Saturday, March 29, 2008

PAS JELEBU ADA KAN KENDURI KESYUKURAN

JELEBU, 30 Mac 2008 – Cawangan-cawangan PAS dan MTD-MTD di Kawasan Jelebu sibuk mengadakan kenduri kesyukuran di sepanjang bulan Mac ini iaitu selepas pilihanraya umum ke-12 selesai. Kenduri kesyukuran ini di adakan untuk meraikan petugas-petugas PAS yang bekerja siang dan malam dalam usaha untuk memenangkan calon-calon PAS di Jelebu pada PRU ke-12 yang lalu.Di mulai dengan MTD Sg Lui yang mengadakan kenduri kesyukuran di Markas PAS Felda Lui Barat pada 12 Mac 2008. Di fahamkan hampir seluruh jentera MTD Sg Lui telah hadir dalam majlis tersebut. Saudara Norman Ipin calon Parlimen dan juga Haji Kateran Marman calon PAS DUN Sg Lui turut hadir bersama.

Diikuti oleh PAS MTD Klawang yang mengadakan kenduri kesyukuran dan sambutan Maulidur Rasul pada 15 Mac 2008 iaitu hari sabtu. Timbalan YDP PAS Kawasan Jempol Cikgu Majid turut hadir, untuk sama-sama meraikan petugas Klawang. Majlis pada malam tersebut turut dihadiri oleh petugas-petugas PAS dari MTD Sg Lui dan juga MTD Pertang. Pada malam yang sama PAS Cawangan Pasoh 2 juga turut mengadakan kenduri kesyukuran bagi meraikan petugas-petugas PAS di sana.

PAS Cawangan Lui Selatan juga turut mengadakan kenduri kesyukuran dan ceramah umum pada 17hb Mac iaitu hari Isnin. Ceramah disampaikan oleh Ustaz Wan Azhar, Ketua Penerangan PAS Kawasan Jempol. Sambutan dari penduduk Kg Getco sangat menggalakkan. Kaum India Kg Getco telah beramai-ramai hadir untuk kenduri tersebut dan bersama-sama dengan ahli PAS untuk mendengar ceramah Ustaz Wan Azhar. Dua ekor kambing telah disembelih untuk majlis pada malam tersebut. Pengarah MTD Sg Lui Saudara Yunus Yahya, Cikgu Jaaman Abu YDP Jelebu dan Saudara Saiful calon PAS Klawang turut hadir dalam majlis tersebut.

Pada 21hb Mac hari Jumaat PAS Cawangan Kg Geylang Pertang juga telah mengadakan kenduri. Majlis ini di sertai bersama oleh calon PKR untuk DUN Pertang Saudara Halim, calon PAS Klawang Saudara Saiful dan Hj Kateran calon PAS Sg Lui. Tazkirah pada malam tersebut telah disampaikan oleh YDP PAS Kawasan Jempol Ustaz Ramli. Ketua PAS Cawangan Kg Geylang dalam ucapan beliau yang penuh semangat pada malam tersebut menyatakan PAS Cawangan Kg Geylang akan terus bergerak dan bersiap sedia pula untuk menghadapi PRU-13. Saudara Halim dalam ucapan beliau menyatakan kerjasama erat antara PAS-PKR di DUN Pertang dalam menghadapi pilihanraya ke-12 itu telah menggusarkan jentera BN di Pertang. Saudara Halim mengucapkan terima kasih pada seluruh jentera PAS-PKR di DUN Pertang.

Pada hari Sabtu 22hb Mac PAS Cawangan Pasoh 3 telah mengadakan kenduri kesyukuran dan sambutan Maulidur Rasul di rumah Saudara Yusuf. Sambutan dari seluruh petugas PAS Pasoh 3 sangat lah menggalakkan. Ustaz Ramli YDP Jempol dalam tazkirah beliau menyatakan beliau terperanjat kerana Pasoh 3 mempunyai ahli dan penyokong PAS yang ramai. Beliau berharap ahli-ahli dan AJK PAS Pasoh 3 akan terus istiqamah dalam perjuangan PAS. Saudara Saiful calon PAS Klawang dalam ucapan beliau mengucapkan terima kasih kepada petugas-petugas PAS Pasoh 3 yang turut hadir di Klawang untuk memberikan sumbangan tenaga dan wang ringgit bagi membantu beliau sebagai calon. Petugas PAS Pasoh 3 juga turut membantu Norman dalam mengira undi bagi Parlimen di DUN Chennah. Ini lah sumbangan dan pengorbanan yang tidak dapat dinilai dengan ukuran wang ringgit menurut Saudara Saiful lagi. PAS Cawangan Pasoh 3 turut menyumbangkan 2 ekor kambing untuk majlis pada malam tersebut.

Blog PAS Jelebu : http://pasjelebu.blogspot.com

YB TAUFEK ADUN PAS DI PAROI

SEREMBAN, 27 Mac (Hrkh) - Wakil tunggal PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi pada jam 10.00 pagi tadi. Upacara angkat sumpah diadakan di Dewan Undangan Negeri di Seremban bersama 36 lagi Adun lain. Mohd Taufek mencipta sejarah apabila menang pada pilihan raya umum 8 Mac lalu bagi kerusi DUN Paroi dengan menewaskan Dato' Zaharuddin Mohd Sharif (BN) dengan mendapat 1,107 majoriti.

Pada pilihan raya umum 2004, Dun Paroi diwakili oleh Ketua Puteri Umno Negeri Sembilan, Bibi Sharliza Mohd Khalid yang digugurkan pada pilihan raya 8 Mac lalu. Mohd Taufek yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Biokimia dari UKM adalah bekas Jurutera Kanan di Samsung Malaysia Sdn Bhd. Mohd Taufek juga adalah Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan selain pernah menyandang Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Pusat. Beliau turut bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan NGO. Beliau berhasrat membuka Pusat Khidmat Rakyat selain menginfakkan 50 peratus dari gaji yang bakal diterimanya selaku Wakil Rakyat Paroi ke dalam Tabung Rakyat Paroi. Pusat Khidmat antara lain mungkin akan ditempatkan di Dataran Senawang untuk memudahkan masyarakat bertemu dengannya, kata Mohd Taufek yang mempunyai empat orang anak dan menetap dalam DUN Paroi hampir 15 tahun lamanya.

"Saya tahu agak sukar menjadi pembangkang ini dengan bantuan sudah pasti tiada dari kerajaan BN, namun saya yakin dengan kerjasama parti, rakan-rakan, petugas PAS, nasib rakyat Paroi akan diutamakan, justeru itu saya akan infakkan 50% daripada pendapatan saya sebagai ADUN untuk tabung yang ditubuhkan," katanya ikhlas. Suami kepada Mahani Musa (seorang guru) ini akan menjadikan kepercayaan rakyat Paroi asas kepada ketekunan untuk membela nasib rakyat Paroi antaranya isu pekerja, isu kebajikan, isu keselamatan dan perumahan di sini.

Beliau juga telah bertemu dengan wakil-wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk membincangkan sebarang bentuk persefahaman dalam DUN kerana PKR mempunyai 2 orang wakil di DUN bersama 11 lagi dari DAP. "Saya juga sedang berusaha untuk bertemu dengan DAP Negeri Sembilan bagi membincangkan hal yang sama. "Saya bertekad akan membawa isu-isu Islam di dalam DUN, kerana sebelum ini DUN Negeri Sembilan sepi dari isu ini," ujarnya. Justeru itu beliau menyeru kepada Anak-Anak Jati Rembau di Negeri Sembilan atau di perantauan agar dapat memberikan sokongan untuk mempastikan kejayaan parti-parti Barisan Rakyat di Negeri Sembilan dalam usaha untuk membela nasib rakyat khususnya di DUN Paroi dan di Negeri Sembilan amnya.

UCAPAN TERIMA KASIH DARI CALON PAS N.04 KLAWANG

16 Mac 2008 Kuala Klawang - Majlis Tindakan DUN (MTD) Klawang telah mengadakan kenduri kesyukuran dan sambutan Maulidur Rasul di Markaz MTD Klawang Kg Larong pada 15hb Mac 2008 hari sabtu yang lalu. Kenduri ini diadakan sempena meraikan petugas-petugas MTD Klawang yang telah berusaha bersungguh-sungguh tanpa mengenal penat lelah untuk memenangkan calon PAS Saudara Saiful Bahri Bin Jaaman yang bertanding di DUN Klawang pada pilihanraya umum ke-12 yang lalu. Ceramah Maulidur Rasul pada malam tersebut telah disampaikan oleh Ustaz Suhaimi Bin Kassim iaitu Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Seremban.

Program ini telah dihadiri oleh seramai 200 orang petugas dan penyokong PAS di MTD Klawang. Dalam ucapan beliau Saudara Saiful Bahri Bin Jaaman Calon PAS di N.04 Klawang telah mengucapkan ribuan terimakasih kepada Pengarah MTD Klawang Tn Hj Hassan dan seluruh AJK MTD Klawang serta kepada seluruh petugas-petugas PAS MTD Klawang yang telah bekerja dengan bersungguh-sungguh sepanjang kempen pilihanraya untuk memenangkan PAS. Saudara Saiful Bahri juga mengucapkan terimakasih kepada seluruh pengundi-pengundi di DUN Klawang yang telah keluar mengundi pada hari tersebut dan juga mengucapkan terimakasih kepada seluruh pengundi-pengundi yang telah mengundi beliau.

Menurut Saudara Saiful petugas-petugas PAS telah menunjukkan semangat yang tinggi sepanjang tempoh berkempen. Petugas-petugas juga menunjukkan sikap muafakat, kerjasama dan gotong royong yang baik semasa menjalankan tugasan yang diberikan seperti berkempen, merayu undi, memasang poster, masak memasak dan lain-lain tugasan. Sepanjang tempoh 13 hari berkempen tersebut jentera MTD Klawang benar-benar bergerak dengan cergas kata Saudara Saiful lagi.

Saudara Saiful juga mengucapkan terimakasih kepada tuan-tuan guru dan aktivis-aktivis PAS yang telah datang dari luar Jelebu untuk membantu berkempen dan berceramah di DUN Klawang. Antara yang berkesempatan hadir ke Klawang adalah Tuan Guru Ustaz Hj Kassim (Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Sembilan), Ustaz Munzir (AJK Dewan Ulamak PAS NS), Ustaz Rahim (Mantan TPJ PAS NS), Ustaz Ali Hanafiah (Pendakwah PAS), Ustaz Jaafar (Mantan Calon Parlimen Jelebu), Ustaz Khairil Anwar Wafa (Ketua DPP Rasah) dan Ustaz Khairul Anuar (Ketua DPP Tampin). Saudara Hishamuddin Sulaiman (Mantan Ketua Pemuda PAS NS) dan juga Tuan Haji Ibrahim (Mantan Pengerusi PKR NS) juga telah hadir untuk berceramah di DUN Klawang dan memberikan sokongan padu kepada Saudara Saiful Bahri.

Akhirnya Saudara Saiful Bahri juga mengucapkan terimakasih kepada petugas-petugas dan aktivis-aktivis PAS yang duduk di luar Negeri Sembilan seperti di Kuala Lumpur, Kajang, Keluang dan Kelantan yang sanggup balik kampung untuk membantu jentera pilihanraya MTD semasa berkempen dan juga pada hari mengundi. Ini lah semangat jitu dan muafakat yang di tunjukkan oleh petugas-petugas MTD Klawang.

Blog PAS Kawasan Jelebu : http://pasjelebu.blogspot.com

Tuesday, March 25, 2008

KOMEN RAIS TAK MASAK

Tiba-tiba aje hari ni heboh pulak pasal komen Rais Yatim tentang perlantikan Datuk Ahmad Said MB Terengganu.Rais dikatakan berkata Ahmad Said akan jatuh macam "nangka masak".Aku rasa komen ni tak kena pada tempatnya lagi pun istilah yang digunakan jatuh macam nangka masak tu tak pernah digunakan orang kecuali oleh Rais Yatim aje. Biasanya orang akan menggunakan istilah jatuh seperti "nangka busuk". Oleh itu aku merasakan komen Rais Yatim ini tak masak juga lah.

Mungkin komen ini hanya melepaskan batuk di tangga kerana tidak mahu orang mempertikaikan di mana kah pendirian Rais Yatim setelah berlaku kekecohan perlantikan MB Terengganu ini? Adakah Rais Yatim bersatu hati dengan pendirian Pak Lah, Deris Jusoh dan UMNO? Atau adakah Rais Yatim bersetuju dengan pendapat sahabat lama nya dalam Semangat 46 iaitu Tengku Razaleigh yang menyokong perlantikan Datuk Ahmad Said sebagai MB Terengganu? Jadi sebelum Pak Lah atau orang2 UMNO bertanya adalah lebih baik Rais mengeluarkan kenyataan nya dahulu, walaupun komennya seperti telur separuh masak.

Sejarah telah membuktikan bahawa Rais Yatim adalah seorang pejuang lama UMNO yang sanggup menubuhkan UMNO lama (Semangat 46) untuk menentang UMNO Baru yang ditubuhkan oleh Dr Mahathir. Hampir semua jambatan perhubungan beliau (Rais) dengan UMNO telah dibakar oleh beliau sendiri ketika beliau bersama-sama dengan Ku Li dalam Semangat 46. Walaupun begitu jambatan kayu telah diganti dengan jambatan besi AKHIR NYA beliau dan Ku Li sekarang ini berada dalam UMNO Baru semula dan bertanding pula masing2 atas tiket BN.

Namun tidak mustahil sejarah akan berulang. Ku Li telah menyatakan pendirian beliau akan menentang Pak Lah sebagai Presiden UMNO pada pemilihan UMNO akan datang ini jika mendapat 30% sokongan dari seluruh bahagian2 UMNO di Malaysia. Dalam keadaan UMNO di hujung tanduk sekarang tidak mustahil Ku Li akan mendapat lebih dari separuh mandat sokongan bahagian2 UMNO untuk beliau bertanding jawatan Presiden UMNO. Bagaimana pula dengan Rais Yatim? Adakah beliau akan bersama dengan Ku Li atau bersama dengan Pak Lah? Mungkin juga Rais akan ikut Ku Li dan bertanding pula jawatan No 2 dalam UMNO iaitu Timbalan Presiden!!! Jadi mungkin bersatu semula lah gandingan Ku Li-Rais untuk pemilihan UMNO yang akan datang ini. Jika benar ini terjadi maka komen Rais tentang MB Terengganu ini hanya lah komen yang melepaskan batuk di tangga atau komen telur separuh masak untuk mengelakkan segala spekulasi atas diri beliau dan sokongan beliau, kerana tidak ada Nangka Masak yang akan jatuh hanya Nangka Busuk aje yang jatuh.

Tuesday, March 18, 2008

MEDIA MUSUH NO 1 NEGARA

Melihat kepada peranan media tentang apa yang berlaku di Perak, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang apabila kerajaan BN ditukar kepada kerajaan Barisan Rakyat yang dipelopori oleh PAS, DAP dan PKR yang mana menunjukkan seperti kononnya ada orang Melayu sudah mula menyesal mengundi DAP, begitu juga dengan orang Cina yang menyesal mengundi PAS. Media-media ini sengaja menjadi ejen UMNO/BN untuk melaga-lagakan kaum-kaum ini yang sebenarnya hidup harmoni dan bekerjasama. Tujuan media ini adalah untuk menunjukkan bahawa hanya UMNO/BN sahaja yang boleh membawa keharmonian dan kemajuan di Malaysia ini. Begitu lah dahsyatnya dakyah-dakyah yang jahat yang cuba ditanam oleh UMNO/BN kepada rakyat Malaysia ini.

Itulah masalahnya apabila rakyat Malaysia sudah terlalu biasa dengan sistem Barisan Nasional (BN) yang sebenarnya adalah sesuatu yang tidak normal dalam amalan demokrasi. Dalam perhatian rakyat kepada apa yang berlaku di Perak, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang, orang lupa tentang masalah yang dihadapi oleh BN untuk membentuk kerajaan di Perlis dan di Terengganu, walaupun mereka tidak perlu menubuhkan kerajaan campuran. BN menghadapi banyak masalah, cuma ia berlaku secara tertutup dan tidak digembar gemburkan oleh media. Di Perlis Menteri Besar yang baru dilantik menggantikan Shahidan Kassim, walaupun Pak Lah di katakan telah bersetuju memilih semula Shahidan Kassim sebagai MB. Apa sebab Shahidan ditolak oleh Raja Perlis? Hanya Raja Perlis dan rakyat Perlis sahaja yang lebih arif tentang jawapannya. Siapa bakal MB di Terengganu? Masih menjadi persoalan yang besar kepada rakyat Terengganu dan Malaysia seluruhnya. Mengapa pihak media diam dalam hal ini semua dan tidak cuba mengorek-ngorek rahsia yang belum terjawab?

Sebaliknya apa yang berlaku di antara DAP, PAS dan PKR diketahui umum dan secara terbuka. Tambahan pula media yang dikuasai oleh BN mengambil kesempatan untuk memburuk-burukkan parti-parti dalam Barisan Rakyat dengan tujuan yang penuh dengan hasad dengki dan busuk hati atas arahan BN kononnya untuk menjaja kelemahan PAS, PKR dan DAP. Sedangkan apa yang dihadapi oleh PAS, DAP dan PKR ketika menubuhkan kerajaan campuran adalah suatu perkara biasa yang berlaku di negara-negara di seluruh dunia selepas menghadapi pilihanraya. Tidak ada rahsia dalam pakatan Barisan Rakyat ini untuk memilih bakal MB dan alhamdulillah semuanya telah selesai. Sebagai contohnya kita lihat aje penubuhan kerajaan campuran di Pakistan baru-baru ini.

Penubuhan kerajaan campuran merupakan dinamika poilitik demokrasi yang normal. Sementara sistem BN dengan parti-partinya tunduk di bawah UMNO adalah suatu yang tidak normal, dan akhirnya mendatangkan kebekuan dalam politik di negara ini.

Justeru apa yang berlaku di Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor adalah sesuatu yang sihat. Perbahasan terbuka mengenai kehendak parti-parti yang terlibat dan akhirnya dapat mencapai satu kesepakatan yng jitu untuk menubuhkan kerajaan Barisan Rakyat di negeri masing-masing. Ia bukan suatu yang tidak stabil, tetapi merupakan sebahagian daripada proses amalan demokrasi. Malah ia lebih baik berlaku sekarang, sebagai suatu latihan dan pelajaran bagi parti-parti Barisan Rakyat dalam persediaan untuk menubuhkan kerajaan persekutuan jika rakyat memerlukannya pada suatu hari kelak.

Ketinggalan zaman

Sistem BN sudah ketinggalan zaman dan tidak menepati aspirasi rakyat. Pada mulanya ia dibentuk sebagai kerajaan campuran Perikatan-Pas. Kemudian ia diperluaskan menjadi Perikatan-Gerakan-PPP. Akhirnya ditubuhkan BN yang muncul dalam bentuk UMNO sebagai parti dominan.

Sedangkan dalam kerajaan campuran, tidak ada parti yang dominan. PAS, DAP dan PKR adalah setaraf. Kekuatan mereka hanya bergantung kepada bilangan kerusi yang diperolehi. Sebagai kerajaan-kerajaan baru di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor sudah tentu akan berlaku pelbagai kesilapan. Tetapi pengundi tidak harus menyesal kerana pilihan raya umum ke-12 membuka lembaran baru kepada cara berpolitik yang lebih demokratik dan adil. Tidak ada patah balik. Walaupun mungkin BN boleh memperbaiki diri dan memenangi semula beberapa kerusi yang ia terlepas, tetapi rakyat negara ini tidak wajar pandang ke belakang. Sesungguhnya BN sudah bobrok dan perlu diganti untuk dirawat. Ia mesti menyesuaikan dengan iklim baru politik Malaysia yang mahukan ketelusan dan keadilan sejagat.

Seperti di Indonesia, Golkar yang pada zaman Suharto yang menguasai negara itu perlu menyesuaikan diri dengan zaman reformasi sekarang ini, di mana politik Indonesia sekarang ini adalah terbuka, telus dan adil.Pengalaman ini juga berlaku di Taiwan , Jepun, malah di Rusia. Di Taiwan, Kuomintang menyesuaikan diri dan kini mampu mencabar Parti Progresif Demokratik (DPP) yang memerintah. Begitu juga dengan Parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun dan Parti Komunis Rusia yang menguasai parlimen tetapi gagal menjadi presiden.

Umno dan BN mungkin tidak akan pupus jika mereka berubah mengikut permintaan zaman. Senario politik Malaysia yang telah berubah memerlukan perubahan pada tiap-tiap parti politik di Malaysia. Parti yang dapat berubah dan menyesuaikan diri dengan perubahan zaman akan menjadi pilihan pengundi dalam PRU-13 nanti. Mungkin UMNO/BN akan memakan masa yang lebih lama dalam perjalanan membuat perubahan tersebut, ini kerana sikap pemimpin atasan mereka yang sombong dan tidak mahu mengetahui aspirasi rakyat dan aspirasi ahli dalaman UMNO itu sendiri. Sebagai parti yang telah 50 tahun memerintah Malaysia ini sudah sampai masanya UMNO/BN mengundur diri jika tidak mampu berubah mengikut hasrat dan aspirasi perubahan rakyat.

Akan sampai masanya, PKR, PAS dan DAP menubuhkan kerajaan persekutuan setelah menang majoriti dalam Parlimen di negara ini. Pada masa itu, pengalaman di Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor amat berguna dalam usaha untuk menubuhkan kerajaan campuran.

Kekuatan tersendiri

PKR, PAS dan DAP sebagai parti berasingan mempunyai kekuatan sendiri berbanding dengan BN yang tergabung dalam parti-parti komponen nya.. Apa yang menjadi kemarahan orang Cina kepada MCA dan Gerakan adalah kelemahan mereka ketika berdepan dengan Umno. Perkara itu tidak akan berlaku dalam kerajaan Barisan Rakyat. Ini kerana DAP adalah setaraf dengan PKR dan PAS. Mereka boleh menyuarakan aspirasi kaum Cina tanpa bimbang diperlekehkan. Begitu juga PKR boleh menyuarakan hasrat semua kaum di Malaysia dan juga PAS yang boleh menyatakan pandangan orang Islam di Malaysia tanpa mengira kaum. Penyatuan ini lah yang akan membina satu kekuatan yang baru untuk Malaysia.

Ketika PAS berada dalam BN, ia hanya mampu memiliki Menteri Besar di Kelantan. Tetapi dalam kerajaan campuran PAS-DAP-PKR, bukan saja PAS berpeluang menjadi Menteri Besar di Kelantan dan Kedah, tetapi juga di Perak. Justeru pada masa akan datang, parti kecil juga berpeluang menerajui pucuk pimpinan mana-mana negeri, mengikut kesesuaian politik semasa.

Selain itu setiap parti, PAS, DAP dan PKR tidak berasaskan kaum walaupun PAS adalah parti satu agama, sementara DAP pula keahilannya adalah dominan Cina.Tetapi seseorang Cina Islam boleh menyertai PAS, sementara seorang Melayu boleh menyertai DAP. Ini menunjukkan setiap parti tidak terikat kepada sesuatu kaum sahaja. Tidak seperti BN, hanya Gerakan dan PPP sahaja parti yang berbilang kaum.

Banyak pengulas yang menekankan perbezaan ideologi antara DAP dan PAS, sambil menggambarkan bahawa DAP dan PKR tidak mempunyai perbezaan ideologi. Tetapi jika diteliti perjuangan ketiga-tiga parti mereka mempunyai lebih banyak persamaan daripada perbezaan. Perjuangan menentang rasuah, kronisma, nepotisma, persamaan antara kaum, membela orang terpinggir adalah serupa dan menjadi tonggak perjuangan. Perkara ini tidak begitu dilaungkan oleh BN kerana mereka tidak berupaya melakukannya.

Tidak wajar menyesal

Dalam hal ini, pengundi tidak wajar menyesal mengundi PAS-DAP-PKR kerana perjuangannya adalah jauh lebih bersih daripada BN. Sebaliknya pengundi-pengundi BN lah yang perlu menyesal. Ini kerana tindak-tanduk BN selepas pilihan raya melihatkan mereka sombong, pendendam dan enggan berubah. Mereka mencari sebab kekalahan atas perkara-perkara kaedah seperti soal strategi dan calon. Sedangkan apa yang menimpa BN ialah kelemahan asas perjuangannya, pentadbiran dan penyelewengan secara berleluasa yang telah mereka lakukan di Malaysia ini.

Selama ini BN mampu menang adalah kerana kekuatan jentera kerajaan yang mereka gunakan dan strategi pilihanraya yang berat sebelah dan memenangkan BN. Mereka (BN) tidak menang di atas sebab-sebab asas perjuangan yang mereka bawa. Tetapi kemenangan mereka lebih disebabkan oleh pengundi hantu yang mereka masukkan dan juga atas sebab sogokan wang ringgit yang mereka berikan kepada pengundi-pengundi terutamanya pengundi Melayu.

Dr. Mahathir Mohamad menyalahkan Abdullah Ahmad Badawi kerana kekalahan BN ini, tetapi jika diteliti tentang apa yang dialami oleh BN dalam pilihan raya umum ke-12 ini, ia merupakan lanjutan kepada kesilapan Dr Mahathir. Orang kata dua kesilapan Dr Mahathir yang utama ialah pemecatan Dato’ Sri Anwar Ibrahim dan pelantikan Abdullah Ahmad Badawi sebagai PM Malaysia.

Tetapi hakikatnya kesilapan Dr Mahathir ialah kegagalan untuk berubah dan melakukan reformasi. Beliaulah yang mengecilkan ruang demokrasi bukan saja dalam negara tetapi dalam Umno. Pemilihan parti ditangguhkan hingga Umno tidak dapat memperoleh pemimpin yang baik. Amalan serupa itu dituruti oleh Abdullah, maka calon yang diletakkan oleh BN dalam pilihan raya umum ke-12 itu merupakan hasilnya.

Disunting dan dikemaskinikan dari email alumni@smtt.