Monday, February 18, 2008

50 TAHUN MERDEKA JELEBU TIADA BAS

Setelah negara mencapai kemerdekaan selama 50 tahun, Jelebu tetap berada dalam keadaan seperti baru mencapai kemerdekaan kerana tidak mempunyai kemudahan pengangkutan awam yang efektif. Malah yang lebih menyedihkan kemerdekaan seperti tidak membawa apa-apa ertinya kepada daerah ini. Apa tidaknya setelah 50 tahun merdeka hanya ada sebuah bas yang beroperasi di daerah Jelebu.

Menurut seorang penduduk tempatan Tuan Haji Ismail Bin Akup masalah pengangkutan bas di Jelebu ini telah berlarutan selama lebih dari setahun. Setiap orang penduduk di Kuala Klawang yang tidak mempunyai kenderaan sendiri sekarang ini mempunyai masalah untuk ke pekan Kuala Klawang mahu pun jika ingin pergi ke Seremban. Mereka terpaksa menunggu sehingga 2 atau 3 jam untuk mendapatkan bas. Pelajar sekolah sekarang ini tiada pilihan lain lagi kecuali terpaksa dihantar ke sekolah oleh ibu-bapa masing-masing. Sekarang ini terdapat 1 buah bas yang berulang alik dari Seremban ke Kuala Klawang dan terus ke pekan Titi. Bas yang sama juga akan balik semula ke Seremban dari Titi dan 1 buah bas lagi akan melalui perjalanan dari Kuala Klawang ke Simpang Pertang. Dahulu terdapat perkhidmatan bas dari Chennah yang juga melalui Sungai Rotan tetapi sekarang perkhidmatan tersebut tiada lagi menurut Haji Ismail.

Menurut Tuan Haji Pilus dari Kg Geylang Pertang pula dahulu terdapat bas masuk ke Kg Geylang untu mengambil penumpang, tetapi semenjak Malaysia telah menjadi negara maju dan perkhidmatan bas hanya sebuah syarikat sahaja yang dibenarkan beroperasi tidak ada lagi pengangkutan bas di Kg Geylang. Dahulu orang Kg Geylang sangat mudah untuk pergi ke Simpang Pertang atau ke Kuala Klawang. Tetapi sekarang sangat susah, malah jika tidak mempunyai kenderaan sendiri tidak dapat ke mana-mana lah mereka, kata beliau lagi.

Sekarang ini perkhidmatan kereta sapu banyak terdapat di Kuala Klawang semenjak ketiadaan bas ini kata beliau. Walaupun ini memberikan sumber rezeki secara tidak langsung kepada golongan pemandu kereta sapu tetapi sebagai kerajaan yang memerintah Barisan Nasional mestilah melihat kesusahan yang dihadapi oleh rakyat Jelebu ini, kata beliau lagi. Kadar sewa kereta sapu dari Petaling ke Kuala Klawang adalah RM2 sedangkan bas dahulu cuma RM1 sahaja. Tinjauan yang dilakukan di stesen bas Jelebu mendapati tidak ada sebuah bas pun yang berada di situ.

Menurut Ustaz Suhaimi Kassim yang mempunyai kedai papan tanda iklan di Jalan Jelebu pula salah seorang pekerjanya yang tinggal di Pantai hari-hari mengeluh kerana tiada bas untuk balik ke Pantai ataupun untuk datang bekerja. Kalau waktu balik kerja jam 5 petang maka pekerja nya itu akan sampai ke rumah di Pantai sekitar jam 8 malam atau jam 9 malam, sedangkan jarak pejabat dengan rumah hanya sekitar 12 km sahaja kata Ustaz Suhaimi lagi.

Dalam keadaan Malaysia yang dikatakan sedang menuju ke era negara maju ini penulis teringat sewaktu masih bersekolah dan menuntut di ITM dahulu iaitu sekitar tahun 1980an. Pada masa itu syarikat bas yang mengendalikan pengangkutan bas di Jelebu adalah Syarikat Bas Lim. Walaupun nama syarikat bas ini hanya nama seorang individu iaitu Lim tetapi perkhidmatan yang diberikan sama seperti perkhidmatan bas yang ada sekarang ini iaitu di era tahun 2000 atau di era internet ini. Bermakna Jelebu di era dunia tanpa sempadan atau zaman internet ini tidak ada perubahan dari zaman Jelebu di tahun 70an dan 80an dahulu. Maka penduduk Jelebu harus lah berfikir di manakah kedudukan mereka dalam zaman serba maju dan pantas sekarang ini! Adakah kita rakyat Jelebu akan terus ketinggalan? Fikirkan lah sendiri!!!