10 November 2007 semasa perhimpunan aman rakyat anjuran "bersih" yang lalu bagi aku kedua-duanya sama sahaja. Baik polis mahu pun wartawan kedua-duanya sama sahaja menjadi anjing kerajaan BN. Polis menurut apa yang kerajaan suruh buat tanpa mengira dari segi undang-undang hak rakyat untuk berhimpun dengan aman. Polis menembak rakyat yang sedang duduk2 dengan aman di jalan masjid jamek dengan gas pemedih mata dan air racun untuk menyuraikan mereka. Padahal rakyat yang berhimpun itu langsung tidak membuat sebarang provokasi malah ada sedang rehat sambil menghisap rokok, ada yang sedang membaca suratkhabar, ada yang sedang bersembang-sembang sambil menunggu arahan dari pemimpin untuk memulakan perarakan aman ke Istana Negara bagi menghantar memorandum.
Apakah salah rakyat yang berhimpun dengan aman itu sehingga ditembak dengan gas pemedih mata dan dipancut dengan water canon yang menembak air racun. Ada pula hamba rakyat yang dikejar, dipijak dan dipukul oleh polis dalam usaha mereka untuk mematuhi arahan kerajaan yang zalim.
Wartawan media arus perdana pula pada hari tersebut tidak kurang ramainya yang hadir. Kononnya hendak membuat liputan tentang himpunan aman "bersih" tersebut. Tetapi apa berita yang keluar. Satu berita atau satu gambar pun tidak ada yang keluar baik dalam suratkhabar utama mahupun televisyen. Jadi apa gunanya mereka hadir pada perhimpunan tersebut. Berita yang keluar adalah berita palsu dan bohong dengan menyatakan hanya 4000 orang yang hadir untuk berhimpun. Keluar lagi berita menyatakan perhimpunan "bersih" telah gagal. Ada juga berita yang menyatakan peserta himpunan "bersih" telah bertindak ganas dan mengganggu gugat ketenteraman awam. Bukan kah berita-berita ini semuanya palsu dan bohong! Semuanya kerana gara-gara wartawan dan media telah hilang kredibiliti mereka kerana mahu mengikut arahan dan mengampu kerajaan BN yang zalim.
Tiba-tiba hari ini tup tap keluar berita di Kedah polis memanggil wartawan sebagai anjing. Padahal Baling Kedah itu jauh dari Kuala Lumpur tempat berlakunya himpunan aman "bersih" pada 10 November baru-baru ini. Persoalannya siapakah yang lebih anjing dalam tingkah laku dan lapuran mereka? Polis atau wartawan media? Tepuk dada tanya la diri sendiri....

USRAH

Usrah MTD klawang akan diadakan pada ketetapan yang berikut :-

Tarikh : 1 Disember 2007 (SABTU)

Masa : 7.00 malam (MAGHRIB)

Tempat : Rumah Tn Hj Hassan Bin Abdul Rahman (Pengarah MTD)
200 Jln Teriang, Petaling, 71600 Kuala Klawang

Naqib : Ustaz Suhaimi Bin Kassim
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Seremban

Semua ahli dan AJK MTD Klawang dijemput hadir bersama-sama. Ahli dan AJK PAS Kawasan Jelebu juga dijemput hadir bersama-sama.